in ,

(VIDEO) Sel Kanser Gentar Dengan Bawang Putih? Doktor Ini Menyelar Dakwaan Palsu & Mengarut Ini

Untuk menyembuhkan setiap sesuatu penyakit seperti kanser yang dihidapi sesiapa sahaja, pastinya setiap orang akan sanggup melakukan apa sahaja untuk rawatan dan kaedah yang difikirkan boleh membantunya bagi menyingkirkan kesakitan dan penyakit tersebut.

Keadaan ini juga termasuk dengan melakukan percubaan dengan menggunakan pelbagai kaedah yang belum tentu kesahihannya dan juga cara yang tak masuk akal. Seperti sebuah video yang tular di Facebook baru-baru ini, yang didakwa penyakit kanser boleh disembuhkan dengan hanya memakan bawang putih. Betul ke?

Pasti anda terkejut mendengar tentang perkhabaran ini, nampak senang dan mudah sahaja. Melalui rakaman video tersebut, seorang lelaki dilihat menunjukkan bagaimana bawang putih yang dikatakan mampu melawan penyakit kanser. Di belakang lelaki tersebut turut kedengaran alunan ayat-ayat suci Al-Quran.

Tidak cukup dengan itu, dia juga juga mendakwa emas adalah penyebab kanser serta turut melarang semua kaum wanita dari memakai barang kemas sedemikian.


Rakaman video tersebut turut mendapat pelbagai reaksi dan pendapat netizen yang rata-rata di antara mereka didapati turut mengutuk dan mengecam dakwaan palsu lelaki terbabit.


Selain itu, rakaman tersebut juga turut mendapat perhatian seorang lelaki iaitu doktor yang bertauliah yang dikenali sebagai Dr Shazeli Abdullah yang menyifatkan semua dakwaan tersebut adalah karut semata-mata.

BAWANG PUTIH dan KANSER

Hampir semua media sosial kongsi video berkenaan kononnya sel kanser melarikan diri apabila disua bawang putih. Menghairankan pula apabila disua emas, sel kanser tersebut bergerak minat. Maka ramai yang takjub, lantas bawang putih adalah ubat paling hebat melawan kanser. Manakala sesiapa yang memakai emas boleh menyebabkan kanser semakin teruk.

Betul ke?

Saya teliti sebaran tersebut dalam kebanyakan media sosial, versi bahasa inggeris dan versi bahasa melayu. Biasanya versi bahasa melayu itu terjemahan dari versi asal bahasa inggeris.

Sebagai ahli perubatan, saya akan soal kembali, apa signifikan ujikaji bawang putih dan cincin emas? So what?

Adakah jika doktor akan suakan bawang putih kepada pesakit yang ada ketulan kanser,kanser tersebut bergerak? Contohnya kanser payudara, apabila disuakan bawang putih, ketulan kanser itu akan bergerak menjauhi dari rongga dada ke tengkuk, ke kerongkong seterusnya keluar ikut mulut? Kemudian pesakit sembuh dari kanser? Tidak sesekali. Rawatan kanser adalah pembedahan dan kimoterapi.

Rupa-rupanya sel yang dikatakan sebagai sel kanser itu bohong. Ia sejenis logam yang direka khas. Mempunyai kuasa magnetik yang tinggi. Lihat magik dalam paparan video berikut https://youtu.be/ZXJuJQVrgbI.[1] Kemungkinan pergerakan “sel kanser” tersebut adalah diaruh melalui besi yang digerakkan di bawah meja ujikaji.

Dari sudut perubatan, adakah bawang putih boleh mencegah kanser atau merawat kanser? Laman web rasmi cancer.gov telah menulis mengenai laporan kaitan antara bawang putih dan pencegahan kanser. Hasil laporan kajian yang mereka jalankan adalah:

i) Kebanyakan kajian saintifik perubatan mempuyai had tertentu, seperti jumlah sampel kajian yang kecil, ketidak-tepatan dos dan frekuensi pelbagai bawang putih yang digunakan.

ii) Kajian menggunakan bawang putih yang tidak standard dalam sesatu masa menyebabkan tidak boleh membandingkan secara tepat keberkesanannya.
iii) Kesimpulan keseluruhan kajian mendapati terlalu amat sukar untuk mengaitkan bawang putih boleh mencegah kanser.[2]

iv) Tidak dinafikan bawang putih mempunyai khasiat tertentu seperti anti-oksidan. Tetapi anti-oksida bukannya anti kanser. Jauh sekali ianya bahan untuk merawat kanser.

Video tersebut juga memaparkan “sel kanser” mesra dengan emas. Nasihat saya kepada wanita yang memakai emas, pakailah semahunya. Tidak sesekali emas yang dipakai itu boleh menyebabkan kanser atau sel kanser yang sedia ada itu merebak. Tidak boleh dikaitkan sesekali kanser dengan pemakaian emas di badan manusia. Malah tidak pernah dibuktikan pun.

Suhazeli Abdullah
Fb.com/drsuhazeli

7.11.2017
Kg Langgar

[1] Watch Discovery channel: Street magic.

[2] Laporan cancer.gov bawang putih dan kanser.

Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan apa yang sebenarnya tujuan rakaman video berkenaan yang telah disebarkan. Orang ramai dinasihatkan agar bijak membuat penilaian dan dan jangan terlalu taksub dengan setiap maklumat dan menerima dengan dakwaan palsu sedemikian.

Written by Sazarimma

Seorang yang suka mempelajari sesuatu yang baru dan gemar melakukan aktiviti lasak. Seorang penjawat awam yang amat optimis, kemahiran berkomunikasi dengan sesiapa sahaja dan suka membaca.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

Comments