Tampil berbeza di hari graduasi, Nur Liyana Razali, gadis berusia 26 tahun tersebut berjaya menarik perhatian apabila mengenakan pakaian etnik Murut-Nabai, iaitu salah pakaian etnik masyarakat Sabah pada hari istimewa tersebut. Gadis yang berasal daripada Papar, Sabah ini berjaya menerima Ijazah Sarjana Kejuruteraan dari University of Manchester di United Kingdom.
Berpakaian Tradisional Etnik Murut-Nabai Pada Hari Graduasi
Gadis yang berketurunan Brunei-Murut itu menjadi bualan dan menerima pujian apabila memuat naik gambarnya di media sosial yang berpakaian tradisional etnik Murut-Nabai tersebut berserta jubah graduasinya dan juga ‘mortar-board’ ketika menerima ijazah beliau. Gambar tersebut tular di media sosial terutamanya dalam kalangan masyarakat Sabah.
Nur Liyana sepatutnya menerima ijazah pada 2020, namun, disebabkan oleh COVID, majlis tersebut ditangguhkan. Majlis graduasi beliau yang berlangsung di United Kingdom itu turut dihadiri oleh kedua ibubapanya dan adik beradiknya yang lain.
“Sebagai orang tua, saya sangat gembira atas kejayaan Nur Liyana dan terima kasih kepada kerajaan negeri melalui Yayasan Sabah yang memberikan biasiswa kepada Nur Liyana,” ujar bapa beliau.
Bukan Untuk Mengejar Publisiti, Tetapi…
Tujuan Nurliyana mengenakan pakaian baju tradisional yang bercorak ‘linangkit’ itu bukanlah untuk mengejar publisiti.
Menurut Nur Liyana, beliau memang memilih untuk memakai pakaian tersebut bagi mempamerkan tradisi masyarakat Sabah di luar negara sekaligus mengajak anak muda untuk berbangga dengan kebudayaan yang dimiliki. Ramai generasi muda yang tidak mengetahui pakaian tradisional, oleh itu, inilah masa yang sesuai untuk memperkenalkannya kepada mereka.
“Sudah tentu saya gembira dapat menerima segulung Ijazah Sarjana, namun kenangan itu lebih manis apabila saya dapat mempamerkan kebudayaan Sabah di Borneo suku Murut daripada keturunan sebelah ibu saya,” ujar beliau dalam temubual bersama Utusan Borneo.
Kini, Nur Liyana bertugas sebagai Pelatih Pengurusan di syarikat Nestle Malaysia, Kuala Lumpur.
Etnik Di Sabah
Untuk pengetahuan anda, menurut Wikipedia, etnik di Sabah terdiri daripada sekurang-kurangnya 35 kumpulan dengan menggunakan lebih dari 50 bahasa dan tidak kurang dari 90 dialek. Bahasa rasmi negeri Sabah ialah Bahasa Melayu (seperti negeri lain di Malaysia), namun terdapat bahasa-bahasa lain yang ditutur; seperti Bahasa Kadazan, Tombonuo, Sungai, Sama dan lain-lain.
Sumber: www.utusanborneo.com
Loading…