in ,

13 Fakta Kisah Umat Nabi Luth A.S. Yang Biasanya Tak Didedahkan Oleh Pendukung LGBT

pengajaran kisah kaum nabi luth

13 Fakta Berkenaan Kisah Umat Nabi Luth

Al-Qattan dalam kitab Mabahith fi ‘Ulum al-Qur’an menyatakan, di antara faedah kisah-kisah yang disebutkan oleh Allah SWT di dalam al-Qur’an yang merangkumi kisah para Nabi, adalah untuk :

A) Menerangkan asas-asas dakwah menuju Allah SWT dan perkara asas syariat yang dibawa oleh para Nabi.

B) Meneguhkan hati Rasulullah SAW dan hati umat Muhammad SAW di atas agama Allah SWT, mengukuhkan keyakinan orang beriman mengenai kemenangan para pendukung kebenaran dan kehancuran para pembela kebatilan.

C) Menarik perhatian para pendengar dan memantapkan pesanan yang terkandung di dalamnya ke dalam jiwa mereka.

kisah nabi luth dan lgbt

Solah al-Khalidi di dalam kitabnya al-Qasas al-Qur’aniyy ‘Ardu Waqa’i‘ wa Tahlil Ahdath menjelaskan bahawa kisah berkenaan Nabi Luth a.s. dan umatnya disebutkan oleh Allah SWT sebanyak 27 kali di dalam al-Qur’an. Ia merangkumi 3 keadaan iaitu :

i) Kisah secara terperinci mengenai Nabi Luth a.s. bersama umatnya yang mengisahkan penyelewengan akhlak mereka, dakwah Nabi Luth kepada umatnya agar dibersihkan perlakuan mereka yang salah, penolakan dakwah oleh umatnya serta menerangkan azab dan seksa ke atas umatnya.

ii) Kisah yang disebutkan secara sepintas lalu mengenai Nabi Luth a.s.

iii) Ayat yang menyatakan nama Nabi Luth a.s. sebagai sebahagian dari nama para Nabi

Solah al-Khalidi menjelaskan sekurang-kurangnya 13 fakta penting menurut al-Qur’an dan al-Hadith berhubung kisah Nabi Luth a.s. dan umatnya. Di antaranya ialah :

1) Nabi Luth a.s. adalah di antara kalangan para Nabi yang diutuskan oleh Allah SWT Di dalam al-Qur’an, Allah SWT menjelaskan bahawa Nabi Luth a.s. beriman kepada Nabi Ibrahim a.s. sewaktu Baginda menyampaikan dakwah di negerinya iaitu Iraq.

Beliau juga menjelaskan Nabi Luth a.s. berhijrah bersama Nabi Ibrahim a.s. dari Iraq ke Palestin berdasarkan ayat 26, Surah al-Ankabut dan ayat 71, Surah al-Anbiya’, sebelum diutuskan kepada suatu kaum yang tinggal di sebuah perkampungan di utara Palestin.

ringkasan kisah kaum nabi luth

2) Solah al-Khalidi menegaskan bahawa tidak wujud dalam sebarang hadith sahih mengenai dari mana asalnya umat Nabi Luth a.s., nama mereka serta nama daerah atau kawasan yang mereka diami. Ini kerana sebarang riwayat Israiliyyat yang tercatat di dalam kitab sejarah umat terdahulu, tidak boleh diyakini sepenuhnya.

Apa yang jelas diungkapkan oleh al-Qur’an, bahawa umat Nabi Luth a.s. melakukan banyak perlakuan keji dan di antaranya perlakuan homoseksual ataupun liwat iaitu mereka mendatangi golongan lelaki yang sama jenis dengan mereka dan ia tidak pernah dilakukan oleh mana-mana umat terdahulu sebelum mereka.

