Viral di laman sosial seorang kanak-kanak lelaki yang mungkin berusia 5 tahun didapati maut dalam sebuah kereta selepas dipercayai terkunci di dalamnya selama dua hari di sebuah kawasan tanah lapang berdekatan dengan sebuah pangsapuri di Jakarta Utara.
Menurut Pesuruhjaya Polis Mustakim dari Agensi Siasatan Jenayah, Daerah Metro, mayat kanak-kanak terbabit ditemui pemilik kereta berkenaan iaitu Afandi berusia 26 tahun ketika mahu menggunakan kenderaan tersebut.

Menurut Afandi, dia sangat terkejut selepas mahu meletakkan beg tangan miliknya di bahagian kerusi lalu ternampak mangsa yang ketika itu tidak lagi bernyawa.
Berdasarkan apa yang dilaporkan Afandi, orang yang terakhir yang menggunakan kereta miliknya itu adalah abang iparnya sendiri iaitu Ruslan dan kemudian menyerahkan semula kereta tersebut kepada Afandi pada Jumaat lalu iaitu 19 Oktober sekitar jam 1 petang.
Ruslan dikatakan terlupa untuk mengunci pintu kereta berkenaan yang menyebabkan mangsa telah berjaya masuk ke dalamnya ketika bermain serta dipercayai terperangkap di dalamnya.

Menurutnya, kanak-kanak tersebut bermain-main di kawasan kereta serta masuk lalu tidak berjaya untuk keluar semula selepas kereta berkenaan tertutup secara automatik walaupun mangsa dikatakan berusaha untuk keluar sebelum ditemui sudah tidak bernyawa.
Menurut Mustakim, mangsa maut disebabkan kepanasan serta kehabisan oksigen serta turut mengesahkan pemilik kenderaan bukanlah ahli keluarga dengan mangsa. Kanak-kanak tersebut adalah anak salah seorang penghuni pangsapuri berdekatan.
Bapa mangsa juga tidak mempunyai sebarang pertalian dengan pemilik kenderaan dan kereta tersebut hanya diletakkan berdekatan dengan pangsapuri tersebut. Mayat kanak-kanak malang berkenaan telah dihantarkan ke Hospital Cipto Mangunkusumo untuk dibedah siasat.

Menurut laporan Tribun Medan, mangsa telah dilaporkan hilang semenjak dua hari lalu dan ahli keluarga mangsa juga telah membuat laporan polis di atas kehilangan mangsa serta turut memuat naik status di laman sosial Facebook yang meminta orang ramai membantu ibunya mencari mangsa.
Ibu mangsa yang dikenali sebagai Leha menyatakan pada petang Jumaat lalu sekitar jam 4 petang, beliau memberikan mangsa makan kemudian mangsa meminta menukar baju pada neneknya sebelum terus keluar dan tidak pulang.
Sewaktu kejadian, bapa mangsa dikatakan tidak berada di rumah kerana keluar untuk berkerja sementara neneknya telah mula resah dan gelisah selepas mangsa tidak pulang ke rumah walau hari telah senja.
Menurut Leha lagi, kebiasaannya mangsa akan kembali ke rumah setiap 10 dan 15 minit jika berada di luar dan biasanya dia akan pergi ke warung berdekatan sahaja untuk membeli jajan. Namun, pada kali ini mangsa dikatakan telah pergi jauh dari biasa.
Penduduk berdekatan serta keluarga mangsa telah berusaha mencari mangsa di sekitar kawasan berkenaan yang kemudiannya menemui mangsa di dalam kereta kira-kira hanya 200 meter daripada rumahnya.
Loading…