in

Jika Anda Banyak Tinggalkan Solat, Buatlah Perkara Ini Sebelum Terlambat & Menyesal Tak Sudah Nanti

Pasti ramai di antara kita yang sering meninggalkan solat dengan sengaja dan tidak sengaja, malah ada yang tidak pernah walau sekali menunaikan solat yang wajib dilakukan oleh semua umat Islam di dunia ini seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT.

Kita semua dituntut untuk menunaikan rukun Islam yang kedua ini seperti yang telah diperintahkan oleh Nabi Muhammad SAW dengan penuh ikhlas dan khusyuk, malahan Allah SWT turut berfirman;

“Katakanlah kepada hamba-Ku yang beriman, hendaklah mereka itu mendirikan solat.” (Surah Ibrahim:31)

Kepada mereka yang tidak pernah mengerjakan solat atau tidak sembahyang itu, bermakna seseorang itu tidak meminta dan bermohon kepada Allah. Walhal, Allah seringkali memberikan dan mengurniakan sesuatu itu kepadanya. Itulah salah satu bentuk kesombongan yang ada dalam diri kita yang HARUS dan WAJIB kita elakkan.

Kita sentiasa berpeluang untuk mendirikan solat yang terkadang kita tertinggal secara sengaja atau tidak. Mungkin berbagai persoalan menjadi tanda tanya kepada mereka yang tidak pernah solat semenjak kecil dan ada juga yang tertanya bagaimana untuk menggantikan solat dan sebagainya.

solat
Kita masih lagi berpeluang untuk solat biarpun sejak kecil tidak pernah solat.

Berikutnya adalah penjelasan yang terperinci dari Mufti Wilayah Persekutuan yang akan menjawab persoalan anda itu. Bacalah dan fahamkan secara teliti agar kita akan terus berada di landasan yang betul sebelum kita dijemput oleh-Nya.

Hukum Solat Yang Ditinggalkan Kerana Malas dan Cuai

Soalan : Adakah kita perlu mengqada’ solat (wajib atau sunat) yang tertinggal dengan sengaja, malas dan cuai? Bagaimana dengan solat yang ditinggalkan semenjak aqil baligh? Apakah kita hanya dituntut supaya bertaubat dan tidak perlu mengqada’nya?

Jawapan:
Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلصَّلَو‌ٰةَ كَانَتْ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ كِتَـٰبًا مَّوْقُوتًا

Maksudnya: Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya. (Surah al-Nisa: 103)

Ayat ini menunjukkan bahawa solat fardhu menjadi kewajipan orang Islam dan mempunyai waktunya yang telah ditetapkan. Sebelum saya menjawab permasalahan ini, suka dinyatakan berkenaan dengan hukum meninggalkan solat.

Pengarang al-Fiqh al-Manhaji menyebut:

Orang yang meninggalkan kerana mengingkari hukum wajibnya atau sengaja mempersendakannya akan menjadi kafir dan terkeluar daripada agama Islam.

BACA : 10 Jenis Solat Yang Tidak Diterima Oleh Allah. Bacalah Agar Solat Kita Tidak Sia-sia

Pihak pemerintah wajib menyuruhnya bertaubat dan tidak boleh membiarkannya demikian sehingga dia bertaubat dan kembali mendirikan solat. Jika dia terus mengingkarinya, dia akan dihukum bunuh sebagai seorang murtad dan mayatnya tidak boleh dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan. Juga tidak harus dikebumikan di tanah perkuburan orang Islam kerana dia bukan lagi di kalangan mereka.

Sementara orang yang meninggalkan solat kerana malas tetapi masih meyakini hukum wajibnya, pihak pemerintah hendaklah memaksanya mengqada’kan solat dan bertaubat daripada kesalahan meninggalkannya. Jika masih ingkar untuk mengqada’nya, maka dia wajib dihukum bunuh mengikut hukuman yang disyariatkan atas orang Islam yang melakukan maksiat.

cara qada solat yang tertinggal
Orang yang meninggalkan solat haruslah segera bertaubat kerana azabnya sangat berat.

Hal ini kerana hukuman ke atas orang yang meninggalkan perkara fardhu adalah wajib diperangi tetapi selepas dibunuh dia masih dianggap seorang Islam. Oleh itu, jenazahnya, pengebumian dan pembahagian hartanya hendaklah diuruskan menurut syariat Islam.

Berkenaan dengan soalan di atas, pendapat yang masyhur dalam Mazhab Syafie hendaklah diqada’kan solat yang telah ditinggalkan walaupun bukan dengan sebab tertidur atau lupa. Ini kerana hutang Allah SWT lebih utama dibayar.

Berkenaan dengan solat yang ditinggalkan semenjak aqil baligh, maka hendaklah diqada’ semampu yang mungkin walaupun secara beransur-ansur sehingga selesai, di samping bertaubat kepada Allah SWT. Mereka hendaklah menghitung solat yang ditinggalkan dengan ghalib zan atau yakin supaya dapat diqada’kan semua solat yang pernah ditinggalkan.

