in

HARAM Wanita Pakai Minyak Wangi Bau Yang Kuat Tarik Perhatian Lelaki

Hukum wanita memakai minyak wangi dalam Islam

Setiap lelaki atau perempuan pasti ada yang suka memakai wangian (perfume) dengan tujuan yang tertentu sama ada untuk menghilangkan bau badan, ingin penampilan lebih bergaya atau sebab-sebab lain yang menyebabkan mereka perlu memakai minyak wangi. Tetapi apakah hukum pakai minyak wangi bagi wanita dalam Islam?

Mungkin ada wanita yang menganggap bahawa dia boleh pakai minyak wangi dengan bau yang kuat berserta niat untuk mengatasi masalah bau ketiak atau badan dan tidak langsung bertujuan untuk menarik perhatian orang lain, maka ia dibolehkan? TIDAK dan belum tentu, mengapa?

Apa sekalipun alasan anda untuk memakai minyak wangi, kita haruslah mengikut hukumnya yang betul dan yang telah ditetapkan hukum syarak. Masih lagi ada yang memandang remeh perkara ini serta menganggap ia adalah perkara kecil saja dan tidak perlu dirunsingkan.

perempuan pakai minyak wangi
Pemakaian minyak wangi dalam Islam juga ada hukumnya.

Jika kita tersilap langkah dan membuat hukum sendiri, kita berdosa dan memang dosa itu tidak nampak serta kubur masing-masing. Cakap memang senang tetapi sebenarnya kita akan menyusahkan orang lain nanti untuk kebumikan mayat kita. Jadi, sebagai seorang Islam kita WAJIB ikut apa yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW.

Perkongsian dari Ustaz Farid Rashidi ini jelas sekali menerangkan secara terperinci tentang apakah hukum memakai minyak wangi dengan bau yang kuat bagi wanita atau seorang isteri walaupun niatnya wangi-wangian itu untuk suami sahaja. Fahamkan satu persatu agar anda berada di landasan yang betul dan marilah sama-sama kita belajar untuk kebaikan.

Hukum Pakai Minyak Wangi Bagi Wanita

Sedang duduk di tempat awam, tiba-tiba lalu seorang wanita di hadapan. Apa yang akan berlaku selepas itu?

Kebanyakan lelaki yang berada di situ tak kiralah Melayu ke atau Bangla ke, semua berpaling melihat gelagat wanita itu. Melihat kerana tertarik dengan bau wangian yang kuat menusuk ke hidung lelaki-lelaki tadi.

Bila berlaku adegan itu, saya langsung teringat satu hadis bagaimana Rasulullah SAW berpesan agar wanita-wanita Muslim beriman supaya tidak memakai wangian kuat kerana ia akan menarik perhatian kaum lelaki. Ia boleh menaikkan nafsu syahwat lelaki.

Alah macam renungan si kucing jantan melihat ikan. Hanya menunggu masa untuk terkam saja.

Memang ramai wanita yang mengenakan minyak wangi kuat begitu. Sama ada mereka tak tahu, atau sengaja buat tak tahu, ia tetaplah dilarang.

Baca : HARAM Dedah Tengkuk Belahan Dada (Aurat Wanita)

kenapa perlu berwangian
Wanita tidak boleh mengenakan wangian yang terlalu kuat jika berada di khalayak ramai.

Menurut Alan Hirsch, MD Director of Chicago’s Smell and Taste Treatment and Research Foundation, dia berkata:

“Pleasant aromas can actually stimulate parts of the brain directly connected to s.e.x.u.a.l desire…”

Ya, memakai bau-bauan apa lagi yang kuat dan menarik perhatian mampu merangsang syahwat lelaki.

Kerana itu memakai wangian yang kuat itu juga disebutkan sebagai wanita penzina. Allahhu Rabbi.

Rasa berdebar-debar tak bila baca? Maknanya kalian masih ada iman di dada.

Baik, dalil mengatakan perempuan yang mengenakan minyak wangi kuat itu sebagai penzina disebutkan di dalam hadis. Dalilnya:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ اسْتَعْطَرَتْ فَمَرَّتْ عَلَى قَوْمٍ لِيَجِدُوا مِنْ رِيحِهَا فَهِيَ زَانِيَةٌ

Daripada Abu Musa al-Asy’ari r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Mana-mana wanita yang memakai harum-haruman, kemudian melintasi di hadapan satu kaum supaya mereka tercium bau harumannya, maka wanita itu adalah penzina.”

[Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4173 dan An-Nasa’ie, no.5126]

Imam al-Munawi r.a menyebutkan:

والمرأة إذا استعطرت فمرت بالمجلس فقد هيجت شهوة الرجال بعطرها وحملتهم على النظر إليها، فكل من ينظر ‏إليها فقد زنا بعينه، ويحصل لها إثمٌ لأنها حملته على النظر إليها وشوشت قلبه، فإذن هي سببُ زناه بالعين، فهي أيضاً زانية

“dan perempuan jika mengenakan wangian lalu melewati satu majlis (yang padanya kaum lelaki) maka ia mampu menaikkan syahwat lelaki dan mendorong untuk memandang ke arahnya, maka setiap yang memandang ke arahnya, matanya telah melakukan zina.