3) Selanjutnya, Solah al-Khalidi menjelaskan hikmah Nabi Luth a.s. yang diutuskan untuk mencegah perlakuan keji di kalangan umatnya, berbanding para Rasul yang lain yang diutus kepada umat mereka dengan ajakan untuk beriman kepada Allah SWT.

Di antara hikmahnya ialah, umat para Rasul yang lain melakukan penyelewengan dari sudut aqidah dengan menyembah berhala, sedangkan umat Nabi Luth a.s. melakukan penyelewengan akhlak dengan perlakuan homoseksual yang keji itu.

Beliau menegaskan, bagaimana suatu umat yang telah sebati dengan perlakuan keji tersebut boleh beriman kepada Allah SWT jika tidak diseru kepada mereka peringatan supaya meninggalkan terlebih dahulu perlakuan keji itu?

Justeru, dakwah Nabi Luth a.s. yang lebih utama dalam berhadapan umatnya adalah membersihkan jasmani dan keinginan mereka daripada perlakuan seks songsang. Ini kerana, seruan untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT seakan-akan tidak bermanfaat kepada kelompok manusia yang telah sebati dengan perlakuan seks songsang tersebut.

4) Tidak diketahui secara tepat bilakah perlakuan homoseksual yang dilakukan oleh umat Nabi Lut a.s. itu bermula. Bahkan, Solah al-Khalidi menegaskan tidak dijelaskan dalm al-Qur’an siapakah orang yang pertama melakukan perlakuan homoseksual itu di kalangan Nabi Luth a.s., bagaimana keadaan orang yang melakukan perlakuan homoseksual itu dan bagaimana pula keadaan orang yang diperlakukan.

Justeru, peringatan Allah SWT yang menzahirkan perlakuan keji umat Nabi Luth a.s. di dalam al-Qur’an sudah memadai untuk menjadi peringatan kepada umat kemudian, tanpa perlu merujuk kepada riwayat Israiliyyat yang dinukilkan secara terperinci tanpa dapat dipastikan kebenarannya.

suka sesama jantina

Apa yang penting, penyelewengan s.eks tersebut bermula secara terpencil di kalangan umat Nabi Luth a.s. , sebelum ia merebak di kalangan mereka serta dilakukan secara terbuka di tempat pertemuan mereka.

Tegas Solah al-Khalidi lagi, umat Nabi Lut a.s. menzahirkan perlakuan homoseksual tersebut tanpa ada rasa malu dan ia merupakan bukti bahawa perlakuan keji tersebut berleluasa di kalangan umat Nabi Luth a.s. dan hanya sedikit dari kalangan mereka yang tidak terlibat.

5) Perlakuan homoseksual oleh umat Nabi Luth a.s. secara jelas menyalahi fitrah manusia. Ini kerana, Allah SWT telah menjadikan golongan perempuan sebagai pasangan yang lengkap bagi seorang lelaki kerana ia memenuhi tuntutan dari sudut perasaan seperti kasih sayang dan kebahagiaan serta jasmani yang sihat.

Justeru, bagaimana seorang lelaki yang normal dan waras sanggup membenarkan dirinya melakukan persetubuhan melalui dubur atau disetubuhi oleh lelaki lain? Ternyata, mereka yang terlibat dengan perlakuan homoseksual atau liwat ini mengalami penyakit jiwa dan perasaan kerana sanggup melakukan sesuatu di luar fitrah.

6) Nabi Luth a.s. dilihat secara tegas menegah perlakuan homoseksual yang dilakukan oleh umatnya. Ini kerana, Solah al-Khalidi menyatakan Nabi Lut a.s. berpandangan bagaimana umatnya sanggup menjadikan lelaki yang sama jenis dengan mereka menjadi tempat untuk memuaskan nafsu syahwat mereka? Mengapa umatnya tidak memadai dengan perempuan sebagai pasangan hidup mereka yang halal?

cerita teladan zaman rasul

Mengapa pula umatnya sanggup menggantikan peranan perempuan dengan lelaki yang bersifat keperempuanan atau mukhannath di kalangan mereka? Ia semua berlaku disebabkan umat Baginda melampaui batas dengan mengikut kehendak syahwat songsang mereka dan mengutamakan perkara yang haram berbanding apa yang dihalalkan untuk mereka.