Walaupun begitu kita yakin dengan sifat keampunan Tuhan dan penerimaan taubatnya di samping beriman dengan firman Allah SWT:

لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Maksudnya: Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. (Surah al-Baqarah: 286)

Berkenaan dengan qada’ amalan sunat hukumnya sunat, seperti yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW. Adapun taubat juga perlu tetapi tidak memadai dengannya sahaja, mesti diqada’ juga berdasarkan arahan Rasulullah SAW.

Akhukum fillah,
Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

CARA MENGQADA SOLAT

qada solat
Apabila tertinggal solat secara tidak sengaja, maka haruslah diganti solat tersebut selepas menyedari kesilapan itu.

Ada pendapat yang mengatakan hanya perlu qada solat yang ditinggalkan kerana tidak sengaja terlupa atau tertidur dan tidak perlu qada solat yang sengaja ditinggalkan.

Misalnya sembahyang yang ditinggalkan dengan sengaja kerana lalai semasa “muda-muda dulu”.
Mereka mengatakan cukup dengan istighfar dan bertaubat sahaja.

Sebenarnya pendapat ini tidak tepat kerana Rasulullah s.a.w. sendiri menqada solat yang ditinggalkan walaupun Baginda tidak tertidur atau terlupa. Tidak ada qada dalam solat bukan bermaksud tidak perlu qada tapi tidak perlu sebut perkataan qadha semasa niat.

Qadha ialah melakukan sesuatu ibadah di luar waktunya dan tunai ialah melakukan sesuatu ibadah di dalam waktunya. Secara mudahnya tunai “waktu Allah”, qadha “waktu kita.”

Dari ‘Aisyah r.a katanya: “Apabila Rasulullah S.A.W. lupa solat malam, umpamanya kerana tertidur dan sebagainya, maka baginda menggantinya pada siang hari dua belas rakaat.” (Muslim)

Cara Niat Qada Bagi Solat Fardhu Lima Waktu Pula Ialah :

1. Solat Maghrib
“Sahaja aku solat fardu maghrib tiga rakaat qada’ kerana Allah Ta’ala”

2. Solat Isyak
“Sahaja aku solat fardu Isyak empat rakaat qada’ kerana Allah Ta’ala”

3. Solat Subuh
“Sahaja aku Solat Fardu Subuh dua rakaat qada’ kerana Allah Ta’ala”

4. Solat Zuhur
“Sahaja aku solat fardu Zuhur empat rakaat qada’ kerana Allah Ta’ala”

5. Solat Asar
“Sahaja aku solat fardu Asar empat rakaat qadha’ kerana Allah Ta’ala”

Ada orang bertanya : Jika kita tertinggal solat (sengaja dan tidak sengaja) sejak akhil baligh sehingga sekarang (20-an; banyak waktu), perlukah di qada semua jumlah solat yang tertinggal itu atau cukup dengan melakukan solat taubat?

Jawabnya, Wajib qada solat yang telah tertinggal. Disini ada dua cara untuk qada, pertama jika seseorang yang tahu sebanyak mana dia telah tinggalkan solat fardhunya, maka qadakanlah mengikut bilangan yang telah ditinggalkannya.

BACA : Hukum Melintas Di Hadapan Orang Yang Sedang Bersolat

solat berjemaah
Semakin ramai bilangan jemaah, semakin besar pahala diperolehi dalam solat berjemaah.

Cara kedua adalah bagi yang tidak tahu secara detail berapa banyak yang telah ditinggalkannya, yakni semenjak akil baligh, buatlah anggaran berapa banyak solat yang perlu diqada dan berhentilah jika sudah yakin solat itu sudah diqada kesemuanya.

Cara yang terbaik adalah selepas selesai solat fardhu lakukan solat qada, buatlah berterusan begitu moga-moga diterima Allah. Selain itu ada juga orang bertanya, jika ditakdirkan meninggal sebelum sempat mengqada semua solat itu ( tetapi sudah buat solat taubat ) bagaimana ?

Soal jika meninggal sebelum sempat meng’qada kesemua solat itu, semuanya bergantung pada Allah, akan tetapi jika kita telah benar-benar insaf dan niat untuk qada’ kesemua solat dan telah melakukan solat taubat dengan bersungguh-sungguh dan juga mengikuti segala perintah Allah, insyaAllah akan diampuni dosa-dosanya.

Untuk pengetahuan semua, qada solat fardhu boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja tiada waktu larangan padanya. Semoga perkongsian ini bermanfaat kepada semua dalam mendapat pengampunan daripada Allah SWT.

Wallahualam. Perkongsian ilmu Allah daripada Facebook.

Written by Sazarimma

Seorang yang suka mempelajari sesuatu yang baru dan gemar melakukan aktiviti lasak. Seorang penjawat awam yang amat optimis, kemahiran berkomunikasi dengan sesiapa sahaja dan suka membaca.

One Ping

  1. Pingback:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

Comments