Informasi

Kenali 7 Pejuang Kemerdekaan Yang Berbakti Kepada Negara, Mungkin Ramai Yang Masih Tidak Tahu..

Semenjak di alam persekolahan kita didedahkan dengan buku-buku Sejarah tentang kemerdekaan dan pejuang-pejuang negara yang begitu banyak berbakti terhadap tanah air tercinta sehingga ada yang sanggup menggadaikan nyawa demi mempertahankan hak milik kita semua.

Antara nama-nama pejuang kemerdekaan yang sering kita dengari seperti Tunku Abdul Rahman, Tun VT Sambanthan, Tun HS Lee, Dato’ Onn Jaafar dan banyak lagi yang telah tercatat dalam sejarah yang diabadikan untuk tatapan anak cucu bangsa kita Malaysia.

Tetapi, adakah kita semua ingat tentang beberapa nama seperti Ibu Zain, Antanom, Burhanuddin Helmi dan Janaky Athi Nahappan? Mungkin generasi baru ini ramai yang tidak tahu atau tidak pernah mendengar tentang mereka yang juga banyak berbakti kepada negara demi kemerdekaan Malaysia.

Berikutnya adalah antara nama-nama pejuang kemerdekaan yang mungkin ramai remaja masa kini yang masih tidak tahu tentang mereka semua.

1. Antanom

Ontoros Antanom yang dikenali sebagai Antanom adalah merupakan seorang pahlawan murut yang amat terkenal dari Borneo Utara iaitu Sabah. Beliau dikatakan mempunyai kuasa sakti mengikut sejarah lisan yang diceritakan oleh orang-orang tua dahulu.

Beliau dikenali dengan Revolusi Rundum dalam menentang Syarikat Borneo Utara British (SBUB) yang mengenakan berbagai jenis cukai kepada penduduk tempatan.

Walau bagaimanapun, Antanom akhirnya mati ketika pertempuran dengan tentera SBUB di Sungai Selangit berdekatan dengan Kesiangan selepas diperangkap serta dikepung.

2. Rosli Dhoby

Rosli Dhoby merupakan seorang pejuang kemerdekaan Sarawak daripada penjajah British. Beliau yang pada mulanya tidak mengaku bersalah menikam Gabenor British Sarawak, Sir Duncan Steward sehingga mati dengan menggunakan sebilah pisau beracun di Sibu pada tarikh 3 Disember 1949. Walau bagaimanapun, dia akhirnya terpaksa mengalah dan mengakui kesilapannya itu selepas ibunya diugut untuk ditembak.

Rosli Dhoby meninggal dunia di tali gantung pada 2 Mac 1950 dan kematiannya bersama 3 orang sahabatnya yang lain telah menyebabkan gerakan penentangan anti-kolonialis di Sarawak berakhir dengan secara mendadak.

3. Burhanuddin al-Helmy

Datuk Seri Dr. Burhanuddin Bin Ungku Muhammad Nor adalah merupakan bekas Yang Dipertua Agung Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pada tahun 1956 hingga 1969. Burhanuddin juga menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) bagi menuntut kemerdekaan Tanah Melayu serta mewujudkan Melayu Raya yang menggabungkan negara Malaysia-Indonesia.

Burhanuddin akhirnya beralih arah kepada PAS pada tahun 1956 dan digambarkan sebagai pemikir Islam dan ‘nasionalis radikal’. Beliau kemudiannya telah dipenjarakan selama satu tahun di bawah ISA kerana kononnya dikatakan sebagai ejen Indonesia serta menentang penubuhan Malaysia.

Burhanuddin akhir meninggal dunia pada tarikh 25 Oktober 1969 akibat penyakit lelah yang dihidapinya itu.

4. Ibu Zain

Tan Sri Hajah Zainon Bte Munshi Sulaiman atau lebih mudah dikenali sebagai Ibu Zain adalah merupakan seorang tokoh pendidik dan juga politik wanita yang amat terkenal. Berbeza dengan ahli-ahli politik yang lain, beliau dilihat lebih berminat untuk membincangkan tentang soal pendidikan.

