Semua rakyat Malaysia tahu betapa pentingnya kad pengenalan kepada mereka dan setiap nombor yang tertera dalam kad pengenalan itu mempunyai maksud yang tersendiri seperti tarikh lahir dan di manakah kita dilahirkan. Manakala, empat digit nombor terakhir adalah menentukan sama ada pemilik kad itu perempuan atau pun lelaki.
Anda pasti keliru sekiranya anda mengetahui bahawa MyKad anda sebenarnya menunjukkan anda jantina yang tidak sepatutnya. Perkara inilah yang berlaku kepada seorang wanita yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah semenjak 20 tahun yang lalu.
Wanita tersebut, Mairinc Patrick, 35, mula menyedari akan hal itu ketika dia cuba membuat permohonan untuk mendapatkan pekerjaan dengan jawatan sebagai jururawat.

Namun, permohonannya dilaporkan telah ditolak oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan turut memaklumkan kepadanya bahawa jawatan tersebut untuk wanita sahaja memandang 4 digit terakhir kad pengenalannya menunjukkan angka ganjil iaitu dia adalah seorang lelaki.
Menurut laporan New Straits Times, Mairinc telah pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk menjelaskan perkara sebenar dan untuk mengemaskinikan maklumat tentang dirinya itu.
Tetapi malangnya, apabila dia ingin membuat permohonan pasport anttarabangsa di Jabatan Imigresen pada tahun 2008, jantinanya masih lagi belum dikemaskinikan.
Dalam usaha membetulkan isu tersebut, Mairinc berkata, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hanya menyatakan untuk menyelesaikan isu statusnya sebagai wanita.
Perkara tersebut telah menyukarkan dirinya untuk membuat permohonan dan apa saja yang membabitkan kad pengenalan. Lebih teruk lagi ketika dia ingin melancong ke luar negara kerana pihak berkuasa antarabangsa dikatakan sering meragukan kesahihan pasport miliknya itu.

Menurut wanita itu lagi, pada tahun 2003, JPN telah memaklumkan telah menyelesaikan madalah tersebut, walau bagaimanapun, hanya data MyKad sahaja yang dikemaskinikan, katanya.
Disebabkan perkara ini menyukarkan dirinya, Mairinc dikatakan terpaksa pergi ke mana-mana institusi tertentu secara fizikal dengan tujuan untuk membuat pengesahan tentang MyKad miliknya itu serta turut ingin membuktikan jantinanya.
Mairinc turut mengalami kesukaran untuk berurusan secara atas talian seperti orang lain kerana isu status jantinanya telah menyebabkan dia tidak boleh berbuat demikian.
Apabila dia membuat pendaftaran untuk berkahwin, dia dikatakan dipersoalkan mengenai status jantinanya sebanyak dua kali. Walau bagaimanapun, apa yang paling beliau bimbangkan adalah bagaimana dia ingin menjelaskan kepada anak-anaknya nanti.

Dia turut menyatakan bahawa bagaimana jika suatu hari nanti, dia mempunyai anak-anak, mereka mungkin harus menghadapi masalah dan pertanyaan orang ramai bahawa mereka mempunyai seorang ibu lelaki.
Agak pelik dan hairan, bagaimana perkara sebegini boleh berlaku dan di mana agaknya bermula kesilapan ini.
Loading…