Perempuan itu mendapat dosa kerana telah memancing pandangan ke arahnya dan menjadikan hati lelaki tidak tenang. Ia juga adalah sebab berlakunya zina mata dan ia termasuk penzina.”

[Kitab Faydh al-Qadir, Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 5/27]

Justeru, hukum wanita yang memakai bau-bauan wangian harum semerbak itu haram sekiranya:

1. Memakai wangian haruman yang kuat baunya.

2. Memakai wangian haruman yang menarik perhatian (merangsang syahwat) lelaki ajnabi.

3. Memakainya di khalayak ramai termasuklah di tempat kerja yang ada percampuran kaum lelaki (tetap ditegah memakai wangian kuat di khalayak walaupun diizinkan suami).

4. Memakai wangian kuat walaupun untuk ke Masjid.

Imam Hajar al-Asqolani berkata:

“Apabila wanita keluar rumah memakai harum-haruman dan berhias, maka itu termasuk dosa besar sekalipun diizinkan suaminya.”

Bagi lelaki-lelaki yang melihat wanita tadi juga dikira berdosa dan termasuk dalam zina mata. Hah lelaki, sila jaga mata ya.

Dalilnya, sabda Rasulullah SAW:

“Setiap mata itu berzina dan seorang wanita apabila berwangi-wangian, kemudian melintas di hadapan, maka dia (seperti) berzina.”

Manakala untuk wanita yang berwangian dengan menggunakan haruman kuat untuk tujuan diperhiaskan kepada suami sahaja tak mengapa. Diharuskan. Malah digalakkan dan mendapat pahala asbab melayani suami.

Kesimpulannya, diharuskan wanita memakai wangi-wangian sekiranya:

fatwa tentang minyak wangi
Wangi-wangian adalah antara yang utama disukai oleh seorang wanita.

1. Dipakai untuk perhiasan suami sahaja. Tak kisahlah yang berbau kuat atau tidak. Bukan apa, dapat juga menghilangkan bau bawang atau masakan. Biar senantiasa wangi, barulah harmoni.

2. Wangian yang sedikit untuk menghilangkan bau badan seperti deodorant, bedak, sabun wangi, losyen tidaklah termasuk dalam kategori yang dilarang.

3. Memakai minyak wangi atau wangian yang dipakai ketika keluar rumah diharuskan yang baunya tidak kuat. Maksudnya jenis yang hanya bau untuk diri sendiri sahaja bila dipakai hingga tidak menyebabkan adanya tarikan syahwat. Caranya cuba calit di kulit, kalau baunya harum tak kuat tak apa. Tapi kalau calit, baunya kuat hingga orang tertarik itu yang diharamkan.

Ini berdasarkan dalil:

إِنَّ خَيْرَ طِيبِ الرَّجُلِ مَا ظَهَرَ رِيحُهُ وَخَفِيَ لَوْنُهُ وَخَيْرَ طِيبِ النِّسَاءِ مَا ظَهَرَ لَوْنُهُ وَخَفِيَ رِيحُهُ

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya wangian yang baik bagi lelaki adalah yang terzahir baunya dan tidak jelas warnanya dan wangian yang baik bagi wanita adalah yang terzahir warnanya dan tidak begitu kuat baunya.

[Hadis Riwayat at-Tirmizi, no.2788]

Baca : Kaki Wanita Juga AURAT dan HARAM Didedahkan Kepada Umum

Begitu juga pandangan yang disebutkan oleh al-Imam Badruddin al-‘Aini rahimahullah:

وإنما كان خير طيب النساء هو اللون دون الريح لأن اللون يجعل الزينة لهن وأما الريح فإنه إذا فاح منهن يتأتى منه فساد، ويخاف عليهن من الفتنة

“Adapun sebaik-baik wangian bagi wanita adalah pada warnanya dan bukan pada baunya kerana pada warna itu dijadikan perhiasan bagi mereka manakala bau sesungguhnya jika tersebar baunya (kuat sehingga dapat dihidu baunya) akan datang padanya kerosakan dan takut ke atasnya tertimpa fitnah.”

[Kitab Nukhabu al-Afkar fi Tanqih Mabani al-Akhbar, 9/97]

Semoga perbincangan kali ini memberi pencerahan kepada kita semua. Berpada-padalah memakai wangian, itu lebih dekat kepada ketakwaan. Takwa, bukan takua, tauhu atau taufu fah.

Tolong pesan pada saudara-mara, keluarga, sahabat handai dan rakan-rakan. Share lah supaya semua orang dapat ambil manfaat bersama demi kebaikan dunia akhirat. – Ustaz Farid Rashidi.

Semoga perkongsian tentang hukum pakai minyak wangi bagi kaum perempuan ini akan menambahkan lagi pengetahuan anda yang masih belum tahu dengan sepenuhnya. Walau bagaimanapun, memakai wangian untuk suami di rumah haruslah dibuat setiap hari untuk kebaikan hubungan rumah tangga. Semoga bermanfaat.

Written by Sazarimma

Seorang penjawat awam yang ada life insurance, suka travel dengan Air Asia, ada sikit simpanan dalam bank dan suka tengok wayang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0