in

Hukum Meminta Maaf Tetapi Tidak Memaafkan dan Tak Dimaafkan

Cara meminta maaf kepada teman

Bagaimana jika permintaan maaf kita tidak diterima walaupun berkali-kali kita minta maaf daripada orang lain seperti kawan, keluarga dan sebagaimananya? Apakah hukum meminta maaf tetapi tidak dimaafkan sedangkan kita sudah berbuat demikian tapi tiada respon dari orang tersebut? Kita pasti akan sedih dan tertanya kenapa, mengapa dan sebagainya.

Memohon maaf dan memaafkan adalah dua perkara yang amat dituntut dalam Islam untuk kita semua membuat kebaikan sesama manusia. Begitu juga mengakui kesilapan dan kesalahan walaupun kita tahu kita tidak bersalah dalam segala hal dan tidak salah jika kita bermaaf-maafan.

Untuk ketahui dengan lebih mendalam berkaitan meminta maaf dan memaafkan, ikuti perkongsian Ustaz Farid Rashidi yang berkongsi artikel tentang bagaimana sekiranya kita telah pun meminta dimaafkan tetapi tiada maaf bagimu katanya dan tidak dimaafkan.

Meminta Maaf Tapi Tak Dimaafkan

kelebihan minta maaf walaupun tidak bersalah
Perkongsian dari Ustaz Farid Rashidi.

Sedang saya memandu, tiba-tiba ada orang hantar mesej bertanyakan soalan.

Begini bunyinya.

“Assalamualaikum ustaz.. nak tanya. Andai kita meminta maaf pada sahabat-sahabat terdekat tapi tiada respon atau dia orang tak memaafkan kita apa perlu buat? Adakah kita masih tersangkut atau macammana?”

Faham apa yang soalkan. Sebab pernah dulu saya alami benda yang sama. Cuba meminta maaf, tetapi dibuat tak tahu. Malah seperti tak lagi mahu melayan kita seperti dulu. Bersungguh-sungguh kita mahu perbaiki silaturrahim, tapi apakan daya. Ia runtuh sekelip mata.

Pun begitu, jangan berputus asa untuk meminta maaf darinya jika kesilapan yang kita lakukan itu tidaklah sebesar mana. Berusahalah dengan pelbagai cara untuk perkemaskan semula ukhuwah itu.

Baik, berkenaan masalah itu. Al-Quran menyebutkan:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ

“Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu perbaikilah hubungan antara kedua saudaramu itu.”

[Surah al-Hujurat: 10]

Bermakna, kita sesama muslim ini bersaudara. Sebesar apapun perseteruan (yang tak ada kaitan dengan hutang, melibatkan kezaliman besar yang perlu dihukum dan lain-lain), hendaklah saling maaf memaafkan dan perbaiki hubungan kembali.

Bahkan Rasulullah SAW berpesan pada kita, apa pesanan Baginda?

لَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلَاثِ لَيَالٍ

“Tidak halal bagi seorang muslim untuk memboikot (tidak menyapa) saudaranya lebih dari 3 hari.”

[Hadis Riwayat Bukhari no. 6237 dan Muslim no. 2560]

Ha, jangan sampai lebih 3 hari tau. Ini tak, bertahun-tahun dendam. Masam muka. Kesnya apa? Kes kecil je pun. Kambingnya makan pokok bunga jiran. Maklumlah bunga pula jenis mahal. Harga RM2 juta. Amboi mahal bebenor.

Langsung lepas kes itu tak bertegur sapa walaupun dah minta maaf berkali-kali.

Jangan begitu kawan. Tak baiklah. Kes kecil begitu, maafkanlah.

hukum memaafkan orang lain
Jangan sekali kita tidak memaafkan orang yang meminta maaf dari kita.

Minta maaf lebih mulia dari memaafkan.

Az-Zarqani dalam penjelasannya untuk al-Muwatho’ menukil perkataan Ibnu Ruslan:

ويظهر أنه لو صالح أحدهما الآخر فلم يقبل غفر للمصالح

“Yang boleh kita simpulkan, apabila salah satunya berusaha berdamai dengan yang lain tapi perdamaian itu tidak diterima, maka orang yang berusaha berdamai tersebut diampuni.”

[Syarh az-Zarqani ‘ala al-Muwatho’, 4/335]

Jika dah minta maaf berkali-kali, tapi tak dimaafkan. Tak mengapa. Biarkan dia. Yang penting kita jangan putus asa untuk perbaiki hubungan.

Sebab kata ulama’, kita InsyaAllah sudah diampuni dosa lalu.

Tapi seandainya melibatkan hutang, perlulah dilunaskan. Atau pernah merosakkan sesuatu dan dia tuntut, selesaikanlah dulu. Tidak pun hal melibatkan hukuman, itu juga perlu diselesaikan dengan pihak berwajib. Hal kesengajaan begitu, perlu selesaikan dulu barulah mudah urusan maafnya.

Apapun, berdamailah kawan. Tak perlu berdendam kesumat pada hal sekecil begitu. Kita ini bukan spesis hidup beribu tahun macam pokok. Kita manusia serba-serbi lemah.

Sharelah agar lebih ramai kembali berdamai dengan memohon maaf ok. – Ustaz Farid Rashidi

Oleh itu, amalkanlah meminta maaf kepada mereka seandainya kita yang bersalah atau sebaliknya kerana dengan kemaafan juga kita boleh memperbaiki hubungan silaturrahim sesama kita. Mengapa perlu bermasam muka sedangkan setiap hari kita berjumpa dan lebih tak seronok hidup pasti tak tenang. Kan? Semoga bermanfaat.

Written by Sazarimma

Seorang yang suka mempelajari sesuatu yang baru dan gemar melakukan aktiviti lasak. Seorang penjawat awam yang amat optimis, kemahiran berkomunikasi dengan sesiapa sahaja dan suka membaca.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

Comments