Gaji Pokok RM1000, Gadis Berjaya Dapatkan Tuntutan RM5000 Kantoikan Majikan Amal Diskriminasi Gaji ~ Diskriminasi gaji adalah merupakan satu isu yang tidak asing sejak beberapa tahun yang lalu lagi.
Isu ini telah disuarakan oleh banyak pihak namun masih tetap terjadi dan masih ramai pekerja yang tertindas tetapi takut untuk mengambil tindakan.
Baru-baru ini, tular satu video yang disiarkan oleh seorang gadis di media sosialnya berkaitan isu ini.
Beliau berjaya menuntut haknya setelah ditindas oleh pihak majikannya sebagai pekerja di sebuah cawangan kedai yang menjual gajet dan alatan.
BACA JUGA: Zakat Fitrah Mengikut Negeri 2022 | Cara Bayar Secara Online / Aplikasi Telefon Bimbit
Tidak Puas Hati Gaji Pokok RM1000
Fatin Nur Hidayah Ramli, 22 tahun, mengambil tindakan untuk melaporkan majikannya ke Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) kerana tidak berpuas hati dengan gaji pokok yang diterimanya.
Pada mulanya beliau tidak mensyaki apa-apa namun, apabila seorang pekerja daripada cawangan lain bertanya bayaran basic yang diterimanya, Fatin berasa pelik kenapa ada perbezaan walhal mereka mempunyai bos yang sama.
“Saya jumpa pengurus untuk tanya kenapa basic gaji lain. Manager beri alasan dia ikut arahan majikan saja…”, tuturnya.
Atas sebab masih kurang berpuas hati, Fatin mengambil langkah untuk menyelidiki perkara ini dengan mencari iklan-iklan yang disebarkan oleh pengurusnya di media sosial.
Akhirnya terbukti, memang jelas terdapat perbezaan gaji diantara pekerja. Menurutnya, pekerja di cawangan Perak ditawarkan gaji RM1000, manakala di Johor RM1100.
“Saya jumpa manager buat posting untuk mencari pekerja baru sebab mereka memang selalu cari pekerja baru. Memang dah ramai yang berhenti kerja sebelum ni. Yelah siapa je tahan dengan gaji macam tu..” – Fatin Nur Hidayah Ramli
Terjumpa Iklan Dalam Tulisan Cina
Seperti menuangkan minyak tanah dalam api, Fatin bertambah tidak puas hati apabila terjumpa lagi satu iklan kerja yang sama dalam tulisan cina tapi menawarkan gaji yang jauh lebih tinggi.
Disebabkan tidak mahir membaca tulisan cina, Fatin menekan butang “Translate” dan kemudian mengumpulkan bukti-bukti untuk dibawa ke Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).
“Masa hari gaji saya tanya semua pekerja yang sama tempat dengan saya berapa mereka dibayar. Rupa-rupanya gaji kami memang berbeza-beza padahal yang dapat RM1400 tu baru bekerja tiga bulan”, ujar Fatin.
Berjaya Dapat Pampasan RM5,000
Disebabkan keberanian dan kebijaksanaan, Fatin berjaya mendapatkan pampasan RM5,000 daripada majikannya setelah disiasat oleh pihak Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).
Walaupun dibuang kerja sejurus syarikat mendapat surat daripada jabatan buruh, Fatin berpuas hati berjaya mendapatkan haknya.
“Lepas surat jabatan buruh sampai kepada syarikat, majikan arahkan manager untuk berhentikan saya. Tapi saya gelakkan manager tu dan ucap terima kasih sebab buang saya tanpa notis, jadi boleh la tambah aduan kedua kerana dibuang kerja tanpa notis.”
Isu ini diselesaikan oleh Fatin dan majikannya di mahkamah dan pihak mahkamah memutuskan, syarikat memberi pampasan kepada fatin sebanyak RM4364.04 bagi isu tuntutan gaji dan RM1120, atas kesalahan dibuang kerja tanpa notis.
Fuh lega!
Video Tular Di Tiktok
Fatin sebenarnya tidak menyangka video berdurasi lebih kurang 0.18 saat tu mendapat tontonan ramai sehingga diviralkan dimana-mana platform media sosial.
Ini menunjukkan sebenarnya ramai netizen di luar sana yang turut menghadapi isu ini namun tidak berani bersuara kerana takut dibuang kerja dan kehilangan sumber pendapatan.
Fatin turut berkongsi video yang menerangkan cara-cara membuat tuntutan bagi kes seperti yang dialaminya.
Selain itu, seorang pengguna Twitter juga memberi komen bahawa diskriminasi ini berlaku bukan sahaja dalam isu gaji, tetapi juga cuti.
“ Banyak perkongsian sikap double standard majikan yang kurang senang bila pekerja mahu bercuti raya dengan pelbagai alasan yang tidak masuk akal. Tapi bila pejabat ditutup seminggu untuk cuti perayaan lain, itu tak mengapa. Bertimbang rasalah sikit, bos.”
Kesimpulan
Oleh itu, para pekerja digesa untuk mempelajari dan mengetahui hak-hak mereka sebagai pekerja agar tidak mudah ditindas oleh pihak syarikat yang tidak bertanggung jawab.
Hanya dengan mengetahui hak-hak anda, anda boleh membuat tindakan yang sewajarnya.
Loading…