in

Kenapa Ibu Bapa Dilarang Bawa Anak Kecil Melawat Pesakit Di Hospital?

kanak-kanak dilarang masuk ke hospital

Di sesetengah pusat perubatan swasta dan hospital kerajaan pasti ada papan kenyataan di pintu masuk atau wad yang menyatakan bahawa ibu bapa dilarang bawa bayi atau kanak-kanak yang di bawah umur 12 tahun masuk ke kawasan tersebut.

Mungkin masih ada yang tidak tahu yang bayi dan anak-anak dilarang sama sekali dibawa masuk ke kawasan hospital terutama ke wad-wad pesakit dengan tujuan membuat lawatan terhadap ahli keluarga atau kenalan yang sedang sakit.

Sejak dulu pihak hospital tidak menggalakkan dan tidak membenarkan para pelawat membawa kanak-kanak untuk melawat pesakit di hospital. Walau bagaimanapun, hospital pastinya mengamalkan konsep yang mesra pelawat dengan membenarkan anak kecil masuk dengan ditemani orang dewasa tetapi tidak dibenarkan masuk ke dalam wad pesakit.

Kenapa Kanak-kanak Tidak Dibenarkan Melawat Pesakit di Hospital?

Jangan bawa bayi ke hospital

Mengapa bayi atau kanak-kanak tidak digalakkan dibawa bersama untuk melawat pesakit di wad? Pasti ada yang tertanya mengapa tak boleh? Terlalu banyak sebab utama jika hendak dihuraikan satu-persatu namun yang paling penting adalah demi kesihatan kanak-kanak itu sendiri.

Anak kecil atau bayi dengan mudah boleh dijangkiti dengan sebarang penyakit sekiranya berada di dalam wad-wad tertentu yang mana antara pesakit tersebut mempunyai penyakit-penyakit yang kronik atau yang mudah berjangkit.

Seperti yang dikongsikan oleh Muhammad Hassan ini dengan berpesan kepada semua ibu bapa supaya jangan sekali-kali bawa bayi atau anak-anak kecik melawat pesakit di hospital. Terdapat jenis bakteria seperti LEGIONELLA PNEUMOPHILA yang sukar dirawat walaupun dengan menggunakan antbiotik.

Ada yang bawa bayi sihat 9 bulan. 2 Hari selepas itu terpaksa datang klinik dan dikejarkan ke hospital kerana demam teruk dan radang paru-paru.

Saya paling kesian tengok jika bayi batuk-batuk tanpa henti. Mak ayah tak boleh tidur sebab waktu malam kebiasaannya radang makin teruk.

Kita perlu ingat,Hospital adalah tempat paling banyak bakteria,virus walaupun nampak bersih,sangat tidak sesuai tempat ini untuk bayi dan kanak-kanak yang sihat.

Antara Sebab Anak Kecil Tidak Boleh Berada Di Hospital

larangan bawa anak ziarah pesakit

Antara sebab lain mengapa tidak dibenarkan kanak-kanak dibawa bersama untuk melawat pesakit di hospital adalah seperti yang berikut;

Anak kecil juga mudah menangis dan tangisan mereka biasanya kuat serta berterusan tanpa mempedulikan orang sekeliling. Ini juga akan menganggu para pesakit lain yang berada berdekatan malahan suasana ini juga turut menganggu para jururawat untuk menjalankan tugas mereka.

Risiko terbesar apabila membawa bersama anak kecil sewaktu melawat para pesakit adalah dari segi risiko jangkitan dengan pelbagai penyakit yang mudah berjangkit sepeti selsema, batuk, penyakit kronik dan sebagainya. Malahan daya ketahanan badan kanak-kanak juga tidak sekuat sepertimana orang dewasa.

Berbagai jenis kuman dan bakteria yang terdapat dalam hospital yang mudah berjangkit menerusi sentuhan tanpa disengajakan dari pesakit kepada kanak-kanak. Malahan hembusan nafas atau batuk yang kronik juga tidak mustahil akan berjangkit kepada anak-anak kecil.

Adalah tidak selamat untuk anak kecil, bayi atau kanak-kanak untuk dibawa bersama ketika anda ingin menziarahi mereka yang sakit dan terlantar di hospital. Elakkan membawa anak anda bersama sebelum perkara yang tidak diingini berlaku.

Baca juga : Kesilapan Ayah Lupa Cuci Tangan, Bayi Hampir Maut (Penyakit RSV)

Bersihkan Tangan Sebelum Menyentuh Anak Kecil

cara elakkan jangkitan penyakit pada bayi

Antara langkah-langkah awal yang boleh dilakukan untuk menghindari sebarang jangkitan penyakit terhadap anak anda walaupun anak tidak mengikut sama adalah dengan segera membersihkan tangan atau mandi sebaiknya sebelum menyentuh anak anda apabila anda baru saja pulang menziarahi pesakit.

Amalkan dengan mencuci tangan dan membersihkan diri sebelum bermesraan dengan bayi anda biarpun anda hanya pulang dari berkerja. Segala kemungkinan boleh berlaku apatah lagi jika anda pergi melawat pesakit yang sakit di hospital.

Oleh itu, mulai sekarang hindari dari membawa anak kecil anda untuk melawat mereka yang sakit di hospital. Usahakan supaya tidak sekali-kali membawa mereka bersama dan jangan mengabaikan segala nasihat dan kenyataan yang dipaparkan di mana-mana hospital yang tidak membenarkan membawa anak kecil masuk ke dalam wad atau hospital. Semoga bermanfaat.

Written by Sazarimma

Seorang yang suka mempelajari sesuatu yang baru dan gemar melakukan aktiviti lasak. Seorang penjawat awam yang amat optimis, kemahiran berkomunikasi dengan sesiapa sahaja dan suka membaca.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

Comments