Sebanyak 85 masjid di sekitar Wilayah Persekutuan dijangka bakal menerima bantuan mesin ATM beras yang dikhaskan untuk membantu golongan asnaf yang berdaftar bagi menerima pemberian beras secara percuma iaitu seramai 23,000 orang melalui Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Mesin ATM beras yang pertama di Malaysia telah pun diletakkan di Masjid Al-Akram, Datuk Keramat dan telah dirasmikan semalam dengan kehadiran Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail yang turut menyerahkan kad pintar mesin tersebut kepada 10 asnaf yang layak menerima dua kilogram beras seminggu secara percuma.

Memetik laporan Berita Harian, Mohd Ajib berkata, rancangan meletakkan mesin ATM beras di masjid akan dibincangkan lagi ketika persidangan antara Jawatankuasa Masjid-masjid di Wilayah Persekutuan pada bulan Mac akan datang.
Mesin ATM beras yang berharga RM19,000 setiap satu itu turut mempunyai dua fungsi yang menarik iaitu dapat mengeluarkan beras mengikut kuantiti diperlukan dan juga mempunyai tabung derma bagi mereka yang ingin menyumbangkan duit untuk tujuan isian semula.
Pihak JAWI juga sangat mengalu-alukan sumbangan daripada badan-badan korporat dengan tujuan untuk menjadi rakan strategik bagi bersama-sama menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan seperti golongan asnaf.

Menurutnya, badan-badan korporat yang mempunyai bajet Tanggungjawab Sosial Korporat diharapkan agar dapat menjadi rakan strategik masjid dan juga JAWI dalam usaha murni untuk mempermudahkan saluran bantuan kepada asnaf dan juga mereka yang memerlukan bantuan seumpamanya.
Perkhidmatan mesin ATM beras ini juga telah mendapat perhatian orang ramai dan menjadi topik hangat di laman sosial. Rata-rata netizen turut menyatakan bahawa mereka amat menyokong penuh dengan sumbangan mesin ini yang boleh meringankan beban golongan yang tidak berkemampuan.
Baca : Mesin ATM Beras Yang Pertama di Malaysia Untuk Bantu Golongan Asnaf
Malahan ramai berpendapat bahawa bantuan seperti ini harus dilaksanakan juga di semua masjid-masjid yang terdapat di negara ini bagi tujuan memberikan bantuan yang sama kepada golongan asnaf yang layak kerana masih lagi ada golongan yang memerlukan di setiap negeri.
Berkemungkinan perlaksanaan mesin ini masih di peringkat awal di Wilayah Persekutuan manakala di tempat lain akan dilakukan juga di masa akan datang. Diharap pihak berwajib akan turut menyediakan bantuan mesin ATM beras ini di masjid-masjid setiap negeri atau sekurang-kurangnya satu di setiap daerah atau negeri.
Loading…