Jasa Ibu Zain begitu bermakna dalam menjalankan kegiatan dakwah bagi pemulihan akhlak wanita yang terpengaruh dengan tentera Jepun, selain dari menyatukan kaum ibu untuk menyumbangkan bakti kepada kemerdekaan Malaysia.

Wanita yang mempunyai semangat juang yang tinggi dan berani ini pernah mendaftarkan diri sebagai tentera sukarela dan meredah hutan keseorangan demi menenting dakyah komunis yang menular di kalangan masyarakat. Beliau akhirnya meninggal dunia pada 1 April 1989 di Johor Bahru kerana sakit tua.

5. Tun Tan Siew Sin

Tun Tan Siew Sin merupakan Presiden MCA yang ketiga selepas Tun Tan Cheng Lock dan Lim Chong Eu. Beliau juga adalah anak kepada negarawan Tun Tan Cheng Lock. Kerjaya politik beliau bermula apabila dia dilihat begitu aktif dalam Independence Malaya Party (IMP) yang telah ditubuhkan oleh Datuk Onn Jaafar.

Tetapi malangnya, IMP tidak mendapat sokongan ramai kerana hanya memenangi satu daripada 12 kerusi yang telah dipertandingkan semasa pilihanraya pada 1952.

Tidak beberapa lama selepas itu, Tun Tan Siew Sin berkerjasama dengan Parti Perikatan. Beliaulah yang telah mencadangkan supaya UMNO memberikan taraf kewarnegaraan kepada orang bukan Melayu. Oleh disebabkan sikap kepimpinannya, Tunku Abdul Rahman telah melantik beliau menjadi Menteri Kewangan selama 15 tahun.

Pada 17 Mac 1988, beliau meninggal dunia akibat sakit jantung.

6. Abdullah Fahim

Tuan Guru Haji Abdullah II bin Haji Ibrahim Ahmad bin Haji Abdullah I merupakan seorang cendekiawan Islam dan ahli astronomi atau falak yang terkenal ketika sebelum kemerdekaan.

Beliau juga adalah datuk kepada Perdana Menteri Malaysia yang kelima iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi. Abdullah Fahim mengajar ilmu teologi Islam di rumahnya dekat Kepala Batas dan Pondok Tuan Haji Wan Sulaiman Wan Sidik, Alor Setar.

Beliau sangat terkenal sebagai ulama yang banyak memberi nasihat kepada pemimpin-pemimpin Melayu termasuklah Tunku Abdul Rahman dalam mendapat kemerdekaan. Abdullah Fahim jugalah yang menasihati Tunku untuk bekerjasama dengan pemimpin kaum lain supaya penjajah British bersetuju memberikan kemerdekaan. Malah beliau juga mencadangkan tarikh 31 Ogos 1957 sebagai hari kemerdekaan selepas membuat perkiraan hisab dengan takwim Hijrah.

Abdullah Fahim meninggal dunia pada 28 April 1961 ketika berusia 91 tahun.

7. Janaky Athi Nahappan

Puan Sri Janaky Athi Nahappan merupakan pengasas parti politik India pertama MIC bersama John Thivy pada tahun 1946. Terdahulu beliau pernah menyertai Tentera Nasional India (INA) dan berjuang menentang British di sempadan Burma-India untuk menuntut kemerdekaan India.

Setelah pulang ke Malaysia, beliau aktif dalam pelbagai pertubuhan sosial dan terbabit dalam Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO). Janaky telah mendapat pelbagai pengiktirafan dari dalam dan luar negara, termasuklah anugerah tertinggi negara India iaitu Padma Shri dalam mengiktiraf sumbangannya pada INA.

Janaky Athi Nahappan meninggal dunia pada 9 Mei 2014 akibat pneumonia.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-60. Negaraku Sehati Sejiwa.

Marilah bersama-sama kita menghargai dan juga mengenangkan jasa-jasa pejuang tokoh-tokoh kemerdekaan negara kita bersempena dengan Hari Kemerdekaan ini. Selamat Hari Merdeka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!