in

Kepala Anak Berdarah Akibat Terjatuh Terkena Bucu Besi Kerusi Kereta (Semua Ibu Bapa Harus Ambil Langkah Berjaga-jaga)

Anak cedera darah di kepala

Ibu mana yang tidak terkejut apabila melihat anak kecilnya berlumuran darah selepas didapati terjatuh dipercayai terkena pada bucu besi yang terdapat di bahagian bawah tempat duduk kereta. Walau bagaimanapun, tiada sebarang penjelasan tepat tentang bagaimana insiden tersebut berlaku. Tetapi, Puan Nadila Mohamad hanya menyedari tentang itu setelah memeluk anak perempuannya yang ketika itu basah akibat pendarahan.

Mangsa bernasib baik apabila segera dihantarkan ke hospital unuk mendapatkan rawatan kecemasan berdasarkan kecederaan yang dialaminya itu. Melalui gambar yang telah dikongsikan itu, mangsa mempunyai dua kesan cedera iaitu luka di kepalanya. Melalui imbasan x-ray telah menunjukkan mangsa tidak mempunyai sebarang kecederaan dalam di kepala dan telah dirawat sebagai pesakit luar.

Berikutan kejadian yang telah berlaku kepada anaknya, Puan Nadila Mohamad memohon orang ramai terutamanya ibu bapa yang mempunyai anak kecil supaya sentiasa berhati-hati dan memberi perhatian sepenuhnya terhadap anak mereka supaya kejadian yang sama tidak berulang lagi. Menurutnya, anda harus memeriksa bahagian bucu yang terdapat di bawah kerusi tempat duduk dalam kereta dan sila menutupnya sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan anak kita.

Tragedi Malam 23 Mac 2018

Dulu Farrel yang kena besi ini tetapi syukur Alhamdulillah Farrel tak ada sampai jadi begini. Cuma benjol dan luka biasa sahaja. Mungkin kepala dia lebih kebal dari Deqna.

Sekarang Deqna pula yang kena, cuma itulah tak sangka. Ingatkan tak ada apa-apa selepas angkat dan peluk dia. Masa itu tak tahu pula dia jatuh kena besi ini. Selepas peluk, tiba-tiba tangan rasa basah, ingatkan air mata dia. Dalam samar-samar lampu jalan, ternampak warna merah. Jantung ini seperti terkena renjatan. Cepat-cepat buka lampu kereta.

anak cedera
Banyak darah yang terkena pada tudung akibat kepala anaknya cedera.

Apa lagi, Allah saya yang tahu betapa paniknya saya pada masa itu. Yelah, tak pernah jadi begini pada anak-anak. Ini pertama kali darah lencun begini sampai habis tudung, baju dan kedua belah tapak tangan dengan darah Deqna.

berlumuran darah
Begitu banyak darah yang membasahi tangan ibu yang terkejut dengan insiden itu.

Bila buka lampu tempat duduk belakang, terkejut juga tengok darah yang terpercik dan besi seat belakang yang Nina kena itu. MasyaAllah, tajam Ya Allah. Masa ini memang tak berhenti saya menangis. Deqna dah berhenti menangis pun saya pun masih menangis sebab hati rasa terkilan. Kenapalah saya biarkan saja anak-anak bergurau dan bermain di belakang. Yelah, siapa sangka akan jadi begini.

Syukur masa ini kami berdekatan dengan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). Kami terus pergi ke Jabatan Kecemasan. Alhamdulillah memang pantas kakitangan HSNZ melakukan tugas mereka.

anak cedera
Keadaan kepala mangsa selepas mendapat rawatan di hospital.

Lebih kurang sejam, semuanya selesai dan Alhamdulillah syukur sangat selepas buat x-ray semua, saya sujud syukur bila doktor kata tiada kecederaan yang serius. Dan anak saya tidak perlu dimasukkan ke wad. Masa ini Allah saja yang tahu perasaan saya sebagai seorang ibu. Seolah-olah baru mendapat nyawa semula.

BACA : Tips Elak Anak Tertinggal Dalam Kereta & (Doktor Kongsi Cara Elak Letak Anak Di Kedudukan Blindspot Dalam Kereta)

Selepas ini saya perlu beringat, bahaya betul bahagian besi kerusi kereta ini. Lebih-lebih lagi saya yang ada anak-anak kecil ini. Benda ini nampak mudah tetapi sebenarnya berbahaya dalam tidak sedar. Sesiapa yang ada kereta Azla, berhati-hatilah terutamanya yang ada anak-anak kecil yang super duper hiperaktif seperti anak-anak saya ini.

Kalau tarik kerusi belakang sampai habis ke depan, pastikan tutup bahagian bucu besi di belakang kerusi itu. Elakkan kejadian seperti ini berulang. Malang tak berbau kan?

Untuk keselamatan anak
Bucu tajam yang terdapat pada kerusi kereta harus ditutup dengan sesuatu untuk keselamatan anak.

Terima kasih kepada semua yang mendoakan Deqna. Syukur Alhamdulillah Deqna sudah aktif seperti biasa. Tak nampak seperti orang sakit pun, sampai doktor sendiri kata Deqna ini memang hiperaktif dan tak mengerti lagi erti kesakitan. Kalau kita orang deasa, mahu dah pengsan.

Saya izinkan peringatan ini dikongsikan agar para pengguna kereta Perodua Alza seperti saya ini lebih peka tentang benda tajam ini terutamanya yang ada anak-anak kecil yang hiperaktif seperti anak saya. Sama-sama kita berkongsi benda yang sebenarnya orang ramai tak tahu seperti saya.

Semua ibu bapa harus mengambil berat tentang keselamatan anak-anak dan jadikan kejadian ini sebagai iktibar dan pengajaran. Adalah lebih baik menutup bucu besi tersebut dengan span atau sesuatu yang boleh menghalang anak dari mengalami kecederaan sebegini.

Ibu bapa juga boleh mendidik anak-anak agar sentiasa duduk di tempat khas untuk kanak-kanak (car seat) supaya kejadian yang sama tidak akan berlaku lagi di masa depan. Malang tidak berbau, sayangilah anak anda dan sediakan payung sebelum hujan.

Written by Sazarimma

Seorang yang suka mempelajari sesuatu yang baru dan gemar melakukan aktiviti lasak. Seorang penjawat awam yang amat optimis, kemahiran berkomunikasi dengan sesiapa sahaja dan suka membaca.