in

Viral Pengalaman Jemaah Haji Ditipu Scammer Di Mekah & Madinah

kes tipu di mekah dan madinah

Kes ditipu scammer selalu kita dengari sama ada di laman sosial atau di dalam akhbar dan juga TV tanpa mengira tempat dan keadaan pasti ada saja kes penipuan sebegini dilaporkan. Malahan di Tanah Suci Mekah juga tetap ada kes ini yang sanggup dilakukan oleh mereka yang ingin mendapatkan keuntungan dengan menggunakan taktik menipu.

Lebih membimbangkan pada masa ini para jemaah haji sedang ramai yang pergi ke Mekah untuk menunaikan rukun Islam yang kelima itu. Mungkin ada para jemaah haji nanti akan berhadapan dengan kes scammer seperti ini dan diharapkan semuanya terus berhati-hati.

Perkongsian pengalaman peribadi dari seorang pengguna Facebook ini mungkin berguna kepada anda atau keluarga dan semua orang, bagaimana sepanjang beliau berada di Tanah Suci dia pernah didekati scammer yang berlagak alim ketika berada di sana.

Bermacam cara dan helah yang digunakan scammer di sana demi kerana untuk mendapatkan wang sehingga bernilai 1000 riyal. Mereka sanggup menipu dan menggunakan taktik tertentu seperti yang dikongsikan pengguna Facebook ini.

Hati-Hati dengan SCAMMER di AL-HARAMAIN

Jangan ingat di Tanah Suci Mekah dan Madinah tak ada Scammer, Ada rupanya bezanya ada yang kena cara halus dan cara kasar saja.

ditipu scammer di mekah
Siapa akan menyangka lelaki yang lengkap dengan jubah dan kopiah itu adalah scammer?

DITIPU SCAMMER CARA KASAR:

1. Cara Pertama : Sudah pastinya beg kita diseloknya atau ditorehnya dengan pisau sama ada kita sedang melakukan Tawaf atau Saie, cara yang mereka buat ini memang kita pun tak akan perasan langsung. Mereka memang berani dan pro. Hasil yang dia dapat pun kasar jugak, mau riban-riban dan handphone pun boleh dapat. (Kebiasaannya cara 1 ini wanita adalah target utama)

2. Cara Kedua : Scammer jadi pengiring (kononnya escort kita) untuk cium Hajarul Aswad, ini orang Indonesia, dia akan himpit kita dan bertanya “pak, mau cium Hajarul Aswad, kalau kita cakap mauh, dia mintak siap-siap 400 Saudi Riyal, kadang-kadang 1000 Riyal pun ada. Kita cakap tak ada atau tak mahu, dia akan blah lah. Tapi kalau kita cakap mahu, dia bawa kita separuh jalan, dan separuh jalan lagi dia pun hilang. Ada juga kes, yang ikut kita sampai ke hotel untuk tuntut duit, sila berhati-hati.

3. Cara Ketiga : Hati-hati apabila membuat bayaran duit 10 Riyal dengan duit 100 Riyal, selalu konfius sebab warna duitnya MERAH. Saya pernah tengok depan mata saya jemaah wanita tua dia nak beli air mineral 1 riyal, dia kasi 100 riyal, sepatutnya baki 99 Riyal, tapi dipulangnya baki 9 riyal saja. Dan makcik tu tanya “saya bagi 100 riyal, dan dia cakap tak, makcik bagi 10 riyal, lalu dia angkat 10 Riyal.. makcik tu pun terkial-kial dengan mamat tu. Hakikatnya saya tengok sendiri makcik tu bagi dia 100 riyal.

(Dalam kes ni saya campur tangan, sebab geram. So makcik tu dapat lah balik baki duitnya 99 Riyal) Hati-hati dengan penjual yang duduk atas food-truck di Jabal Rahmah.

4. Cara Keempat : Mak-mak arab yang berjubah hitam yang menjual dan meminta sedekah di sekitar Masjidil Haram (terutama laluan nak ke Menara Jam), ini lagi profesional punya scammer, depa boleh buat 1001 macam cerita siap dengan drama dan watak-watak pelakon sampingan lagi. So, awas jangan cepat melatah dan bermurah hati sangat. Sekali kita bagi, habis kita akan dikerumuni oleh ‘mereka’.

5. Cara Kelima : Geng Teksi pun sama, awalnya kita dah deal harga dari Airport Jeddah ke Hotel di Mekah 200 Riyal, nanti bila sampai di Mekah dia akan buat-buat pusing 5 ke 6 ke 7 ke 8 ke 9 ke 10 kali, buat-buat cari hotel. Penyudahnya jumpa juga hotel tu, tapi dia akan mintak kita bayaran ehsan lagi 50 Riyal sebab sesat jalan.

(Padahal itulah game plan dia orang) Kalau nak secure baik guna GRAB atau UBER terus.

