in

Betapa Manisnya Pengorbanan Suci Seorang Ibu Yang Sanggup Lakukan Apa Saja Demi Anak Tercinta

kasih sayang seorang ibu

Saya anak gadis berumur 24 tahun, belum berkahwin dan seorang kakak sulung daripada tiga adik-beradik. Menulisnya saya di sini adalah kerana ingin berkongsi sedikit pengalaman saya sebagai seorang anak sulung yang mungkin boleh diambil sebagai iktibar kepada ibu bapa.

Ini kerana saya begitu tersentuh apabila membaca beberapa confession tentang suri rumah, tentang suami yang serba tidak kena. Belum lagi kita tengok akak-akak dan makcik-makcik yang banyak makan garam ni memberi komen yang mengeluh dengan perkara yang sama. Ya Allah, beristighfar saya membacanya.

Puan-puan dan tuan-tuan, kalau puan puan mahu mengecam saya kerana saya bukan seorang ibu, belum berkahwin dan sebagainya kerana saya tak rasa apa yang puan-puan rasa, silalah mengecam. Di sini saya hanya ingin berkongsi untuk renungan bersama sahaja.

Meskipun saya bukan seorang ibu, tapi saya dah melihat bagaimana pengorbanan seorang ibu, bagaimana ibu saya membesarkan saya dan adik-adik tanpa seorang suami di sisi.

Sejak saya kecil ibu saya bekerja pagi petang siang malam. Umur saya empat tahun ibu kerja kilang, saya dan adik-adik pula ditinggal bersama nenek. Jadi pelbagai ragam ibulah saya lihat di rumah. Ibu saya kerja pagi balik malam, masuk kerja malam balik pagi, balik rumah masak kemas untuk kami dan selebihnya masa dia untuk rehat.

Lantaklah kami 3 beradik pecah rumah haha. Begitulah keadaan ibu sampai umur saya masuk 8 tahun. Puan-puan, ibu saya sangatlah garang, meskipun dia sibuk, dia upah orang untuk ajar saya ngaji, selalu menasihati saya . Ibu garang, kalau saya nakal dengan adik-adik habis saya dicubit dan dipukul dengan hanger sampai patah.

Walau bagaimanapun, ibu sentiasa semat dalam diri saya untuk menjadi contoh pada adik-adik yang lain. Sikap tegas ibu saya membuatkan saya lebih berdikari dan jenis tak payah disuruh dah pandai nak buat apa.

Tak payah diajar, saya dah belajar benda itu apa. Umur saya 8 tahun, saya dah pandai masak untuk adik-adik, basuh kain, basuh pinggan, gosok baju sekolah, kemas rumah. Kalau saya tak buat semua tu, siapa lagi saya nak harapkan.

“Ibu saya tak pernah datang sekolah untuk tanda tangan report card saya kerana tiada masa , kadang-kadang saya sedih sebab ibu tiada masa untuk saya. Jangan kata berjalan pergi bersiar siar dengan ibu, langsung tiada.”

Saya jadi anak kampung yang hanya pandai bawa diri dengan adik-adik. Mujur adik adik pun paham, kadang kadang masa ibu kerja malam kami di rumah tiga beradik nak tidur menangis, saya pegang tangan adik adik saya pesan kat adik adik, kita jangan lemah semangat, tunjukkan kat orang kita susah pun boleh berjaya, selalu ingatkan adik adik kita ada ibu, kita ada tuhan.

“Tiap tiap malam menangis bersama adik adik sampai tertidur. Bila ibu balik kerja malam, saya tersedar dengar esakkan ibu pula menangis, masa tu saya akan tanya ibu kenapa, ibu akan luah segalanya. Bayangkan sejak saya berumur 6 tahun dah menjadi pendengar setia ibu.”

Manakan tidak saya memahami ibu saya. Bila masa ibu cuti, ibu solat bersama kami sambil menangis mengenang nasib di atas sejadah. Begitulah hidup kami sampai saya masuk tingkatan 6. Tingkatan 6 saya sekolah sambil bekerja di restoran fast food area bandar.

Pagi saya pergi sekolah smpai pukul 3. Pukul 4 saya bekerja sampai pukul 12 malam. Esok ulang lagi benda yang sama. Itu semua untuk sara hidup keluarga kami. Saya nak bantu ibu, saya nak masuk universiti untuk ubah hidup keluarga. Saya belajar bersungguh-sungguh, saya menangis tiap malam rasa penat rasa sunyi tuhan sahaja yang tahu masa tu.

Gambar Hiasan

Bayangkan, masa saya STPM saya bekerja sebagai cashier tapi buku di sebelah. Nasib baik bos dan rakan rakan paham situasi saya. Pernah suatu malam rumah masuk perompak dan adik perempuan saya hampir dirogol, ibu yang selamatkan adik dengan menolak kipas di rumah sehingga jatuh, tarik perompak tersebut yang sudah di atas adik.

Ibu menjerit sekuat hati sehingga perompak itu lari ketakutan melihat ibu seakan kerasukan. Mujur ibu hanya cedera ringan cuma luka di kepala terkena parang panjang perompak semasa selamatkan adik. Hebatkan ibu?

Ibu. Sampai sekarang masih tetap bekerja tapi ibu buka gerai makan di kampung, alhamdulillah perniagaan ibu dapat sambutan. Sekarang, saya dah berjaya menggenggam segulung ijazah, adik adik semua dah masuk universiti, saya dah bekerjaya dan masih bersama ibu. Semua ini berkat kesabaran, kesungguhan, ketabahan ibu saya hingga Allah permudahkan urusan anak-anak.

