in

Cara Mandi Wajib Yang Betul dan Sah (Lelaki dan Perempuan)

cara cara mandi wajib yang betul

Mandi wajib adalah satu perkara yang tidak boleh diambil ringan oleh lelaki serta perempuan dan anda harus memastikan cara mandi wajib atau mandi junub yang anda lakukan itu adalah dengan cara yang betul dan sah dari segi hukum agama Islam yang telah ditetapkan. Sama ada setelah haid atau nifas, selepas bersalin, selepas bersetubuh atau selepas keluar air mani, adalah penting untuk memastikan ibadat yang dibuat itu betul dan tepat diikuti niat mandi wajib.

Apa saja jenis air mandian yang digunakan pula seperti air paip, air hujan atau air pancut, anda wajib pastikan air tersebut adalah air mutlak dan bersih. Dengan mengikuti panduan lengkap cara dan niat mandi wajib tentunya mandi junub anda itu sah walaupun tidak mandi lama-lama dan kelihatan cepat, senang, ringkas dan mudah asalkan mandian tersebut sempurna mengikut hukum syarak.

Panduan Cara Mandi Wajib Yang Betul dan Lengkap

cara mandi wajib
Mandi wajib tidak boleh diambil mudah dan harus melakukan dengan betul.

Cara-cara mandi wajib dengan betul, seseorang itu tidak boleh melakukannya dengan hanya mandi secara berdiri atau duduk mencangkung sahaja. Sebaliknya, ia mesti dilakukan dalam kedua-dua keadaan bagi membolehkan seseorang itu meratakan air ke seluruh anggota badannya yang zahir.

Penolong Pengarah Bahagian Dakwah,Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Ustaz Haji Mat Jais Kamos, menegaskan, bagaimanapun, berdasarkan pengalamannya sebagai bekas kadi di Pejabat Agama Islam Gombak Timur dan penceramah, didapati banyak umat Islam yang tidak mengetahui perkara ini.

Akibatnya, cara mandi wajib lelaki atau perempuan itu menjadi tidak sah kerana tidak memenuhi salah satu rukun mandi wajib iaitu meratakan air ke seluruh anggota badan yang zahir. Apabila mandi wajib tidak sah, ibadat yang dilakukan oleh seseorang itu juga turut tidak sah. Itulah akibatnya jika tidak melakukan mandi wajib yang betul.

Mandi wajib yang juga disebut sebagai mandi junub atau janabah tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang remeh oleh umat Islam. Setiap orang yang melakukannya mestilah mengetahui niat mandi wajib dan mematuhi rukun-rukunnya. Jika tidak, mandi wajib perempuan dan lelaki itu tidak akan sah.

Rukun mandi wajib ada 3 perkara:

Pertama: Niat.

Kedua: Menghilangkan najis pada badan.

Ketiga: Meratakan air ke seluruh anggota badan yang zahir.

Niat mandi wajib lelaki dan perempuan:

“Sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah Taala.” Atau “Sahaja aku mandi wajib kerana Allah Taala.”

Niat itu di dalam hati dan ia hendaklah disertakan ketika air sampai ke mana-mana bahagian anggota badan.

Niat mandi wajib perempuan selepas habis haid:

“Sahaja aku mengangkat hadas haid kerana Allah Taala.”

Niat mandi wajib perempuan yang habis nifas:

“Sahaja aku mengangkat hadas nifas kerana Allah Taala”.

Niat mandi junub
Setiap mandi junub harus disertai dengan niat mandi wajib yang betul.

Mengenai Rukun Mandi Wajib yang kedua, iaitu menghilangkan najis yang ada pada badan, menurut Ustaz Haji Mat Jais, menurut Imam Nawawi, jika kita ada najis di badan, najis itu boleh dibasuh serentak dengan mandi wajib. Ertinya membasuh najis dengan mandi itu boleh disekalikan atau sekaligus.

Sementara rukun mandi wajib yang ketiga, iaitu meratakan air ke seluruh anggota badan yang zahir, meliputi kulit, rambut dan bulu yang ada di badan, sama ada bulu-bulu yang jarang atau lebat. Jika rambut seseorang itu ditocang atau disanggul, sekiranya tidak sampai air ke dalamnya, tocang atau sanggul itu wajiblah dibuka. Bulu-bulu dalam lubang hidung pula, tidak wajib dibasuh kerana dianggap batin. Tetapi sekiranya,bulu-bulu di dalam hidung itu bernajis, ia wajiblah dibasuh.

