Sehingga ke hari ini kes buli yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah dan universiti semakin menjadi-jadi seolah-olah tidak berpenghujung. Perkara ini amat serius dan ketika ini topik hangat membabitkan pelajar Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain hangat dibincangkan.
Kes buli pelajar sekolah boleh dikatakan berlaku di mana-mana sahaja sama ada di sekolah rendah atau pusat pengajian tinggi. Mangsa yang dibuli akan mengalami kecederaan sama ada secara fizikal dan mental malahan ada yang trauma teruk.
Trauma Kerana Dibuli Rakan

Terkini, seorang wanita dan juga ibu turut berkongsi di Facebook tentang kisah anak lelakinya yang turut mengalami masalah yang sama berkaitan dengan buli di sekolah sehinggakan anaknya itu mengalami kecederaan serta badannya didapati lebam kebiruan.

ALLAHUAKBAR! MOHON PIHAK SEKOLAH PERKETATKAN LAGI PEMANTAUAN PADA ANAK-ANAK MURID YA. KANAK-KANAK ZAMAN SEKARANG CUKUP SENANG MENIRU PERKARA YANG SALAH.
Anak saya bernama ZulFarhan tapi dia bukanlah arwah Zulfarhan Osman yang diikat dan ditekap seterika wap panas oleh rakan-rakan seuniversitinya sehingga menyebabkan kematian.
Tapi anak saya juga pernah dibuli dalam tempoh dua tiga minggu, sehingga membuatkan dia trauma. Anak berusia 7 tahun yang dahulunya ceria, menjadi trauma, kurang bercakap dan lebih banyak termenung. Di situlah saya mengesyaki ada sesuatu yang berlaku selepas melihat ada kesan tapak kasut di belakang baju yang dipakainya.
Menganggap Sekadar Gurauan
Setiap hari pulang dengan kesan lebam dan bengkak, bila saya tanya dia cakap terlanggar bucu meja, hati ibu mana yang tidak luluh apabila jawapannya sama setiap hari?

Cuma saya ambil tindakan lebih awal, bertemu pihak atasan, malah saya berjumpa dengan rakan sekelasnya yang menyebabkan ZulFarhan mengalami kecederaan, saya hanya mampu menasihati rakannya itu. Saya anggap ianya hanya gurauan kasar di kalangan anak anak.
Nasib menyebelahi anak saya, ianya sudah tidak berulang lagi. Anak saya pun sudah pulih dan saya pernah bertanya pada anak saya bagaimana dia diperlakukan oleh rakan sekelasnya, dia jawab dipukul dengan batang penyodok sampah, ditendang dan dicocok dengan pensil.

Allahuakbar, luluh hati dengar. Saya tanya kenapa tak beritahu saya lebih awal, anak saya kata “abang dah maafkan dah kawan abang, mama kata kalau kita dah maafkan orang, kita kena lupakan, mama janganlah marah diorang. Abang dah maafkan dah“.
Kata-kata yang cukup mengesankan, yang keluar dari mulut anak berusia 7 tahun. Mungkin dia belum mengerti tentang makna buli yang sebenar, buli yang harus mendapat keadilan sebenar. Semoga kes arwah Zul Farhan Osman dapat ditegakkan keadilannya, semoga dipermudahkan segalanya, cerita Nur Fitri Damia di laman sosial.
Semoga Allah memberi kekuatan buat ibu dan seluruh keluarga arwah. Al-Fatihah untuk arwah. Semua ibu bapa wajib memantau anak-anak mereka dengan mengambil tahu dengan siapa anak berkawan dan sebagainya supaya perkara yang sama tidak berulang lagi.
Loading…