Artis popular negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin hari ini telah dianugerahkan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa kepada gelaran Datuk Seri.
Kurniaan darjah itu disempurnakan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Balairong Seri Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang pada pagi Selasa.
Siti, 38, melalui posting miliknya di Instagram dilihat mengucapkan syukur atas kurniaan tersebut.
“Pertama sekali saya menjunjung kasih KDYMM Tuanku Pahang di atas pengurniaan darjah kebesaran negeri Pahang dan sebagai rakyat Pahang, ini merupakan satu penghormatan kepada saya.
Ini bukan saja penghargaan kepada diri saya seorang tetapi mewakili insan seni yang lain kerana saya yakin, setiap masyarakat mempunyai sumbangan dan peranan tersendiri. Alhamdulillah, saya menerima gelaran ini pada usia 21 tahun saya di dalam bidang seni dan penghormatan ini adalah salah satu daripada pencapaian yang mempunyai sejarah tersendiri di dalam karier saya.
Ini juga adalah rezeki saya dan juga bayi di dalam kandungan saya, rezeki yang datang dalam pelbagai cara yang berbeza.
Sekali lagi saya menjunjung kasih KDYMM Tuanku Pahang, semoga Tuanku dilanjutkan usia dan dapat terus memerintah negeri ini sempena memuliakan ulangtahun hari keputeraan Tuanku.”
Gambar-gambar Siti Nurhaliza sedang menerima darjah kebesaran tersebut turut mendapat ratusan komen peminat yang mengucapkan tahniah kepada penyanyi tersebut.
Malah, ada yang menganggap kurniaan tersebut sebagai rezeki anak kerana ketika ini Siti Nurhaliza sedang hamil empat bulan.
Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan mengurniakan darjah dan pingat kebesaran itu kepada penerima.
Sebelum ini Siti turut menerima penganugerahan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) daripada Sultan Pahang yang membawa gelaran Datuk. – Mstar
Loading…