Mengenai kuku pula, jika di dalam kuku ada kotoran yang boleh menghalang sampai air ke badan khususnya di bahagian bawah kuku, kotoran itu wajiblah dibuang. Membuang kotoran di dalam kuku itu pula boleh dilakukan ketika sedang mandi.

Tentang rambut yang diwarnakan pula selain inai, inilah yang merumitkannya. Sebenarnya jika rambut seseorang itu diwarnakan dengan pewarna selain inai, mandi wajib seseorang itu tidak sah. Oleh itu,seseorang yang mewarnakan rambutnya dengan pewarna selain inai, jika dia hendak mandi wajib, dia mestilah membuang pewarna pada rambutnya terlebih dahulu. Tetapi untuk membuang pewarna itu pula bagaimana? Inilah yang rumitnya, sedangkan pewarna pada rambut itu sebenarnya tidak boleh dibuang begitu mudah.

Yang menyebabkan mandi wajib orang yang menggunakan pewarna pada rambutnya tidak sah kerana pewarna itu akan menyalut rambutnya yang menghalang air sampai ke rambut. Ini berbeza dengan inai. Inai sebenarnya akan meresap ke rambut, tetapi pewarna pula akan menyalut rambut menyebabkan air terhalang ke rambut.

Tetapi dalam hal ini, jangan pula ada yang salah faham. Sebenarnya pewarna itu jika dikeluarkan sijil halal oleh JAKIM dan sekiranya pewarna itu tidak bernajis, bukanlah bermaksud menjadi tidak sah. Dalam hal ini, sukalah saya menyatakan bahawa sembahyang dan mandi wajib itu berbeza. Jadi,mestilah dipandang dari sudut yg berbeza.

Huraian mengenai rukun mandi wajib seperti yang telah saya nyatakan ini adalah merupakan perbezaan sah atau tidak mandi wajib. Jadi, ia perlulah diberikan perhatian yang lebih oleh umat Islam.

Mengenai sebab-sebab seseorang itu wajib mandi wajib pula, Ustaz Haji Mat Jais menegaskan, sebab-sebabnya terdiri daripada 6 sebab. 3 sebab melibatkan lelaki dan perempuan iaitu kerana bersetubuh walaupun tidak keluar air mani, keluar air mani dan mati.

Manakala 3 sebab lagi hanya melibatkan kaum perempuan sahaja, iaitu keluar darah haid, nifas dan melahirkan anak (wiladah).

Mandi wajib boleh dilakukan dimana-mana dengan menggunakan air mutlak sama ada air telaga, air paip, sungai, laut dan tasik. Bagi pasangan suami isteri yang bersetubuh pula, mereka tidak semestinya mandi selepas bersetubuh, tetapi diwajibkan mandi ketika ingin beribadat.

Selepas bersetubuh pula, jika ia dilakukan pada waktu malam, jika tidak mahu mandi wajib lagi, seeloknya ambillah wuduk sebelum tidur itu adalah sunat, manakala tidak berwuduk sebelum tidur adalah makruh.

BACA : 10 Jenis Solat Yang Tidak Diterima Allah. Baca Supaya Ibadah Solat Kita Tidak Sia-Sia!

PENERANGAN YANG LEBIH JELAS TENTANG NIAT MANDI WAJIB.

SECARA ASASNYA, APA YANG PERLU SELEPAS BERNIAT, AIR MESTILAH DIRATAKAN WALAUPUN SEKALI.

Jadi, contohnya, seseorang yang mandi dulu tanpa niat (katakan mandi sungai) selama 30 minit. Kemudian selepas sudah puas mandi dan nak balik. Lalu, dia berniat mengangkat hadas besar. Kemudian dia terjun sekali lagi dalam sungai dan dengan sekal iterjun itu dia berjaya meratakan air ke seluruh anggota tubuh badan termasuk di celah-celah dan sebagainya. Mandi wajib itu sah dengan sekali terjunan sahaja.