Perkataan al-Zukran dalam ayat 165, Surah al-Syu’ara’ menggambarkan kehendak mereka yang melampau sehingga tidak ada lagi yang dikehendaki untuk memuaskan nafsu syahwat mereka, melainkan golongan lelaki yang sama jenis dengan mereka.

7) Umat Nabi Luth a.s. didapati memperolok-olokkan Nabi Lut a.s. dengan menyatakan kepada Baginda, seandainya Baginda berkata benar iaitu dalam mencegah perlakuan homoseksual yang dilakukan oleh mereka, maka mohonlah kepada Allah SWT supaya ditimpakan azab ke atas mereka.

Mereka juga didapati mengancam untuk mengusir Nabi Luth a.s. dan golongan yang beriman yang merupakan pengikut Nabi Lut a.s., sekiranya Baginda terus-menerus mencegah perlakuan homoseksual yang dilakukan oleh mereka. Ini kerana umat Nabi Luth a.s. merasakan Baginda adalah orang luar yang datang ke tempat mereka dan tiada hak untuk menegah apa yang mereka lakukan dari perlakuan homoseksual tersebut.

Walau bagaimanapun Nabi Luth a.s. tetap istiqamah dalam mencegah perlakuan keji yang dilakukan oleh umatnya. Solah al-Khalidi menegaskan, Nabi Luth a.s. dan pengikutnya yang beriman dimuliakan oleh Allah SWT daripada melakukan perlakuan homoseksual yang menjadi amalan umat Baginda.

Ia dapat dilihat dalam suasana masa kini, di mana golongan yang melakukan kemungkaran merasakan golongan yang mencegah kemungkaran mereka perlu diusir dari kalangan mereka kerana tidak melakukan kemungkaran yang dilakukan oleh mereka.

8) Nabi Luth a.s. dibantu oleh Allah SWT sejajar dengan permohonan Baginda yang mengharapkan bantuan Allah SWT dalam berhadapan umatnya yang berterusan dalam melakukan penyelewengan seks.

Justeru, jelas Solah al-Khalidi, berdasarkan sunnatullah setelah Nabi Luth a.s. menyampaikan dakwah kepada umat Baginda dan tidak mampu untuk mengubah kehendak umatnya yang telah sebati dengan perlakuan homoseksual, maka Allah SWT telah menimpakan azab dan kemusnahan kepada umat Baginda yang jelas kufur kepada Allah SWT. Manakala, pada waktu yang sama Allah SWT menyelamatkan Nabi Lut a.s. dan pengikut Baginda yang beriman.

padang pasir

Solah al-Khalidi menyatakan lagi, sebelum azab ditimpakan kepada Nabi Luth a.s., Allah SWT telah memerintahkan kepada para malaikat untuk bertemu dengan Nabi Ibrahim a.s. untuk membawa dua berita iaitu berita Nabi Ibrahim a.s. akan dikurniakan seorang anak yang bernama Ishak dan berita mengenai umat Nabi Lut a.s. yang akan dimusnahkan.

Pada ketika itu, Nabi Ibrahim a.s. bimbang tentang nasib Nabi Luth a.s. yang berada di kalangan umatnya yang akan dimusnahkan. Walau bagaimanapun, para malaikat menenangkan Nabi Allah SWT Ibrahim a.s. berdasarkan ayat 32, Surah al-‘Ankabut bahawa Nabi Lut a.s. dan pengikutnya yang beriman akan diselamatkan, kecuali isteri baginda kerana dia termasuk di kalangan umat Nabi Luth a.s. yang dibinasakan oleh Allah SWT.

