in

‘Abang Dah Banyak Kali Terlanjur Dengan Dia’ – Lelaki Mengaku Curang, Tetapi Isteri Tetap Maafkan Suaminya

Salam admin, saya ada satu benda yang nak diluahkan, yang sudah lama hendak diluahkan. Tetapi saya tak tahu nak luahkan kepada siapa. Jadi, saya luahkan di page Kisah Rumah Tangga ini. Semua yang berlaku adalah berpunca dari kesilapan diri saya sendiri.

Saya mengenali isteri saya semasa kami belajar bersama-sama dulu. Perkenalan di atas jambatan cinta sewaktu dia merakam gambar konvo. Dia minta saya tolong rakamkan gambar dia dan rakan-rakannya. Saya bantu kemudian saya edit gambar itu dan mengambil masa yang agak lama. Dia fikir saya ambil gambar dia lama, lalu dia datang dekat pada saya. Saya tunjuk gambar yang diedit yang mana saya hanya letak tulisan sahaja.

Sudi tak jadi isteri saya?

Saya minat dia sejak dari tahun pertama. Dia sangat aktif di kolej, sedangkan saya hanya pelajar biasa sahaja. Tetapi itulah, saya kumpulkan keberanian untuk melamar dia. Dan tak sangka pula dia rupanya menaruh hati pada saya juga.

Alhamdulillah kami berkahwin, semua urusan dipermudahkan. Sekarang sudah hampir enam tahun berkahwin, namun masih belum ada rezeki anak. Pada mulanya saya okay sahaja tetapi lama kelamaan saya menjadi tertekan kerana mak selalu menyoal dan menekan saya tentang anak.

Mak pun nak cucu juga. Nak teringin nak bermain dengan cucu sendiri juga..

Saya kasihankan isteri yang selalu disindir oleh mak. Jadi saya pun buat keputusan untuk berpindah. Yelah, sepanjang duduk bersama mak, pergerakan isteri agak terbatas. Nak bermanja dengan saya cuma waktu malam dan itupun dalam bilik sahaja, perlahan-lahan sebab bilik kami bersebelahan dengan bilik mak. Mak jenis tidur ayam, bunyi bising sikit saja dah terjaga. Nak tidur balik pun susah.

Mak pada awalnya tak nak bagi sampai merajuk. Jenuh saya nak memujuknya tetapi tak jalan juga. Saya bodek dia dengan macam-macam, barulah dia boleh terima. Tetapi rajin juga dia bertandang di rumah setiap hujung minggu. Tetapi saya dan isteri tak kisah pun, malah isteri lebih suka, tak boring katanya.

Isteri jenis pandai semua benda, serba serbi dia boleh buat. Memasak, menjahit, menukang, barang-barang perabot di rumah pun semua hasil tangan dia. Memang kreatif, kadang-kadang saya pun bangga dengan dia. Bila kawan-kawan datang ke rumah, puji hasil kerja isteri.

Namun manusia itu tidak sempurna. Walaupun dia pandai dalam serba serbi, dia masih kurang mahir melayan nafsu saya. Dia agak lurus dalam bab-bab ini. Mungkin sebab itu saya jadi tidak bernafsu apabila bersama dengan dia. Tambahan saya jenis cepat hilang mood kalau tengah bersama.

Pernah bertanya pada kawan-kawan, berapa kali seminggu mereka bersama. Ramai yang beri jawapan dua atau tiga kali seminggu. Saya pula hanya menyentuh isteri saya sebulan sekali atau dua kali sahaja. Itupun bukan kerana nafsu tetapi kerana nafkah. Kalau ikutkan, saya terseksa juga untuk bersama dengan dia. Macam saya paksa diri saya untuk bersama dengan dia. Walaupun begitu, dia tidak pernha merungut atau merajuk.

Konflik saya dengan isteri bermula apabila isteri terbaca WhatsApp saya. Kebetulan pada waktu itu saya tertinggal telefon sewaktu pergi ke pejabat. Entah macam mana saya boleh terlupa pada hari itu. Selalunya telefon itulah yang saya tak akan tinggalkan.

Bila balik waktu tengah hari untuk ambil telefon, saya nampak dia duduk atas sofa sambil pegang telefon saya. Wajah dia tenang sangat, saya ingatkan dia buka Facebook atau bermain game di telefon saya. Sebab dia bukan jenis periksa etlefon saya seperti isteri kawan-kawan yang lain. Dia cakap waktu mula-mula berkahwin, telefon itu privasi kita sendiri. Jadi dia memang tidak akan periksa.

Saya minta telefon saya, dia pun berikan pada saya. Bila tengok telefon, rupa-rupanya dia sedang baca perbualan WhatsApp saya dengan seorang perempuan (rakan sepejabat). Saya terkedu seketika, tak tahu nak buat macam mana. Saya nak jelaskan dari mana pun tak tahu. Saya cuma kata, saya kenal perempuan itu sebab dia budak intern. Lagipun saya yang incharge di bahagian intern.

