in

Hukum Pakai Jam di Tangan Kiri dan Kelebihan Memakai Sebelah Kanan

hukum pakai jam tangan

Pemakaian jam tangan bagi sesetengah orang adalah penting untuk menepati masa dan ada juga yang memakai aksesori ini untuk bergaya serta membelinya dengan harga yang mahal. Ada yang pakai di tangan kiri dan ada yang lebih suka di tangan kanan tapi tahukah anda apakah hukum pakai jam tangan di tangan kiri atau kanan?

Persoalan hukum pakai jam tangan di sebelah kiri atau kanan telah dijelaskan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Sahamah Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bagi menjawab satu pertanyaan tentang pemakaian jam tangan di tangan kiri dan apakah kelebihan memakai jam tangan di tangan kanan.

Hukum Pakai Jam di Tangan Kiri dan Kanan

pakai jam tangan kanan sunnah
Pasti ada yang tidak tahu tentang hukum memakai jam tangan di kiri atau kanan.

Sama ada lelaki atau perempuan kebiasaannya dan kebanyakannya amat suka memakai jam tangan di sebelah tangan kiri dan dikatakan biasanya mereka yang bertangan kidal akan memakai di sebelah kanan. Pemakaian jam tangan kanan juga dikatakan sebagai sunnah Nabi, adakah benar? Ikuti perkongsian di bawah.

Assalamualaikum S.S Mufti, apakah hukum seseorang itu memakai jam di tangan kiri ? Adakah ia dianggap menyelisihi sunnah kerana Rasulullah S.A.W suka kepada tayammun (mendahulukan anggota kanan) dalam setiap urusan baginda ?

Jawapan Hukum Memakai Jam Tangan

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Secara asasnya, memang benar bahawa Rasulullah S.A.W suka mendahulukan bahagian kanan dalam urusan-urusan baginda. Ini dapat kita lihat di dalam sebuah riwayat daripada A’isyah R.A beliau berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يُعْجِبُهُ التَّيَمُّنُ فِي تَنَعُّلِهِ وَتَرَجُّلِهِ وَطُهُورِهِ وَفِي شَأْنِهِ كُلِّهِ

Maksudnya:

Adalah Nabi S.A.W suka kepada mendahulukan bahagian kanan, dari sudut memakai selipar, menyikat rambut, semasa berwudhu’, dan juga dalam urusan baginda seluruhnya.

Riwayat Al-Bukhari (168)

Ini bermakna baginda sentiasa mendahulukan anggota kanan dalam urusan seharian seperti memulakan pemakaian selipar dengan kaki kanan, menyikat rambut dengan tangan kanan, makan dan minum dengan tangan kanan, dan perbuatan-perbuatan selainnya.

Meskipun begitu, terdapat beberapa riwayat yang secara spesifiknya menunjukkan kepada perhiasan atau aksesori yang dipakai oleh Rasulullah S.A.W di tangan baginda iaitulah cincin. Antaranya adalah sebuah riwayat daripada Anas bin Malik R.A beliau berkata:

كَانَ خَاتِمُ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فِي هَذِهِ وَأَشَارَ إِلَى الْخِنْصَرِ مِنْ يَدِهِ الْيُسْرَى

Maksudnya:

Adalah cincin Nabi S.A.W di sini, lalu beliau menunjukkan kepada jari kelingkingnya dari tangan kiri.

Riwayat Muslim (2095)

Justeru hadis ini memberikan petunjuk kepada kita bahawa baginda S.A.W memakai cincin di tangan kiri baginda. Bahkan jika dilihat dari sudut hikmahnya, Nabi S.A.W makan dan minum dengan tangan kanan, justeru dengan memakai cincin di tangan kanan pasti akan menjadikan proses tersebut sedikit sukar.

Imam Al-Buhuti Rahimahullah berkata: ‘’Memakai cincin di jari kelingking tangan kiri adalah lebih afdhal berbanding memakainya di jari kelingking tangan kanan, kerana ia lebih selesa dan tetap’’. Rujuk Kasyyaf Al-Qina’, Al-Buhuti (2/236).

Manakala para ulama Syafi’eyyah berpandangan bahawa pemakaian cincin di tangan kanan adalah lebih afdhal dan utama. Ini seperti pendapat Imam Al-Nawawi yang menyebut:

يجوز للرجل لبس خاتم الفضة في خنصر يمينه وإن شاء في خنصر يساره كلاهما صح فعله عن النبي صلى الله عليه وسلم لكن الصحيح المشهور أنه في اليمين أفضل ; لأنه زينة ، واليمين أشرف

Maksudnya:

Adalah dibolehkan bagi seorang lelaki itu untuk memakai cincin perak di kelingking tangan kanannya. Dan sekiranya dia mahu (dia boleh memakainya) di jari kelingking tangan kirinya. Keduanya sahih dilakukan oleh Nabi S.A.W. Akan tetapi pendapat yang sahih lagi masyhur adalah lebih afdhal ia dipakai di tangan kanan. Kerana ia merupakan perhiasan dan tangan kanan adalah lebih mulia.

Rujuk Al-Majmu’, Al-Nawawi (4/333)

ciri dan maksud orang yang memakai jam tangan sebelah kanan
Kita disarankan memakai jam tangan di tangan kanan untuk mendapatkan pahala.

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, kami berpandangan bahawa isu pemakaian jam tangan adalah lebih sesuai diqiyaskan kepada pemakaian cincin. Ini kerana, kedua-duanya dipakai di tangan. Oleh kerana itu, apabila kita menyatakan bahawa dibolehkan untuk memakai cincin di tangan kiri, maka demikian juga diharuskan untuk memakai jam tangan di tangan kiri.

Pemakaian jam di tangan kiri ini tidaklah ia termasuk dalam tasyabbuh (menyerupai) perbuatan orang-orang kafir. Ini kerana, ia langsung tidak dianggap sebagai perbuatan yang terkhusus dengan budaya dan adat mereka. Bahkan menjadi suatu kebiasaan yang meluas di seluruh dunia bahawa orang-orang Islam juga memakai jam di tangan kiri.

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa hukum memakai jam di tangan kiri adalah harus. Ini berdasarkan qiyas kepada pemakaian cincin. Adapun begitu, sekiranya seseorang itu memakai jam tangan di tangan kanan dengan tujuan untuk mengikuti sunnah Nabi S.A.W yang suka mendahulukan anggota kanan, ia adalah lebih afdhal dan mendapat pahala Insha Allah.

Tambahan pula sekiranya pemakaian jam di tangan kanan itu tidak menyebabkan kesukaran untuk makan dengan tangan kanan seperti dengan menanggalkan jam semasa makan, maka ia lebih utama.

Akhir kalam, kami berdoa semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.

Baca : Haram Wanita Pakai Gelang Kaki Berloceng Hentakkan Kaki

Kemusykilan dan pertanyaan tentang hukum pakai jam di tangan kiri dan apakah kelebihan memakai jam di sebelah tangan kanan telah dijawab dengan terperinci oleh Mufti Wilayah Persekutuan melalui laman Facebook miliknya. Semoga bermanfaat.

Written by Sazarimma

Seorang yang suka mempelajari sesuatu yang baru dan gemar melakukan aktiviti lasak. Seorang penjawat awam yang amat optimis, kemahiran berkomunikasi dengan sesiapa sahaja dan suka membaca.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

Comments