Puan puan, kita semua hidup dalam keadaan dan situasi yang berbeza. Kalau kita rasa kita terlalu susah, terlalu payah ada lagi kehidupan orang lain yang begitu mencabar. Puan-puan sebagai ibu, perkataan yang sinonim untuk saya ungkapkan ialah bersyukur dan bertabah.

“Ya, bersyukurlah. Ibu saya sampai sekarang ingin merasa jadi suri rumah sepenuh masa kerana dia merasakan penatnya bekerja. Tapi saya sebagai anak, sentiasa beri nasihat dan sokongan pada ibu.”

Bukan tak pernah ibu mengeluh penat sambil menangis dengan saya mengenang nasib, tapi saya selalu cakap kat ibu sabarlah ibu, kita bersyukur kita semua sihat, masih dapat makan , masih dapat bersama. Saya selalu pesan, jangan mengeluh ibu, semua ni ujian untuk kita mana tahu ada yang indahnya nanti cuma Allah simpan dulu kisah indah kita.

“Percaya ah puan puan ibu mengatakan pada saya bahawa ibu pernah terfikir ingin meminum racun sewaktu saya kecil kerana terlalu tertekan di tinggal suami, dan kepayahan hidup. Tetapi mengenangkan anak-anak ibu terus tabah.”

Puan-puan percayakah puan-puan Kerana ketabahan ibu, kecekalan ibu dan pengorbanan ibu pada kami membuatkan anak-anak lebih menghargai dan menghormati ibu. Adik lelaki saya yang berumur 21 tahun sekiranya cuti sem dia akan sidai kain dirumah, mesin rumput, tolong ibu di gerai, kami adik-beradik akan sepakat membantu ibu.

Segala urusan belajar dan universiti kami pun kami sepakat selesaikan tanpa bantuan ibu , adik adik saya kalau cuti sem, masa belajar pun bekerja untuk meringankan beban ibu. Kami yang masih belajar pun tidak pernah lupa untuk beri duit belanja ibu.

Belum lagi kisah kami yang selalu ingin mengembirakan ibu dengan pelbagai cara, sebab itu kami semua belajar bersungguh sungguh, kerana ingin membanggakan ibu. Sikit pun kami tidak pernah mengeluh meskipun serba kekurangan.

Adik adik saya sentiasa saya beri semangat dan kata kata perangsang agar mereka gembira melalui hidup tanpa memikirkan tentang payah nya hidup, susahnya hidup ini. Tidak. Selepas saya membaca confession dan komen tentang suri rumah yang rata rata mengeluh dengan perkara yang sama,saya bertanya pada ibu apa ibu rasa masa dulu, ibu cakap tipulah tak penat tak tertekan tapi kita jadi ibu perlu sentiasa kuatlah, anak itu amanah Allah, syukur ada anak.

Ada orang yang ada anak mengeluh, sedangkan yang tiada anak ikhtiar pelbagai cara mahukan anak. Ibu kata ibu hidup hari ini kerana anak-anak ibu. Sedarkan ibu bagi kami ,kami hidup hari ini kerana Ibu. Kalau kenangkan pengorbanan ibu, pasti menitik air mata kami.

Puan puan saya tidak menidakkan kepenatan dan stress nya seorang ibu, tidak sama sekali. Apa yang saya tahu besarnya pengorbanan ibu, dan saya mengharapkan anak-anak puan juga mengerti akan pengorbanan puan padanya suatu hari nanti.

Bila ada yang mengeluh, kita pun sama samalah memberi semangat dan idea yang bernas untuk ibu-ibu yang stress ini, jangan lah pula kita menambah emosi mereka dengan kata kata yang tidak membina malah memberikan impak negatif pada emosi mereka. Maka bertambahlah rasa stress, marah, penat itu.

Bila kita positifkan diri, memberi inspirasi dan semangat pada orang lain insyaallah hati lebih tenang dalam urusan seharian, yang sukar pun jadi mudah , yang sakit hati jadi ikhlas. Puan puan, kita semua di uji dengan pelbagai cara, ibu pun pernah berkata tuhan akan uji seorang ibu dengan anak anak nya, tidak dengan anak, dengan suaminya, tidak dengan suami dengan kesihatan nya, tidak dengan kesihatan dengan hatinya. Sebab itu ada syurga di tapak kaki seorang ibu.

Saya mengharapkan agar para ibu tabah menghadapi ujian hidup, bergembiralah dengan anak anak yang Allah amanahkan ini. Lihat wajahnya seperti mana ibu saya melihat wajah saya disaat kepenatan dan keletihan. Mungkin hari ini kita penat lelah mahu besarkan mereka,Mungkin nanti bila anak-anak sudah besar, baru kita rasa tuaian padi kita berhasil dan memberi manfaat kita bersama.

“Kerana anak-anak itulah harta, anak-anak itulah kekuatan bagi ibu bak kata ibu. Akhir kata, doakan ibu saya sihat dan saya dapat membawa ibu saya menunaikan umrah tahun hadapan.Saya pun berharap suatu masa nanti saya menjadi seorang ibu yang cekal,tabah dan sabar seperti ibu saya. Semoga semuanya dipermudahkan.”

Insyaallah.

Along

Written by Sazarimma

Seorang yang suka mempelajari sesuatu yang baru dan gemar melakukan aktiviti lasak. Seorang penjawat awam yang amat optimis, kemahiran berkomunikasi dengan sesiapa sahaja dan suka membaca.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

Comments