in

Kerana Ingin Kuruskan Badan, Pelajar Ini Terbunuh Selepas Terhempap Bebanan 110Kg Besi Angkat Berat Di Gimnasium

Mungkin ada juga yang beranggapan dengan pergi ke gimnasium dapat mengamalkan gaya hidup sihat, sentiasa bertenaga, kekal cergas dan dapat kuruskan badan. Tetapi, jaga-jaga jangan lakukan sesuatu yang berada di luar kemampuan diri sendiri kerana padah yang menanti.

Satu lagi kejadian tragis yang dilaporkan telah berlaku pada 4 Oktober lalu di sebuah gimnasium di Taman Melawati, Ampang di mana seorang lelaki muda menemui ajalnya kerana kemalangan sewaktu mengangkat berat.

Menurut laporan MMO, lelaki terbabit yang berusia 20 tahun itu bernama Ong Chong Jin didapati maut selepas membuat percubaan untuk mengangkat bebanan yang seberat 110 kilogram di gimnasium berkenaan.

Danial, salah seorang daripada rakan Ong ketika ditemuramah telah menceritakan bagaimana kemalangan yang berlaku kepada sahabatnya itu pada jam kira-kira 8 malam pada hari tersebut.

Menurut Danial, rakannya itu telah mula aktif dalam aktiviti ini semenjak beberapa tahun lalu dan turut sering melakukan senaman dengan mengangkat berat bebanan yang seberat kurang dari 100 kilogram, katanya.

“Saya sudah mengenalinya sejak beberapa tahun lalu dan sepanjang tempoh itu dia memang aktif melakukan senaman dengan berat bebanan kurang 100kg.

“Malah sepanjang tempoh itu dia berjaya mengurangkan berat badan daripada lebih 100kg kepada 80kg.”

Danial turut memaklumkan bahawa beliau langsung tidak menyangka Ong ingin mencabar dirinya untuk mengangkat bebanan seberat lebih dari 100 kilogram itu. Manakala, 5 lima rakannya yang lain turut bersama Ong pada hari kejadian itu.

Lebih menyedihkan, sewaktu kejadian tersebut berlaku terhadap Ong, tiada sesiapa pun bersamanya memandangkan ada rakannya pergi menunaikan solat dan pergi ke kedai untuk membeli rokok. Danial turut berkata, mereka sempat meminta Ong bersabar dan menunggu mereka sebelum memulakan aktiviti mengangkat berat tersebut.

“Mereka sempat menasihati Ong atau mesra dengan panggilan Mark supaya menunggu mereka. Aktiviti itu perlu pemantauan individu lain bagi mengelak insiden tidak diingini berlaku.”

Mungkin kerana teruja atau tidak sabar untuk mencuba mengangkat bebanan yang beratnya lebih dari 100 kilogram itu, Ong dipercayai terus mencubanya sendirian dengan mengangkat bebanan seberat 110 kilogram sebelum ianya terlepas dari genggaman tangannya serta turut menghempap lehernya yang menjadikan punca mengapa dia meninggal dunia.

Menurut sumber, sewaktu rakan-rakannya datang semula ke gimnasium tersebut, mereka sungguh terkejut apabila melihat Ong terbaring kaku dan tidak sedarkan diri di atas bench, lalu dengan segera mereka mengalihkan kedudukan besi berkenaan.

Dalam keadaan terkejut itu, mereka dikatakan telah membuat rawatan bantuan CPR, tetapi malangnya tiada sebarang reaksi dari Ong yang menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk menghubungi perkhidmatan kecemasan.

Ong kemudiannya dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur sebelum dilakukan pemeriksaan dan dilaporkan telah meninggal dunia tidak lama kemudian.

Ong Chong Jin

Laporan dari ChinaPress, Ketua Polis Ampang Jaya, OCP Hamzah Alias mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan insiden tersebut dan turut berkata ianya diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Apabila perkara sebegini berlaku, keluarga dan rakan-rakan adalah orang yang paling sedih selepas menerima perkhabaran yang amat mengejutkan itu iaitu kematian Ong yang dikatakan bakal tamat pengajian tidak lama lagi.

Difahamkan, Ong juga akan menyambut hari lahirnya yang ke 21 tahun dalam masa lagi dua minggu, namun ajalnya telah tiba dan menjemputnya sebelum meraikan hari ulangtahun kelahirannya itu.

Orang ramai terutamanya mereka yang terlibat dalam aktiviti sebegini dinasihatkan sentiasa berhati-hati dan harus memastikan ada sesiapa sahaja yang menemani ketika melakukan aktiviti yang amat merbahaya seperti ini.

Written by Sazarimma

Seorang penjawat awam yang ada life insurance, suka travel dengan Air Asia, ada sikit simpanan dalam bank dan suka tengok wayang.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Loading…

0