CARA HALUS (Lebih Kepada Psychology)

1. Saya sendiri pernah kena semasa di Mekah (berdekatan pintu 17) saya dah tak hairan sangat dengan kaki Scam ni sebab dah tau game mereka, saya layan sebab nak tengok permainan mereka.

Saya didatangi oleh seorang lelaki Pakistan (pakai kurta putih dan seluar putih), dia tarik saya ke tepi, dan bermulalah cerita sedihnya yang dia kena selok, duit dia dicuri, passport dia hilang, mak dia sakit (nanti dia akan tunjuk seorang pompuan tua, yang sedang baring) untuk memberikan kita yakin dengan ceritanya, dia mintak 500 Riyal untuk kos perubatan mak dia dan makan. Saya dah tau dia SCAM, saya cakap saya tak ada duit dan terus saya blah, dengan nada tinggi sikitlah.

Saya intai dia dan geng-geng dia mencari mangsa yang lain dari jauh, yup ternyata mangsa keduanya berjaya, dia ambil kesemua duit mangsa kedua semasa mangsa sedang kira duit, dan terus blah. (Geng sindiket 4 ke 5 orang) Kalau sehari dia dah kaut 1000 Riyal kalau sebulan dah berapa?

Saya perhatikan rata-rata mangsa scam geng ini adalah jemaah umrah dan haji rakyat Malaysia, Indonesia, Brunei, mungkin easy target kot atau kita ni memang suka bersedekah.

scammer mekah
Kota Suci Mekah adalah tempat untuk menunaikan ibadat tetapi dicemari dengan orang-orang yang tidak bertanggungjawab.

KESAN PADA JEMAAH :

1. Kita akan hilang fokus untuk beribadat kerana menyesal atas kealpaan kita.

2. Membuatkan keluarga yang ada di Malaysia ni jadi risau, atas kejadian yang menimpa.

3. Bila dah hilang pertimbangan tu, mulalah mulut kita pun sama naik mencarut dan memaki hamunnya. (Niat asal dan fokus utama ke Tanah Suci dah hilang).

4. Mula rasa takut-takut pada keadaan sekeliling.

5. Murung

Inilah beberapa jenis Scammer yang ada di Tanah Suci Mekah & Madinah.

Pada saya senang saja, kalau nak sedekah, sedekah kepada tukang sapu sampah di dalam atau di luar Masjid. Selagi namanya manusia berhati-hatilah dengan langkah dan gerak, mata mau TAJAM, kalau silap langkah pasti ada yang nak ambil kesempatan di atas kebaikan kita, sebab kat sana bukannya semua Malaikat.

Tapi ada sekelompok manusia yang sentiasa mengambil kesempatan. Orang-orang macam ini mereka peduli apa, bukannya mereka hairan di Tanah Haram atau bukan Tanah Haram, janji Masyuk.

Jemaah juga DIINGATKAN kalau pergi MASJID tu tak payah la gatal-gatal nak bawa duit beratus-ratus dan beriban-riban. Bawa duit SR50 ke SR100 sudah. duit yang riban-riban kita bawa tu simpan saja di hotel. (dalam beg berkunci ke atau dalam peti box keselamatan atau mintak tolong Mutawwif/Mutawwifah simpankan).

Saya pesan, sebab kita bukannya tiap-tiap bulan datang ke Mekah dan Madinah, kena menabung dan menyimpan baru boleh datang, jadi bila sampai sini ditipu dengan orang-orang macam ni pulak. Kesian pun ada.

Artikel Lain : Kelebihan 10 Hari Awal Zulhijjah (Amalan dan Sunat Bulan Zulhijjah)

Jadinya pakat-pakat beringat. Bila dah kat sana letakkan diri pada Allah SWT, mintak doa kat dia untuk dijauhi dari perkara-perkara seperti ini.

Andai kata terkena scam macam ni kalau amaunnya kecil anggapkan sedekah dan tak ada rezeki kita lah tu. Tapi, kalau jumlahnya besar, teruslah buat report polis, ajak Mutawwif pergi buat laporan dengan segera. Sementara musim haji ni pesan-pesan lah kepada jemaah dan rakan taulan yang ada di Tanah Suci. SEKADAR BERINGAT.

Semoga perkongsian tentang scammer yang terdapat di Mekah dan Madinah ini akan membantu kita semua terutama ahli keluarga kita yang sedang dalam perjalanan atau yang berada di sana, anda harus menasihati mereka sebelum kejadian sebegini akan berlaku. Sama-sama kita doakan para jemaah Haji kita akan selamat dan dijauhi kes seperti ini.

Written by Iskandar Ariffin

Facebook dan Google antara perkara pertama yang menjadi teman setiap hari untuk mencari maklumat terkini sama ada dalam dan luar negeri. Kekadang bersukan bila perlu tetapi suka menonton wayang di rumah dan kurang makan waktu pagi tapi malam minum saja.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

Comments