9) Nabi Luth a.s. sedaya upaya mempertahankan tetamu Baginda iaitu para malaikat yang dijelmakan sebagai pemuda berwajah tampan oleh Allah SWT. Beliau sangat bimbang mengenai keselamatan para tetamunya, lantaran mengenangkan perlakuan keji yang dilakukan oleh umat Baginda iaitu mendatangi golongan lelaki yang sama jenis dengan mereka.

Ternyata, kebimbangan Nabi Luth a.s. Berasas apabila umat Baginda memaksa supaya menyerahkan tetamu Baginda kepada mereka. Jelas Solah al-Khalidi, Nabi Luth a.s. menegaskan kepada umat Baginda, apakah tidak ada di kalangan mereka seorang lelaki yang waras akalnya yang boleh menasihatkan mereka, agar menyedari bahawa perlakuan homoseksual itu sememangnya perlakuan yang keji? Apatah lagi, mereka ingin melakukan perbuatan terkutuk itu bersama tetamu Baginda.

Mereka dibayangkan seolah-olah hilang akal dan mendesak Nabi Luth a.s. menyerahkan tetamu Baginda kepada mereka. Perbuatan Nabi Luth a.s. yang mempertahankan tetamu daripada diperlakukan dengan perlakuan yang keji termasuk di antara adab Islam supaya memuliakan tetamu.

Walau bagaimanapun, ternyata tidak terdapat seorang pun di kalangan umat Nabi Luth a.s. yang berfikiran waras supaya mengingatkan mereka agar tidak meneruskan kehendak mereka yang semakin menggila untuk melakukan perlakuan homoseksual bersama tetamu Nabi Luth a.s.

10) Selanjutnya, Solah al-Khalidi menjelaskan bahawa dalam usaha untuk menyelamatkan tetamu Baginda daripada diapa-apakan, maka Baginda telah menawarkan kepada umat Baginda anak anak perempuan Baginda.

Tegas beliau lagi, tidak perlu kita mendapatkan sumber daripada Israiliyyat tentang siapakah anak perempuan Baginda dan meninggalkan perselisihan di kalangan para ahli sejarah dan mufassirin. Apa yang lebih utama adalah berpandukan kepada apa yang telah termaktub di dalam al-Qu’ran.

Anak-anak perempuan Nabi Luth a.s.digambarkan sebagai perempuan yang suci serta lebih utama untuk dipergauli dalam memenuhi kehendak syahwat mereka mengikut cara yang dibenarkan. Solah al-Khalidi menyatakan lagi, pandangan yang lebih tepat mengenai anak-anak perempuan Nabi Luth a.s. adalah merujuk kepada anak-anak perempuan di perkampungan umat Baginda.

Ini kerana, Nabi Luth adalah Rasul dan Nabi di perkampungan Baginda. Dan Baginda merupakan orang tua serta pemimpin di kalangan umat Baginda. Justeru, Baginda diibaratkan sebagai bapa kepada golongan perempuan di perkampungan Baginda berdasarkan pengertian maknawi.

zaman dulu

11) Seterusnya, Nabi Luth a.s. menyeru umat Baginda agar memilih jantina yang berlawanan iaitu golongan perempuan dan meninggalkan perlakuan homoseksual yang keji itu. Walau bagaimanapun, permintaan Baginda tidak diendahkan oleh umat Baginda, bahkan mereka menegaskan bahawa Nabi Luth a.s. sepatutnya jelas tentang kehendak syahwat mereka yang hanya ingin mendatangi golongan lelaki sama jenis dengan mereka dan mereka tidak sekali-kali menginginkan golongan perempuan di perkampungan mereka.

Pada ketika ini, Nabi Luth a.s. menyatakan munajatnya berdasarkan ayat 80, Surah Hud bahawa alangkah baiknya sekiranya Baginda mempunyai kekuatan atau berlindung dengan perlindungan yang lebih kuat dalam usaha menyelamatkan tetamu Baginda daripada diapa-apakan.