Saya mengaku dengan isteri yang saya sudah terlanjur dengan perempuan itu beberapa kali. Hampir setiap hari di pejabat saya bersama dengan dia. Perempuan itu pandai melayan saya, bukannya seperti isteri saya. Dia buat saya rasa puas sangat, namun bahagian ini saya tidak ceritakan pada isteri.

Sambil saya jelaskan itu, saya pandang muka isteri yang hanya tenang. Saya pula yang menjadi resah dan gelisah melihat dia begitu. Saya janji dengan isteri saya tidak akan buat semua itu lagi tetapi isteri tetap mendiamkan diri. Langsung tiada tanda marah atau sedih.

Setiap kali selepas asar, dalam jam 5 petang lebih, saya rasa resah dan gelisah. Seperti ada yang tidak kena. Setiap kali itulah saya doakan abang balik kerja dengan selamat, diampunkan dosa. Saya risau abang kemalangan atau apa-apa sepanjang perjalanan pulang ke rumah.

Saya terkejut mendengar kata-katanya itu, sedangkan waktu itu saya sedang seronok ‘berprojek’ dengan perempuan itu. Memang kami sentiasa ‘bersama’ selepas asar. Waktu yang lain-lain habis waktu kerja.

Selepas isteri berkata demikian, dia senyum pada saya dan tanya saya nak makan apa untuk tengah hari itu. Saya kata saya tak nak makan apa-apa. Yelah, macam mana nak makan, tengok muka dia pun saya dah kenyang. Dia pula masih tenang. Saya benar-benar gelisah sampai saya ambil cuti kecemasan. Saya tidak balik ke pejabat selepas itu sebab saya nak tengok gelagat dia. Dia masih lagi masak di dapur. Saya ikut saja di belakangnya.

Selepas masak, kami makan. Kemudian solat zohor. Selepas itu dia angkat pakaian dan lipat. Sepanjang hari itu saya membontoti dia. Kadang-kadang dia tengok saya, dia senyum pada saya. Saya gelisah dan terseksa rasanya. Saya langsung tidak boleh meramal apa agaknya yang dia rasa dan fikirkan.

Sehinggalah waktu maghrib, dia masih meneruskan rutin hariannya. Siap tanya lagi,

Nak makan apa untuk makan malam ini?

Selepas makan malam, kami solat berjemaah. Kemudian tengok televisyen dan dia ajak saya layan filem Harry Potter yang dia sangat minat. Jadi malam itu saya pasanglah filem itu. Dari episod satu hinggalah episod tiga. Bila dah dekat jam 1 pagi, saya dah mula mengantuk tetapi isteri masih belum mengantuk lagi.

“Sayang, abang nak tidur. Esok nak kerja,” kata saya padanya.

Isteri hanya senyum dan mengangguk kepalanya. Saya pun masuk bilik dan tidur. Tetapi entah macam mana, saya terjaga jam tiga pagi, saya pandang ke kiri, tiada kelibat isteri. Saya risau dan turun ke bawah, nampak dia berada di ruang tamu sedang bersujud. Saya pun berdiri di tepi tangga menunggu dia habis solat. Agak lama dia sujud, lama sangat. Hampir 20 minit lamanya. Kemudian baru saya nampak dia bagi salam. Saya nak tegur tetapi saya terdengar dia menangis sambil berdoa.

Dalam doanya, dia memohon pada Allah agar Allah mengampunkan dosa saya berzina. Tiga kali dia mengulangi ayat itu. Dia juga berdoa dan memohon Allah ampunkan dosa perempuan itu.

Waktu itu, saya terduduk di tangga mendengar doanya. Air mata saya menitik dengan sendiri. Dia berdoa lagi agar Allah lembutkan hati saya untuk maafkan dia sebab dia tidak pandai melayani saya. Lama dia berdoa, menangis-nangis dia atas sejadah.

Saya bangun dan pergi dekat padanya. Dia menangis, dia pula yang meminta ampun pada saya sebab saya makan luar kerana dia tidak pandai melayan nafsu saya. Dia minta maaf banyak kali pada saya kerana kekurangannya itu. Saya menjadi serba salah sedangkan saya yang sepatutnya meminta maaf pada dia. Saya yang mencurangi dia, saya yang makan luar, saya tidak peduli dia, jarang sentuh dia, tetapi masih lagi dia menyalahkan dirinya atas sikap saya.

Selepas malam itu, dia kembali seperti biasa dan melayan saya seperti sebelum ini. Dia tanya saya nak sarapan apa, nak makan tengah hari lauk apa, makan malam apa. Cuma saya yang gelisah melihat dia berperangai seperti itu. Sebab saya menjangka dia akan memarahi saya, memaki hamun saya. Paling tidak pun baling pinggan mangkuk ke, halau keluar dari rumah ke, tetapi dia diam sahaja.

