in

Cara Solat Istikharah Memohon Petunjuk dan Doa Yang Ringkas

cara solat istikharah memohon petunjuk jodoh

Solat istikharah adalah antara solat yang pertama khusus untuk kita meminta petunjuk dan pertolongan dari Allah SWT untuk kita membuat keputusan, pilihan jodoh dan sebagainya yang berkaitan dengan kekusutan hati untuk memilih sesuatu yang baik untuk diri kita sendiri.

Apakah cara solat istikharah yang ringkas dan mudah? Bagaimana untuk kita menunaikan solat sunat ini dengan betul? Persoalan sebegini akan terjawab daripada perkongsian Ustaz Farid Rashidi yang menerangkan tentang solat sunat istikharah ini dengan lebih jelas.

Apa Itu Solat Istikharah

petunjuk solat istikarah jodoh

Pernah tak kita merasa pilihan yang kita buat selalu tidak tepat? Mesti pernahkan? Sebab kita manusia biasa yang ada buat silap dan serba serbi lemah. Adakalanya kita juga jadi keliru mahu memilih antara dua pilihan. Betul?

Selalunya orang akan kaitkan dengan soal pilihan jodoh. Kemudian, akan lakukan solat sunat istikharah untuk mendapatkan petunjuk. Benar. Itu sebaik-baik jalan.

Namun begitu, pesan guru kami dahulu, solat sunat istikharah ini bukan sahaja soal mahu mendapatkan petunjuk jodoh. Tapi dalam menentukan masalah pilihan lain pun sama.

Misalannya nak beli kereta ke tak nak? Kereta itu ke kereta ini? Nak beli rumah ke tak nak? Rumah itu ke rumah ini? Nak kerja itu ke ini? Nak sambung belajar ke mana?

Nak makan apa? Eh, nak makan apa tak perlulah. Anda lapar, anda makanlah ikut selera. Asalkan makanannya halal dan baik, silakan masak dan makan.

Jangan pula ibu-ibu pening nak masak apa, hingga kena buat sunat istikharah dulu. Tak, tak perlu sampai macam tu. Kasihan suami dan anak-anak nanti. Menanti penuh kesabaran dan air liur menitik menahan lapar.

Solat sunat istikharah ini hendaklah dilakukan bukan pada perkara yang memang diwajibkan, contoh nak solat fardhu ke tak nak. Itu tak boleh. Solat fardhu itu wajib.

Juga bukan pada perkara haram. Contohnya nak minum arak ke berzina. Pun tak boleh kerana ia perkara haram. Dua-dua haram.

Cara Solat Istikharah Yang Betul

Cara mendirikan solat sunat istikharah ini sebaik-baiknya dilakukan pada waktu malam sebelum tidur.

1. Mula-mula kena NIAT dulu. Tanpa niat pincanglah ibadah.

2. Rakaat pertama bacalah surah al-Fatihah dan surah al-Kafirun.

3. Rakaat kedua baca surah al-Fatihah dan surah al-Ikhlas.

4. Di dalam sujud terakhir baca doa ini sebanyak 40 kali.

سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَاَ إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ

Selepas itu, bacalah al-Fatihah dan selawat untuk dihadiahkan kepada Rasulullah SAW, para sahabatnya, para wali dan sekalian muslimin muslimat.

Doa Solat Istikharah Rumi dan Arab

cara solat sunat istikharah ringkas dan mudah

Kemudian baca doa ini, berdasarkan hadis daripada Jabir bin Abdullah r.a, bahawa Rasulullah SAW mengajarkan:

اللَّهُمَّ إنِّي أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ، وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ، وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ الْعَظِيمِ فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلا أَقْدِرُ، وَتَعْلَمُ وَلا أَعْلَمُ، وَأَنْتَ عَلامُ الْغُيُوبِ، اللَّهُمَّ إنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ (وهنا على المستخير ذكر حاجته ثم يتابع) خَيْرٌ لِي فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ، فَاقْدُرْهُ لِي وَيَسِّرْهُ لِي ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ، اللَّهُمَّ وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ (هنا عليه أن يسمي حاجتك ثانيةً) شَرٌّ لِي فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ، فَاصْرِفْهُ عَنِّي وَاصْرِفْنِي عَنْهُ وَاقْدُرْ لِي الْخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ثُمَّ ارْضِنِي بِهِ. وَيُسَمِّي حَاجَتَهُ أخيراً ثُمَّ رَضِّنِي بِهِ

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon petunjuk daripadaMu dengan ilmuMu dan aku memohon ketentuan daripadaMu dengan kekuasaanMu dan aku memohon daripadaMu akan limpah kurniaanMu yang besar.

Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah Yang Maha Mengetahu segala perkara yang ghaib.

Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui bahawasanya urusan ini (sebutkan..) adalah baik bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, takdirkanlah ia bagiku dan permudahkanlah serta berkatlah bagiku padanya.

Dan seandainya Engkau mengetahui bahawa urusan ini (sebutkan..) mendatangkan keburukan bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah kebaikan untukku dalam sebarang keadaan sekalipun kemudian redhailah aku dengannya”.

(Sebutkan urusan yang dimaksudkan di dalam kurungan sama ada dalam bahasa Arab atau rumi).

[Doa daripada petikan Hadis Riwayat Bukhari, no. 1162]

Seterusnya elakkan bercakap-cakap. Sematkan di hati dengan penuh keyakinan dan pengharapan yang tinggi kepada Allah SWT agar diberi petunjuk atau alamat semasa tidur.

Tidurlah dalam keadaan berwudhuk dan berpakaian bersih serta memakai bau-bauan. InsyaAllah Biiznillah akan mendapat petunjuk dariNya.

Pun begitu, jangan dilupakan juga agar bermesyuarat (Istisyarah), berbincang dengan mereka yang lebih tahu.

Firman Allah SWT:

“Dan berbincanglah dengan mereka (para sahabat) dalam urusan itu (peperangan, ekonomi, politik dll). Apabila kamu telah membulatkan tekad, bertawakallah kepada Allah”.

[Surah Ali-Imran: 159]

Kemudian bila dah buat step by step seperti di atas, terus bertawakkallah kepada Allah SWT. Semoga Allah SWT hadirkan petunjuk agar segala gerak kerja kita diberkatiNya.

Share lah, semoga ramai yang beroleh manfaat. Khususnya bagi mereka yang tengah pening, serabut dan dalam dilema. – Ustaz Farid Rashidi

Baca juga: 10 Jenis Solat Yang Tidak Diterima Allah. Baca Supaya Ibadah Solat Kita Tidak Sia-Sia!

Panduan Solat Sunat Istikharah

Berikutnya adalah rakaman video penerangan ringkas dan padat tentang solat sunat istikharah yang disampaikan oleh Ustaz Muhamad Bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin. Anda perlu luangkan masa selama 5 minit untuk dengar apa yang disampaikan beliau, kemudian anda pasti faham dan jelas.

Semoga perkongsian tentang solat istikharah yang disampaikan oleh kedua-dua ustaz ini akan membantu anda memahami tentang sembahyang sunat ini dengan lebih mendalam selain dapat menambahkan ilmu pengetahuan dalam Islam. Semoga bermanfaat.

Written by Sazarimma

Seorang yang suka mempelajari sesuatu yang baru dan gemar melakukan aktiviti lasak. Seorang penjawat awam yang amat optimis, kemahiran berkomunikasi dengan sesiapa sahaja dan suka membaca.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

Comments