Lafaz taklik (ta’lik) adalah lafaz talak taklik atau talak tergantung yang diucap, dibaca atau dilafazkan oleh seorang suami selepas akad nikah dilangsungkan. Ini bermaksud suami mengaitkan talak dengan sesuatu sifat atau syarat sama ada mempunyai hubungan dengan isterinya, suami itu sendiri atau orang lain.
Ikuti perkongsian dari Ustaz Farid Rashidi yang berkongsi tentang hukum talak taklik dengan lebih mendalam dengan maksud serta huraian tentang perkara ini yang terkadang dipandang remeh oleh para suami dan isteri dalam rumah tangga mereka.
Hukum Talak Taklik (Ta’lik)
Terkejut saya bila ada seseorang menghantar mesej, bahawa suaminya telah melafazkan cerai taklik. Bukan setakat cerai talak satu, tetapi tiga terus dibaginya.
“Jika awak keluar saja dari rumah tanpa izin saya, maka tercerai talak tiga!” Ugut si suami. Kepalanya sarat dengan amarah meluap-luap.
Selang beberapa waktu, si pengadu katanya keluar juga rumah tanpa pengetahuan suami. Selepas kejadian, hatinya tak tenang. Jadi tak keruan. Masakan tidaknya, selepas kejadian beberapa kali juga mereka intim bersama.

Jadi, dia musykil bagaimana keadaan status dirinya?
Baik, para isteri dan suami baca dan hadam elok-elok ya bab ini. Sebab perkara begini jangan dibuat main. Risiko besar.
Di sini saya kutip rujukan berpandukan kitab al-Fiqhu Manhaji (Kita Fiqh Mazhab Syafie’) dan pandangan ulama’ kotemporari dalam bab Talak.
Apa yang dimaksudkan dengan talak ta’lik (طالق تعليق)?
Maksud talak taklik (talak tergantung) ialah:
1. Suami mengaitkan talak taklik dengan sesuatu sifat. Contoh:
“Aku ceraikan kamu ketika kedatangan ayah kamu.”
Atau:
“Aku ceraikan kamu di bulan Ramadhan ini.”
Jadi, akan tercerailah si isteri bila mana ayahnya datang. Atau masuknya bulan Ramadhan.
2. Suami mengaitkan talak ta’lik dengan sesuatu syarat. Contoh:
“Aku ceraikan kamu jika kamu keluar dari rumah ini.”
Atau:
“Aku ceraikan kamu jika saudaramu masuk ke rumah ini.”
Akan tercerailah si isteri seandainya dia keluar dari rumah itu. Atau bila mana saudaranya masuk ke rumah itu.
Dalilnya:
وَالْمُسْلِمُوْنَ عَلَى شُُرُوْطِهِمْ إِلاَّ شَرْطًا حَرَّمَ حَلاَلاً أَوْ أَحَلَّ حَرَامًا
Daripada Abu Hurairah r.a sabda Rasulullah SAW: “Orang-orang Islam terikat dengan syarat-syarat mereka.”
[Hadis riwayat Hakim, nombor 2/49]
Baca juga : Suami Bergurau Lafaz Cerai Talak 3 Tetapi Mahkamah Putuskan Jatuh Talak Walau Tanpa Niat
Jadi kesan daripada talak ta’lik ialah:
1. Talak tak akan berlaku selagi perkara dikaitkan itu masih belum berlaku.
2. Kehidupan suami isteri tetaplah normal seperti biasa dari segi hukum hakam, dan kewajipannya jika apa yang disebutkan dalam talak ta’lik itu belum berlaku.
3. Talak akan jatuh sebaik sahaja syarat yang disebutkan dalam talak ta’lik berlaku. Suami tak perlu lafazkan talak yang baru.
Dr. Abdul Karim Zaidan di dalam kitabnya pula telah membahagikan sighah lafaz ta’lik kepada dua iaitu:
Pertama: Lafaz ta’lik talak bermaksud sumpah.
Kedua: Lafaz ta’lik talak semata-mata tiada apa-apa maksud.
Beliau menyebut bahawa jika seseorang melafazkan sighah ta’lik talak yang bermaksud sumpah dan tidak berniat untuk menjatuhkan talak, maka tidak akan menyebabkan talak terjatuh sekiranya syarat tersebut dilanggar.

Melainkan jika sighah ta’lik talak di lafazkan semata-mata tanpa ada maksud, talak akan jatuh sekiranya syarat tersebut dilanggar.
[Kitab Al Mufassol fi Ahkam Mar’ah Wa Baitul Muslim Fi Syariah Islamiah, m/s 480-484]
Jadi jelaslah bahawa si isteri yang mengadu tadi telah tertalak tiga berdasarkan apa yang diucapkan suaminya. Sebabnya dia langgar syarat yang ditetapkan si suami. Bila dah jadi begitu, menyesal pun tidak ada guna lagi.
Menangislah, merayulah… sudah terlambat. Talak tidak boleh dibuat main-main. Tidak boleh dibuat gurau senda. Talak akan jatuh selagi dia seorang yang waras, baligh, berakal dan boleh memilih.
Daripada Abu Hurairah r.a, sabda Rasulullah SAW:
ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ
“Tiga perkara yang jika dilakukan secara bersungguh-sungguh akan berlaku dan jika dilakukan secara main-main juga akan berlaku: Nikah, Talak dan Rujuk.”
[Hadis Riwayat Tirmizi, nombor 1184. Riwayat Abu Daud, nombor 2194. Riwayat Ibnu Majah, nombor 2039]
Baca juga : Hukum Suami Melarang Isteri Menziarahi Ibu Bapa Sendiri. Semua Isteri Wajib Tahu!
Talak ta’lik ini sangat banyak pasangan berkahwin lafazkan. Pantang lepa, silap sikit lafazkan. Terkadang disebabkan terlalu ikutkan emosi, dibelenggu kejahilan hingga menganggap boleh dibuat main-main. Merana nanti.
Sedarkanlah pasangan anda. Share artikel ini atau tag biar masing-masing baca. Lepas ini, hati-hati bila mahu bergurau pasal talak.
Kalau ada apa-apa soalan mengenai prosuder mahkamah syariah, boleh terus berhubung dengan sahabat saya peguam syariah yang hensem dan pandai masak Farhan Rais II.
Apapun, mari hayati kata pepatah yang saya reka sebentar tadi, “Terlajak motor boleh gostan, terlajak kata binasalah badan.” 🙂 – Ustaz Farid Rashidi
Semoga perkongsian tentang hukum talak taklik ini akan bermanfaat buat semua para isteri dan suami yang melayari bahtera rumah tangga dengan menambahkan lagi ilmu dan pengetahuan.
Loading…