Ini kerana, Baginda digambarkan sebagai orang luar dari kalangan umat Baginda, dan tidak mempunyai sanak saudara di kalangan mereka untuk membantunya bagi menyelamatkan tetamu Baginda. Justeru, Baginda meyakini tidak ada perlindungan yang lebih baik melainkan perlindungan Allah SWT.

12) Nabi Luth a.s. pada asalnya tidak mengenali tetamu Baginda sebagai malaikat yang diutuskan oleh Allah SWT untuk menghancurkan umat Baginda. Di antara hikmahnya ialah, supaya malaikat tersebut menyaksikan dengan jelas penyelewengan seks yang berlaku di kalangan umat Nabi Luth a.s.

Justeru, ia menjadi hujah yang kuat bagi Allah SWT mengazab mereka disebabkan perlakuan homoseksual yang ingin dilakukan oleh mereka bersama tetamu Baginda yang sebenarnya adalah malaikat.

kemurkaan Allah

Solah al-Khalidi menjelaskan lagi, para malaikat tersebut kemudiannya memberitahu Nabi Luth a.s.supaya bersegera keluar dari perkampungan Baginda beserta pengikut Baginda yang beriman sebelum waktu Subuh keesokan harinya.

Ia bertujuan menyelamatkan Baginda dan pengikutnya daripada ditimpa azab Allah SWT yang sangat dahsyat yang akan ditimpakan kepada umat Baginda pada waktu Subuh. Ternyata, kesemua umat Nabi Luth a.s. dibinasakan oleh Allah SWT yang masih tinggal di perkampungan tersebut tanpa ada seorang pun daripada mereka yang terselamat.

13) Isteri Nabi Luth a.s. diberitakan di dalam al-Qur’an sebagai di antara mereka yang dibinasakan bersama umat Nabi Luth a.s. Ini kerana tegas Solah al-Khalidi, isteri Baginda memilih untuk kufur kepada Allah SWT, tidak menyerap di dalam jiwanya keimanan yang ada pada suaminya iaitu Nabi Lut a.s., sebaliknya isteri Nabi Luth a.s.

Memilih untuk teguh di atas agama umat Nabi Luth a.s. yang kufur kepada Allah SWT dan melakukan penyelewengan seks. Ia dinyatakan dengan jelas oleh Allah SWT pada ayat 10, Surah al-Tahrim. Meskipun isteri Nabi Luth a.s. di bawah pengawasan Baginda, namun dengan sifat khianat yang dilakukan oleh isteri Baginda, maka ia dimasukkan oleh Allah SWT ke dalam neraka.

Solah al-Khalidi menjelaskan bahawa, khianat yang dimaksudkan bukan bermaksud isteri Nabi Luth a.s. melakukan zina atau perlakuan keji sebagaimana umat Baginda, sebaliknya pengkhianatan dalam agama dengan menolak agama yang benar, memlih agama yang batil dan dia merupakan seorang yang kufur kepada Allah SWT.

Justeru, meskipun dia merupakan isteri kepada seorang Nabi, ia sedikit pun tidak memberikan manfaat kepadanya , menyelamatkannya daripada azab yang ditimpakan kepada umat Nabi Luth a.s. serta Baginda tidak berupaya untuk menghalang isteri Baginda daripada dimasukkan ke dalam neraka pada hari akhirat kelak.

Kesimpulannya, ini adalah 13 fakta berkenaan kisah umat Nabi Luth a.s. yang biasanya tidak didedahkan oleh pendokong LGBT. Moga Allah merahmati kita semua. Sumber: Dr Izwan Yusof via Ismaweb & Daily Mail

Written by Sazarimma

Seorang yang suka mempelajari sesuatu yang baru dan gemar melakukan aktiviti lasak. Seorang penjawat awam yang amat optimis, kemahiran berkomunikasi dengan sesiapa sahaja dan suka membaca.

One Ping

  1. Pingback:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

Comments