in ,

(VIDEO) Kejadian Api Misteri Yang Menghantui Keluarga Ini Tidak semestinya Berpunca Dari Makhluk Halus – Mufti Kelantan

MUFTI Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamed berkata, kejadian api misteri yang menghantui satu keluarga di Kampung Penambang di Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bahru, tidak semestinya berpunca daripada makhluk halus, mungkin ada perkara tersirat.

Beliau meminta keluarga terbabit berhubung dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) untuk siasatan lanjut kerana pihak mempunyai pasukan siasatan sendiri bagi menguruskan perkara seperti itu.

Mohamad Shukri berkata demikian mengulas kejadian api misteri yang dikatakan mengekori satu keluarga tujuh tahun lalu, kembali menghantui keluarga berkenaan.

Pada 19 September lalu, rumah keluarga berkenaan dan jiran hangus terbakar dalam kejadian yang didakwa mereka berpunca daripada api misteri itu.

Mangsa, Zainab Sulaiman, 80, menantunya Ropeah Zakaria, 50, serta cucunya, Wan Mohd Faiz Wan Hanafi, 21, Wan Nor Fatihah, 19, dan Wan Nor Fatini, 17, terpaksa berpindah ke beberapa tempat bagi mengelak kejadian sedemikian berulang.

Bagaimanapun, keluarga itu yang menumpang di rumah seorang saudara, juga di kampung berkenaan, sekali lagi diserang api misteri itu menyebabkan beberapa pakaian, sejadah dan tuala dalam dua bilik terbakar, Jumaat lalu.

Pemilik rumah itu Faridah Sulaiman, 75, mendakwa ketika kejadian, api berkenaan dikatakan muncul lima kali antara 9.30 pagi dan 10.30 pagi, menyebabkan beberapa pakaian terbakar.

Faridah yang juga adik kepada Zainab berkata, dia tiada di rumah menghadiri kenduri kahwin dan meninggalkan kakak dan keluarganya di rumah.

Katanya, rumahnya pernah terbakar tujuh tahun lalu, ketika Zainab dan cucu-cucunya tinggal di situ menjaga rumahnya ketika dia menunaikan umrah.




Sementara itu, Zainab berkata, mereka sekeluarga buntu dengan kehadiran api misteri itu dan sudah melakukan pelbagai usaha untuk memulihkan keadaan, termasuk memanggil lebih 20 ustaz.

Penghulu Mukim Penambang Zainuddin Zakaria, 50, berkata bagi meringankan beban keluarga berkenaan, penduduk kampung berusaha membantu dengan merancang membina rumah kecil berhampiran rumah Faridah.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan Penolong Pesuruhjaya Bomba Nazili Mahmood yang ditanya mengenai kebakaran memusnahkan dua rumah terbabit berkata, punca kebakaran masih dalam siasatan. – Harian Metro

Written by Sazarimma

Seorang yang suka mempelajari sesuatu yang baru dan gemar melakukan aktiviti lasak. Seorang penjawat awam yang amat optimis, kemahiran berkomunikasi dengan sesiapa sahaja dan suka membaca.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

Comments