ATAU

Dia sudah basuh satu anggota terlebih dahulu sebelum lafaz niat. Selepas itu dia berniat dan mandia serta basuh juga anggota badan yang dia telah pun basuh sebelumnya iaitu sebelum niat tadi. Jadi, sah cara mandi wajib nya.

Walau bagaimanapun, yang menjadikan tak sah pula adalah seperti situasi berikutnya;

Selepas dia basuh satu anggota sebelum berniat tadi dan selepas berniat, anggota yang dia dah pun basuh sebelum niat itu tak dibasuh lagi.

Maksudnya, hanya dengan adanya satu basuhan sahaja yang berlaku iaitu basuhan yang sebelum lafaz niat itu tadi, menunjukkan betul tidak sah mandiannya.

Sebenarnya cara mandi wajib sangat simple dan mudah dan tiada syarat tertib pun dalam mandi wajib atau berturut. Jadi, andaikan selepas mandi, kita tengok ada plastik tertempel di belakang lengan kita misalnya yang menyebabkan air tidak kena atau tidak sampai di situ. Anda tidak perlu mandi semula, cukup dengan hanya menanggalkan plastik tersebut dan basuh sahaja di tempat yang tidak terkena air dan tidak perlu lagi ulang mandi semula.

Wallahu a’lam

KEMUSYKILAN-KEMUSYKILAN:

Persoalan Pertama:

Ada yang mengatakan perlu mengambil wuduk dahulu.

Jawapan:

Mengambil wudhu’ sebelum mandi wajib adalah sunat dan menjadi amalan Rasulullah SAW. Di antara hikmahnya ialah menyegarkan badan dan mengembalikan tenaga.

MENGAMBIL WUDUK SEBELUM MANDI WAJIB

Mengambil WuduK sebelum daripada kita mandi wajib ini merupakan SALAH SATU DARIPADA PERKARA PERKARA YANG DISUNATKAN SEBELUM MANDI.

Maksudnya, kalau kita sekadar nak mengangkat Hadas besar itu, kita perlu sempurnakan yang wajib saja iaitu RUKUN RUKUNNYA.

Tapi, MANDI WAJIB ini adalah juga IBADAH! Jadi, biarlah beribadah dengan sesempurnanya, maka perlu juga kita perhatikan perkara-perkara sunatnya yang salah satunya adalah WUDUQ SEBELUM MANDI.

Berikutnya adalah penerangan secara ringkas antara perkara perkara sunatnya iaitu:

ANTARA SUNAT-SUNAT DALAM MANDI

niat mandi wajib lelaki perempuan
Mandi wajib di sungai atau tasik dikatakan sekali terjunan mampu meratakan air ke seluruh anggota badan.
  1. Menghadap kiblat
  2. Sunat berkumur, masuk air ke lubang hidung, hilangkan najis, yang tak najis pun (air mani yang melekat tak najis tapi sunat hilangkan dulu) dan sebagainya.
  3. Baru kita ambil wuduk dulu dengan sempurna.

Kalau kita selepas tu tak melakukan perkara yang membatalkan wuduq. Selesai mandi tu, tak perlu lagi kita ambil wuduq dah untuk melakukan perkara yang memerlukan wuduq, misalnya kita terus nak sembahyang, boleh diteruskan saja.

Ada banyak lagi sunat-sunat mandi wajib ini tapi yang dikongsikan sekarang adalah yang dikatakan MUAMALAT iaitu bermaksud berturut-turut. Inilah yang saya katakan, kalau kita nak basuh kemudian tangan kita saja, sebelum tu kita dah mandi dah tapi tak basuh tangan. (contoh saja) maksudnya tak Mualat lah, jadi, tak dapatlah sunat mualat tadi.

Yang sunatnya, kita basuh berturut-turut semua anggota badan sehingga selesai.

Persoalan Kedua:

Sekiranya semasa mandi wajib itu ada menyentuh atau tersentuh kemaluan, adakah harus ambil wuduk selepas habis mandi wajib sekiranya kita nak sembahyang?

