in

Kenduri Kahwin Tanggungjawab Siapa, Keluarga Lelaki atau Perempuan?

siapa bertanggungjawab buat majlis kahwin

Majlis perkahwinan pasti akan lebih meriah jika dihadiri sanak saudara dan rakan taulan. Lebih seronok lagi jika majlis itu dibuat secara besar-besaran di rumah keluarga sendiri atau di kampung tempat kelahiran tetapi kos perbelanjaan itu haruslah mengikut kemampuan tetapi kenduri kahwin tanggungjawab siapa?

Memang telah menjadi adat orang kita kenduri kahwin atau walimatul urus perlu dibuat di rumah pengantin perempuan manakala majlis kahwin pengantin lelaki pula akan dibuat pada keesokannya atau pun seminggu selepas itu mengikut keselesaan pasangan dan keluarga masing-masing.

Sejak dulu lagi majlis kenduri akan diadakan sebelah perempuan terlebih dahulu serta kos perbelanjaan juga biasanya ditanggung oleh keluarga pihak perempuan atau akan diambil menerusi duit hantaran dari pihak pengantin lelaki untuk digunakan untuk kenduri secara keseluruhannya.

walimatul urus mengikut syariat islam
Zaman sekarang majlis kahwin lebih banyak dibuat oleh pihak pengantin perempuan.

Walau bagaimanapun, adat kenduri kahwin seperti ini menjadi tanda tanya seorang individu yang ingin tahu tentang adakah majlis walimah atau majlis kenduri kahwin tanggungjawab siapa, adakah ia merupakan tanggungjawab suami atau keluarga pengantin perempuan?

Berikutnya adalah pandangan dari Mufti Wilayah Persekutuan, Sohibus Sahamah Seri Dr Haji Zulkifli Bin Haji Mohamad Al Bakri untuk menjawab pertanyaan tersebut. Melalui perkongsian ini, kita akan lebih memahami siapa yang bertanggungjawab dan perlu keluarkan belanja untuk majlis kenduri di sebelah keluarga perempuan.

Majlis Kenduri Kahwin Tanggungjawab Siapa

Jawapan:

Wa’alaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Menurut kitab Al-Feqh al-Manhaji, Al-Walimah diambil dari perkataan الولْم yang membawa erti berhimpun atau berkumpul. Dinamakan dengan yang demikian itu kerana kedua pasangan suami isteri berkumpul padanya (majlis perkahwinan).

Kemudian disebutkan, al walimah merupakan makanan perkahwinan, atau kesemua makanan yang dibuat untuk dijemput (orang ramai) dan selainnya. Rujuk Al-Feqh al-Manhaji (2/92).

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A bahawa Abd al-Rahman bin ‘Auf telah berkahwin. Lalu Rasulullah S.A.W bersabda kepadanya:

‏ أَوْلِمْ وَلَوْ بِشَاةٍ

Maksudnya: Hendaklah kamu melakukan majlis perkahwinan sekalipun dengan seekor kambing.

Riwayat Muslim (1427)

Secara zahir dari hadis di atas, mengadakan walimah atau majlis perkahwinan adalah dituntut selepas perkahwinan dilangsungkan. Meskipun begitu, para ulama berbeza pendapat kepada implikasi tuntutan tersebut, sama ada ia membawa kepada hukum wajibnya majlis walimah ataupun hukumnya adalah sunat sahaja.

Pendapat pertama menyatakan bahawa hukum walimah adalah wajib. Mereka yang berpegang dengan pendapat ini menyatakan hujahnya berdasarkan zahir arahan “Lakukanlah walimah’’. Kaedah menyebut: ‘’Kata perintah membawa hukum wajib’’.

Tambahan pula, hukum menghadiri jemputan walimah adalah wajib sekiranya tiada keuzuran. Justeru, menjalankan majlis walimah itu sudah tentu turut diwajibkan.

Manakala pendapat yang kedua merupakan pandangan para fuqaha’ iaitu hukum mengadakan walimah adalah sunat muakkad. Oleh kerana itu, Imam Abu Dawud dalam menukilkan hadis-hadis walimah ini beliau letakkan di bawah tajuk:

باب فِي اسْتِحْبَابِ الْوَلِيمَةِ عِنْدَ النِّكَاحِ

Iaitu ‘Bab Pada Menyatakan Sunatnya Walimah ketika Perkahwinan’’.

Demikian juga dalam kitab Al-Feqh al-Manhaji menyebut: ‘Hukum walimah adalah sunat muakkad’’.

Mereka juga berpendapat bahawa majlis perkahwinan ini adalah sama sahaja dengan majlis-majlis jamuan yang lain dari sudut hukum asal mengadakan majlis jamuan makan adalah sunat sahaja.

Demikian juga pada pandangan mereka, tidak tepat untuk dikatakan bahawa hukum mengadakan walimah adalah wajib disebabkan hukum menghadiri walimah adalah wajib. Ini kerana, dalam isu memberi salam ia juga dituntut dalam agama. Namun, memberi salam hukumnya sunat dan ini berbeza dengan hukum menjawab salam iaitu wajib.

Majlis Perkahwinan Tanggungjawab Siapa?

kenduri kahwin tanggung jawab siapa
Majlis perkahwinan seperti satu kemestian bagi pasangan yang akan berkahwin.

Berkenaan isu siapakah yang bertanggungjawab melaksanakan majlis perkahwinan, terdapat dua pandangan utama dalam kalangan masyarakat pada hari ini. Sebahagian berpendapat bahawa majlis perkahwinan merupakan tanggungjawab suami iaitu pengantin lelaki. Manakala sebahagian lagi menyatakan bahawa urusan majlis perkahwinan adalah merupakan tanggungjawab keluarga mertua.