Saya nak minta tolong kaum hawa dalam page ini, apa yang saya perlu lakukan? Saya minta maaf dengan isteri dan isteri memaafkan saya. Tetapi kenapa saya masih rasa bersalah dengan sikap isteri walaupun dia sudah memaafkan saya? Apa yang saya perlu lakukan? Saya buntu. Sudah hampir tiga minggu rasa bersalah masih terasa di dada. Terseksanya saya.

Written by Sazarimma

Seorang penjawat awam yang ada life insurance, suka travel dengan Air Asia, ada sikit simpanan dalam bank dan suka tengok wayang.

3 Comments

Leave a Reply
  1. Bagus nya awak ……Rasa bersalah dgn APA yg awak buat…….Isteri awak Masih boleh Terima awak…….wlpn awak berzina……Saya ingin ceritakan kisah Saya suami Saya amat Baik pergi buat umrah sekali …Dan pergi medical team musim haji 2 Kali Tapi………suami Saya boleh berzina dgn perempuan lain ….perempuan tersebut Adalah Isteri org…..suami Saya tipu Selama 2 Tahun dia telah buat kerja terkutuk itu…..Setelah suami betina tu dtg berjumpa dgn saya …memberitahu bahawa suami Saya Dan Isteri dia telah berzina……..hancur Hati saya bila dpt tahu suami yg Saya cintai Dan saya telah lahir Kan 4 zuriat untuk dia tergamak dia berzina dgn betina lain………..sampai Skrg Saya x boleh terima Dan maafkan dia…….wlpn kami tidak bercerai sbb anak2…kami hanya suami Isteri diatas kertas di depan anak2 kami berlakon……. seperti suami Isteri……mulia Hati Isteri awak……..

  2. Saya juga pnh mengalaminya..suami saya curang & terlanjur dgn wanita lain. Saya tenang memaafkan nya.tak pernah marah malah saya sendiri berjumpa dengan wanita tu untuk izinkan mereka bernikah? Hanya Allah saja yang tahu perasaan saya tapi saya pikir positif ketika tu sebab kami ada 3org anak yg masih kecil..Keluarga pun saya tak cerita..Hanya berserah bulat2 pada Allah..Kalau Allah masih panjangkan jodoh saya dengan suami,saya redha & kalau sebalik nya,saya hanya mampu doakan yang terbaik untuk kami berdua & keluarga.Cuma saya masih tak dapat lupakan hal tersebut..redha dgn ketentuan Allah..ada hikmah disebalik kejadian tu..dah lama berlaku tahun 2012.bila saya lemah & teringat hal dulu,saya akan serahkan pada Allah..terkadang badai ujian melanda tapi Allah sentiasa ada bersama..nasihat saya,encik banyakkan solat taubat..gantikan kekhilafan dulu tu dengan sentiasa mohon ampun pd Allah..yakinkan pada isteri yang encik dah betul2 berubah..setiap manusia memang akan melakukan kesilapan..bagaimana kita menggantikan kesilapan tu lah bergantung pada diri kita..muhasabah diri..sentiasa positif & sentiasa ingat setiap ujian yg datang pasti ada hikmah disebalik apa yg berlaku..wallahualam

  3. Pada penzina,

    1. Taubat nasuha dengan segera, jangan bertangguh kerana maut pasti menjemput kita tanpa mengira waktu tua atau muda.

    2. Sekiranya perbuatan zina sudah diketahui pasangan, mohon juga keampunan kepadanya dengan tawaduk (lembut, penuh perasaan bersalah, dll) bukan dengan ego (tidak rasa bersalah malah merasakan bahawa alasan melakukan zina disebabkan oleh faktor kesalahan pasangan sendiri), tinggi suara, dll)

    3. Sekiranya perbuatan zina tidak diketahui pasangan, segera melaksanakan Perkara 1 tanpa melaksanakan Perkara 2. Bukan kerana takut atau bacul tetapi kerana bersangka baik dan bersyukur pada Allah s.w.t yang telah menutup aib kamu kerana melaksanakan Perkara 1.

    4. Seboleh-bolehnya, kekalkan perkahwinan kamu kerana perkara halal.yang dibenci Allah s.w.t adalah talaq. Apa jua yang berlaku dalam kehidupan adalah ujian sama ada dalam bentuk kesusahan mahu pun kesenangan. Kehidupan kita di dunia hanyalah sementara yang pastinya dipenuhi lagi dengan pelbagai ujian.

    5. Sekiranya anda seorang penzina yang tidak memikirkan untuk bertaubat atau pun belum ‘tertangkap’, jangan tunggu maut menjemput kamu, jangan tunggu pasangan kamu tahu kerana bandingan kesusahan yang bakal kamu terima sangat menyeksa dari keenakan yang kamu kecapi semasa berzina.

    Sesungguhnya Allah s.w.t jua yang maha mengetahui.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Loading…

0