Jawapan:

CARA MANDI HADAS YANG SEMPURNA DAN MUDAH

Macam mana cara mandi wajib atau mandi hadas besar dengan betul, mudah dan mengikut sunnah Nabi? Bolehkah kita menyentuh kemaluan ketika mandi atau itu boleh membatalkan mandi kita tadi? Saya was-was dalam hal ini.

Jawapan:

Kaifiyat mandi hadas yang sempurna dan mudah diamalkan ialah dengan mengikut cara mandi  Nabi s.a.w., antaranya yang diceritakan oleh Saidatina ‘Aisyah r.a sebagaimana berikut;

“Adalah Rasulullah s.a.w. apabila baginda mandi janabah, baginda mula dengan membasuh dua tangannya. Kemudian baginda menuangkan air ke tangan kirinya dengan menggunakan tangan kanannya, lalu (dengan tangan kiri itu) baginda membasuh kemaluannya.

Kemudian baginda mengambil wuduk sebagaimana wudhuk untuk mengerjakan solat. Kemudian baginda mengambil air, lalu memasukkan jari-jarinya ke akar rambutnya hingga apabila melihat air telah membasahi seluruh (kulit kepala dan akar-akar rambutnya), baginda mencebuk air (dan menjirus) ke kepalanya sebanyak tiga cebukan. Kemudian baginda menyiram air ke seluruh badannya. Kemudian baginda membasuh kedua kakinya” (HR Imam Muslim).

Dari hadis di atas, dapat kita simpulkan cara mandi hadas seperti berikut;

1. Setelah membaca Bismillah, mulakan dengan membasuh dua tangan. Di dalam hadis yang lain, ada dinyatakan baginda membasuh dua tangannya sebanyak dua atau tiga kali.

2. Kemudian basuh kemaluan dan najis di badan jika ada dengan menggunakan tangan kiri.

3. Setelah itu ambil wudhuk sebagaimana yang biasa dilakukan.

4. Kemudian mulakan mandian dari bahagian kepala terlebih dahulu hingga rata air di seluruh kepala termasuk di celah-celah rambut.

5. Selesai bahagian kepala, lakukan mandian di bahagian badan pula; dari leher ke bawah. Sunat menjirus bahagian kanan terlebih dahulu, kemudian baru diikuti sebelah kiri.

6. Semasa mandi, tangan hendaklah menggosok-gosok badan terutamanya bahagian-bahagian yang berlipat yang dikhuatiri tidak sampai air jika tidak digosok.

7. Akhiri mandian dengan membasuh kedua kaki dan menggosok dicelah-celah jarinya.

8. Ketika mandi itu, jangan lupa berniat di dalam hati melakukan mandi yang diwajibkan atau berniat mandi untuk menghilangkan hadas besar dari badan.

Menyentuh kemaluan tidaklah membatalkan mandi. Ia hanya akan membatalkan wudhuk. Semasa mandi, jika menyentuh kemaluan itu dilakukan dengan niat/tujuan meratakan air ke bahagian kemaluan, tidaklah perlu mengulangi wuduk kembali selepas mandi kerana sentuhan itu terpaksa dilakukan untuk menyempurnakan mandi wajib.

Namun jika sentuhan itu berlaku setelah bahagian kemaluan itu telah diratakan air (semasa mandi itu) atau setelah selesai mandi, maka ketika itu barulah wajib mengambil wudhuk kembali selepas mandi. Adapun mandi, ia tidak terjejas semata-mata dengan menyentuh kemaluan.

Wallahualam.

Rujukan;

1. al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 2/230.

Sumber: Ustaz Ahmad Adnan Fadzil via Facebook

Video Cara Mandi Wajib Ringkas dan Mudah

Ikuti penjelasan dan penerangan tentang mandi wajib yang mudah dan ringkas dari Ustaz Azhar Idrus.

Semoga tata cara mandi wajib yang kami kongsikan ini bermanfaat untuk semua orang Islam dan sebarkan ilmu itu juga satu perjuangan.

Written by Sazarimma

Seorang yang suka mempelajari sesuatu yang baru dan gemar melakukan aktiviti lasak. Seorang penjawat awam yang amat optimis, kemahiran berkomunikasi dengan sesiapa sahaja dan suka membaca.

One Ping

  1. Pingback:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

Comments