Syeikh Muhammad bin Ahmad al-Syathiri menimbulkan persoalan sama ada walimah disunatkan kepada suami atau isteri. Lalu beliau menyatakan: ‘’Para ulama berpendapat bahawa walimah disunatkan kepada suami (pengantin lelaki). Melainkan sebahagian ulama berpendapat bahawa ia disunatkan dengan seruan yang umum (iaitu tanpa dikhususkan kepada sesiapa), bagi tujuan menzahirkan kegembiraan dan keseronokan.

Beliau turut menukilkan pendapat dari Syeikh Daud al-Zahiri yang menyatakan bahawa walimah itu wajib ke atas suami. Berdasarkan perintah Nabi S.A.W kepada Abdul Rahman bin ‘Auf.

Manakala para ulama Syafi’eyyah meletakkan arahan tersebut kepada hukum sunat (iaitu sunat bagi suami melakukan walimah). Rujuk Syarah Yaqut al-Nafis, Muhammad bin Ahmad al-Syathiri (Hlm. 597).

Pandangan yang menyatakan tanggungjawab mendirikan majlis walimah terletak pada bahu pengantin lelaki berhujahkan kepada hadis arahan Nabi S.A.W kepada Abd al-Rahman bin ‘Auf di atas. Ini kerana, baginda S.A.W menyatakan kepada beliau أولم (lakukanlah walimah). Namun dalam masa yang sama, baginda tidak menyatakan kepada pihak mertua Abd al-Rahman bin ‘Auf أولموا (lakukanlah kamu semua majlis perkahwinan). Justeru, majlis walimah itu disyariatkan kepada hak pengantin lelaki.

Selain itu, kenikmatan (perkahwinan) pada hak seorang suami adalah lebih besar berbanding kenikmatannya pada hak seorang isteri. Demikian juga menjadi kebiasaan bahawa orang lelaki yang melamar dan meminta seorang perempuan untuk menjadi isterinya, serta sangat jarang berlaku orang perempuan yang meminta orang lelaki mengahwininya.

Tambahan pula, pernikahan adalah suatu kenikmatan bagi pengantin lelaki dan antara cara menzahirkan syukur adalah dengan melakukan amal soleh. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T

اعْمَلُوا آلَ دَاوُودَ شُكْرًا

Maksudnya: Beramallah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur.

Surah Saba’ (13)

Justeru, antara amalan yang dilakukan untuk menzahirkan kesyukuran dari perkahwinan adalah dengan melangsungkan majlis walimah itu sendiri.

Manakala berkaitan isu majlis walimah yang dilakukan oleh pihak mertua iaitu bapa pengantin perempuan sebagai contohnya, maka kata al-Syeikh Muhammad bin Ahmad bin Umar al-Syathiri: ‘’Sekiranya majlis walimah dilakukan oleh selain suami dan wali, seperti bapa kepada isteri (pengantin perempuan), atau walimah dilakukan oleh pengantin perempuan sendiri, maka telah ditunaikan sunnah bagi pihak dirinya (pengantin lelaki). Rujuk Syarah Yaqut al-Nafis (Hlm. 598).

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa hukum asal bagi mengadakan walimah adalah sunat muakkad. Ia disunatkan kepada pengantin lelaki iaitu suami untuk melakukannya. Meskipun begitu, sekiranya pihak pengantin perempuan atau pengantin perempuan sendiri menjalankan majlis walimah, maka telah terlaksanalah hukum sunat bagi pihak pengantin lelaki.

Berkenaan budaya dalam kalangan masyarakat di negara kita untuk melakukan majlis perkahwinan sebanyak dua kali iaitu sekali di rumah pengantin perempuan dan juga majlis di rumah pengantin lelaki. Maka kami menyatakan bahawa secara asalnya hukumnya adalah harus selama tidak berlaku israf dan pembaziran. Hal ini kembali kepada apa yang disebutkan oleh sebuah kaedah yang masyhur:

العادة محكَّمة

Maksudnya: Adat itu menjadi penentu hukum.

Ini bermakna, adat itu boleh menjadi penentu atau pemutus hukum dalam permasalahan-permasalahan yang berlaku. Yang mana permasalahan tersebut tidak terdapat padanya dalil-dalil yang jelas dalam menjelaskan hukumnya.

Kami turut menyatakan, hendaklah majlis perkahwinan itu dilakukan secara sederhana mengikut kemampuan dirinya sendiri (pengantin lelaki) tanpa perlu israf dan juga membazir. Inilah hikmah dari arahan Nabi S.A.W kepada Abd al-Rahman bin ‘Auf di atas bahawa biarlah diadakan walimah, sekalipun dengan seekor kambing.

Begitu juga kami nasihatkan kepada ibubapa kepada bakal-bakal pengantin supaya sentiasalah mempermudahkan urusan anak-anak dalam mengadakan majlis perkahwinan supaya mereka dapat melayari bahtera perkahwinan dengan sebaiknya.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen. – Mufti WP.

Sekarang terjawab sudah kemusykilan dan persoalan berkaitan dengan walimatul urus atau majlis kenduri kahwin tanggungjawab siapa atau mereka yang tertanya-tanya antara keluarga sebelah pengantin perempuan atau pengantin lelaki yang sepatutnya menguruskan kenduri. Semoga bermanfaat.

Written by Sazarimma

Seorang yang suka mempelajari sesuatu yang baru dan gemar melakukan aktiviti lasak. Seorang penjawat awam yang amat optimis, kemahiran berkomunikasi dengan sesiapa sahaja dan suka membaca.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

Comments