in

Hukum Memakai Kanta Lekap (Contact Lens Berwarna Untuk Kecantikan)

Hukum memakai kanta lekap berwarna

Pasti ramai wanita yang masih tidak tahu dan musykil tentang apakah hukum memakai kanta lekap atau dipanggil juga sebagai contact lens. Masing-masing mempunyai alasan yang tersendiri mengapa perlu menggunakan benda ini di mata dan ada yang mengalami masalah rabun dan tak kurang juga untuk tampil lebih cantik.

Zaman sekarang masih ramai yang menggunakan contact lens sama ada lelaki atau perempuan dengan tujuan mereka tersendiri untuk tujuan perubatan dan biasanya mereka yang mempunyai masalah mata sehingga terpaksa memakainya tanpa tahu tentang hukum memakai kanta lekap.

Walau bagaimanapun, bagi anda yang masih tidak jelas tentang hukum pakai contact lens berwarna atau yang biasa, anda disarankan memahaminya dengan lebih mendalam supaya tidak membuat kesilapan yang akan mendatangkan dosa.

hukum pakai contact lens warna bulan puasa
Contact lens berwarna sering menjadi pilihan wanita kerana dikatakan cantik.

Anda wajib tahu tentang hukum ini kerana aktiviti seharian seperti ketika menunaikan solat dan mengambil wuduk serta memakainya ketika mandi wajib, berpuasa di bulan Ramadhan dan sebagainya. Adakah sah solat atau puasa anda dan mandi wajib itu?

Berikutnya adalah perkongsian daripada Ustaz Farid Rashidi yang menjelaskan tentang hukum memakai kanta lekap berlandaskan hukum agama Islam untuk disampaikan kepada anda yang masih tertanya tentang hukum pakai contact lens ini.

Hukum Memakai Kanta Lekap (Contact Lens)

Ada beberapa orang bertanya tentang hukum memakai kanta lekap (contact lens). Tetapi persoalannya tentang kanta lekap berwarna bukan untuk kegunaan masalah rabun dekat atau jauh.

Baik, sebelum kita berlari lebih jauh, alangkah indahnya kita warm-up dulu.

Apa itu kanta lekap?

adakah boleh mandi wajib pakai contact lens
Kanta lekap jernih banyak dijual di pasaran dengan harga yang murah.

Maksudnya adalah sejenis kanta yang begitu lembut dengan ukuran ketebalannya 0.035mm. Ia diletakkan di permukaan mata bagi menggantikan cermin mata atau tujuan kecantikan mata.

Secara umumnya, terdapat dua kanta lekap iaitu jenis lembut (soft contact lens) dan kanta sentuh keras (rigid gas permeable).

Ia beraneka warna. Meriah macam lampu lip lap. Ada warna biru, hijau, hitam, coklat dan lain-lain lagi.

Jika digunakan tanpa nasihat doktor atau rujukan pakar ia boleh mendatangkan kesan kecacatan pada mata, keradangan atau kecederaan pada mata hingga boleh membawa kepada barah kornea dan seterusnya scar.

Menurut pakar mata, memakai kanta lekap hendaklah diperhatikan dua perkara bagi mengelakkan berlaku kecacatan (buta) dan lain-lain:

1. Disiplin kebersihan yang tinggi

2. Tempoh pemakaian yang tepat

hukum pemakaian kanta lekap
Berbagai jenis warna lens yang dikatakan akan menyerlah kecantikan si pemakai.

Nak cerita sikitlah. Pernah suatu ketika dahulu saya mengajar di dalam kelas pelajar perempuan tingkatan 5. Tengah mengajar, ternampaklah ada benda di atas meja pelajar. Macam kapsul. Bila saya tanya, katanya kanta lekap semacam berwarna.

Dengan muka yang dibuat-buat serius. Gaya ala ketua pengakap perbarisan.

Saya cuba tegur dan nasihati dia elok-elok. Elakkanlah pakai. Lagipun matanya pun nampak semacam merah-merah. Bimbang berlaku keradangan, masalah pula nanti kan. Yelah, muda-muda mata dah bermasalah. Naya. Dia hanya angguk dan diam.

Ok, berbalik kepada perbincangan. Jom terus ke bab hukum. Semoga anda baik-baik saja.

Hukum memakai kanta lekap?

Berdasarkan pandangan ulama’ kotemporari, hukumnya adalah harus untuk tujuan perubatan seperti masalah rabun dan sebagainya.

Namun syaratnya hendaklah mendapat pengesahan dan pandangan doktor perubatan atau pakar mata dan juga Optometris yang berkelayakan terlebih dahulu bagi mengelakkan berlaku sebarang perkara tak diingini.

Ini mestilah tidak bertentangan dengan kaedah syara’ yang menyebut:

المَشَقَّةُ تَجْلِبُ التَّيْسِيْر
Kesukaran mendatangkan kesenangan.” [Ibn Nujaim, al-Asybah wa al-Nazoir, jil 4, 356]

Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ
Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan).” [al-Maidah: 6]

Bagaimana pula hukum memakai kanta lekap berwarna?

Ini persoalan yang banyak diutarakan kaum hawa.

ketika berpuasa adakah boleh pakai lens apa hukum
Antara spek mata dan kanta lekap yang manakah menjadi pilihan orang ramai?

Jawapannya adalah menurut pandangan ulama’ hukum asal perhiasan adalah harus. Tetapi tidak harus jika diguna pakai kanta lekap berwarna tanpa keperluan yang jelas. Ini berdasarkan sebab-sebab berikut:

1. Hanya sekadar untuk padankan dengan warna baju dengan niat berhias hingga menimbulkan kemegahan pada diri, berhias untuk mencantikkan diri (tabarruj) menarik perhatian lelaki khususnya bukan mahram.

2. Wujud unsur penipuan bila memakainya. Misalnya waktu peminangan. Seorang perempuan tidak harus memakai ketika dirinya dipinang bagi mengelakkan salah faham dan ada unsur penipuan kepada lelaki yang meminang.

3. Berlaku pembaziran kerana ada sesetengah kanta lekap mahal harganya.

4. Ada yang menyerupai mata binatang dan ada juga yang kelihatan berbeza bola mata dari asal. Contoh mahu nampakkan muka lebih comel (cute) ala-ala orang K. Dan ini dikira berlaku penipuan.

Justeru, demi mengelakkan fitnah, ulama’ berpendapat lebih elok dielakkan atau tak perlulah memakai kanta lekap berwarna agar tidak berlaku pembaziran dan penipuan.

Manakala untuk isteri yang memakai dengan keizinan suami dan untuk dihiaskan kepada suami bukan untuk khalayak atau lelaki lain. Hukumnya harus. No problem. No cry.

Tak mengapa mata tiada dihiasi warna macam-macam. Asalkan tidak buta untuk membaca al-Quran. Tidak buta mata dan hati menerima kebenaran dari Tuhan.

Boleh share ke seluruh alam realiti dan fantasi. Ditulis oleh Ustaz Farid Rashidi.

Baca : Hukum Mencabut Bulu Kening (Mencukur atau Membuang Bulu Mata)

Semoga perkongsian tentang hukum memakai kanta lekap ini akan menjawab segala kemusykilan dan pertanyaan semua pengguna sama ada lelaki atau perempuan terutamanya semua wanita yang amat meminati contact lens.

Written by Sazarimma

Seorang yang suka mempelajari sesuatu yang baru dan gemar melakukan aktiviti lasak. Seorang penjawat awam yang amat optimis, kemahiran berkomunikasi dengan sesiapa sahaja dan suka membaca.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

Comments