MCA pada hari ini telah menemplak kerajaan Pakatan Harapan yang dikatakan tetap memutuskan untuk tidak menghapuskan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan tetap meneruskan di bawah penyeliaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula pada 1 September nanti.
Menurut laporan Malaysia Kini, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong melalui perkongsian beliau di laman Facebook berkata;
“PKR dan DAP selama ini mahu AES dihapuskan kerana berpendapat sistem itu kejam dan menjadi alat kerajaan BN.”
“Oleh itu saya terkejut apabila kerajaan Pakatan Harapan mahu meneruskan sistem AES malah berkata tiada lagi diskaun terhadap saman AES seperti yang dilakukan kerajaan BN. Bukankah ini lebih kejam?

“Lim Guan Eng juga terkenal kerana melarang AES dipasang di Pulau Pinang dan mendesak sistem itu dihapuskan dan menuntut semua denda yang telah dibayar dipulangkan,” jelas Wee.
Beliau juga turut mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew pada hari ini yang telah mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk membatalkan 3.1 juta saman AES yang masih belum dibayar.
Menurut Wee lagi, sekiranya kerajaan Harapan berhasrat untuk membatalkan saman AES mereka perlu adil dengan memulangkan semula bayaran denda yang telah dilunaskan oleh pesalah AES yang lain semenjak AES diperkenalkan pada tahun 2012.

Difahamkan, pembatalan tersebut dibuat selepas kontrak syarikat pengendali sistem AES yang akan tamat pada 31 Ogos nanti tidak akan disambung lagi oleh kerajaan, kata Loke.
Walau bagaimanapun, semua operasi kamera dan juga saman yang membabitkan AES dikatakan akan diambil alih secara sepenuhnya oleh pihak JPJ bermula pada 1 September nanti.
Malahan, penguatkuasaan juga akan dilakukan dengan tegas tanpa tolak ansur dan juga tanpa sebarang diskaun, jelas Loke lagi.
Apa pendapat anda sekiranya semua saman AES perlu dibayar walaupun saman tertunggak? Mungkin ramai yang bersetuju AES dihapuskan kerana ramai yang masih belum bayar, kan? Apa pun kita tunggu apa keputusan sepenuhnya.
Loading…