in

“Kami Datang Dari Jauh Naik Bas, Tapi Tiada Siapa Yang Sudi Tolong” – Kisah Sedih Warga Emas Jamin Anak Kes Dadah Di Mahkamah

Kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya sememangnya tidak dapat digambarkan bagaimana besarnya rasa kasih mereka dan sanggup melakukan apa sahaja demi anak yang disayangi. Sejahat manapun si anak itu, seorang ibu atau ayah masih dapat menerima anak mereka kerana itulah zuriat mereka yang dibelai sejak kecil lagi.

Tetapi, si anak seolah tidak mengerti dan langsung tidak menghargai akan kasih sayang orang tuanya apabila sering lakukan kesalahan yang sama berulang kali sehingga menyusahkan ibu bapanya.

Melalui satu perkongsian di media sosial yang ditulis oleh Alhadi Runner menceritakan dia telah bertemu dengan pasangan warga emas di sebuah mahkamah dengan masalah yang berat berkaitan dengan anak mereka.

“Seawal pagi ambe (saya) dah terpacak depan Kompleks Mahkamah Tinggi untuk selesaikan beberapa urusan. Dari awal ambe nampak sepasang orang tua macam tak tahu arah nak tuju.

Disebabkan ambe nak cepat, ambe biarkan saja. Sampai pukul 9.30 pagi urusan dah selesai terus ambe keluar dari Kompleks Mahkamah ke tempat parking.”

Walau bagaimanapun, Hadi langsung tidak menyangkan yang dia akan berjumpa lagi dengan pasangan berkenaan selepas satu jam menyelesaikan urusannya di situ.

“Rupanya dah sejam lebih masih ada pasangan tua tu duduk dekat luar dengan muka sedih. Ambe senyum je sambil sarung helmet. Tetiba dia panggil.”

Pasangan tersebut turut memaklumkan masalah mereka serta turut meminta tolong daripada Hadi supaya mengisi satu borang jaminan kerana mereka berdua dikatakan tidak pandai menulis.

Lebih mengharukan mereka berdua datang daripada jauh dengan menaiki bas semata-mata untuk urusan tersebut, tetapi tiada seorang pun yang prihatin untuk membantu mereka.

“Kasihan pulak tengok keadaan dia sebab datang dari jauh naik bas tapi tak ada siapa pun nak tolong. Dah beberapa orang pasangan ini minta tolong tuliskan tapi tak ada siapa yang sudi melayan termasuk pengawal keselamatan yang bertugas dan staf mahkamah.”

Oleh disebabkan dia harus mengisi borang jaminan berkenaan, terpaksalah Hadi mengambil tahu sedikit sebanyak tentang masalah pasangan terbabit dengan tertuduh yang ingin diikat jamin itu.

“Bermulalah kisah dia berkenaan anaknya yang terlibat kes dadah yang kali kelima kena tahan. Makcik ini kerja pembantu kedai makan saja, manakala pakcik itu pula umur sudah nak 60-an dan tidak larat nak bekerja.

“Kasihan, mana nak cekau duit jamin anak,” jelasnya.

Apa pun, pasangan warga emas ini dilihat sanggup menebalkan muka mereka demi untuk pembebasan anak mereka daripada penjara.

“Buruk-buruk anaknya pun walau tak berharta sanggup dia tebalkan muka usaha dapatkan sejumlah wang jaminan untuk anaknya. Bukan kecil nilai tu. Ribu-riban sebab kes sama dah berkali ulang.

“Sayang betul anak muda baru umur 24 tahun sudah beberapa kali keluar masuk kes dadah. Orang tua ini cakap dari kecil dia beri semua yang dia ada supaya anaknya cerdik pandai. Tak nak jadi seperti dia tak bersekolah.

“Tapi bila dah besar jadi pandai menipu. Habis semua barang kemas makcik ini bergadai untuk urus kes dia. Hutang dengan orang sekeliling jangan cakaplah,” tulis Hadi.

Perkongsian Hadi berkaitan dengan pasangan warga emas tersebut telah menarik perhatian ramai sehingga turut mendapat pujian ramai netizen yang rata-rata di antara mereka begitu berbangga dengan tindakan Hadi yang menjalankan tugasnya sebagai seorang rakyat Malaysia.

Ibu bapa kita hanya ada satu, sayangilah mereka seadanya. Hargailah segala pengorbanan mereka kerana kasih sayang mereka tidak ternilai dengan wang ringgit. Tanpa mereka kita tiada di sini.

Written by Sazarimma

Seorang penjawat awam yang ada life insurance, suka travel dengan Air Asia, ada sikit simpanan dalam bank dan suka tengok wayang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0