in ,

Kos Perbelanjaan Besarkan Anak Hingga Dewasa di Malaysia RM300 Ribu

kosperbelanjaan besarkan anak

Zaman sekarang kos sara hidup atau kos perbelanjaan besarkan anak semakin meningkat dari sehari ke sehari seiring dengan kemajuan dan teknologi. Bagi ibu bapa yang mempunyai anak sememangnya bukan mudah untuk membesarkan anak apatah lagi jika keluarga besar dengan mempunyai anak yang ramai. Sedikit sebanyak pasti para ibu bapa akan merasa tertekan dek kerana perbelanjaan semakin tinggi.

Perkara ini akan lebih terasa jika hanya bapa saja yang berkerja malahan ada ibu juga terpaksa mencari pendapatan sampingan demi kerana untuk membesarkan anak-anak mereka. Jika dihitung pastinya tidak terkira kos perbelanjaan besarkan anak yang diperlukan untuk menampung kehidupan sekeluarga.

Menurut kajian yang telah dilakukan mendapati kos untuk membesarkan anak adalah sangat besar bermula dari saat hamilnya si bu sehinggalah usia anak mereka mencecah hingga ke 23 tahun dengan perbelanjaan hampir RM300 ribu. Banyak bukan? Tetapi itulah pengorbanan ibu dan bapa membesarkan anak tanpa mengira kos perbelanjaan yang telah digunakan.

Mungkin tiada sesiapa yang menyangka kos perbelanjaan besarkan anak tersebut mencecah sehingga ratusan ribu dan mungkin juga ada yang tertanya mengapa nilai tersebut sangat besar seolah tak masuk dek akal. Ikuti perkongsian dari Muhammad Wa’iz dari Hello Doktor yang menerangkan betapa besarnya kos membesarkan anak-anak di Malaysia.

Kos Perbelanjaan Besarkan Anak di Malaysia

infografik perbelanjaan anak sekolah

Jika anda melihat kepada infografik di atas, kami telah memberikan anggaran jumlah terendah keseluruhan kos yang diperlukan untuk anda membesarkan seorang anak. Kami memberikan dua pilihan anggaran kos, sama ada anda memilih untuk menggunakan kemudahan kerajaan yang bersubsidi atau memilih menggunakan perkhidmatan swasta.

Kehamilan dan Keperluan Bayi

Kos kehamilan yang diperlukan antara kedua-dua fasiliti kerajaan dan swasta sememangnya mempunyai perbezaan yang agak besar. Jika anda mendaftarkan diri di klinik atau hospital kerajaan, anda hanya memerlukan kos sekitar RM200 hingga RM300 sahaja termasuklah caj wad harian. Manakala bagi hospital atau pusat perubatan swasta, anda boleh mendapatkan perkhidmatan serendah RM4,000 sehingga RM20,000 bergantung kepada jenis hospital dan pilihan pakej anda.

kos membesarkan seorang anak

Umum mengetahui, bermula 1 Januari 2020, kerajaan mewajibkan penggunaan kerusi bayi dalam kereta bagi meminimumkan kadar kecederaan dan kematian bayi dan kanak-kanak akibat impak kemalangan. Oleh itu, kami telah memasukkan harga kerusi bayi ini sebagai antara kos wajib yang perlu dibelanjakan oleh golongan ibu bapa atau penjaga untuk anak-anak mereka.

RM150 adalah anggaran terendah yang kami berikan kerana kami tidak mahu mencadangkan kerusi bayi yang lebih murah daripada harga tersebut. Soal keselamatan kanak-kanak adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi! Kerusi bayi yang terlalu murah belum tentu selamat digunakan.

Kos Persekolahan Kanak-kanak

Bagi ibu bapa yang memilih untuk menghantar anak mereka ke sekolah-sekolah milik kerajaan, yuran yang dikenakan untuk tempoh setahun pembelajaran boleh dikatakan agak rendah. Walau bagaimanapun, kos bagi mempersiapkan anak ke sekolah seperti alat tulis, buku-buku, uniform sekolah, dan belanja harian, perlu diambil kira.

Manakala bagi sekolah-sekolah milikan swasta sama ada sekolah rendah atau menengah, kos tahunan akan meningkat sekali ganda daripada kos keseluruhan tahunan sekolah kerajaan. Ini kerana, anda perlu membuat pembayaran kos operasi sekolah tersebut dan pelbagai jenis yuran-yuran lain yang tidak terdapat di sekolah kerajaan.

Pembiayaan Ke Peringkat Pendidikan Yang Lebih Tinggi

kos sara hidup anak

Bagi anak-anak yang memohon untuk menyambung pengajian ke peringkat asasi Universiti Awam atau matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), kos tahunan juga boleh dikatakan agak rendah kecuali kos pendaftaran pengajian. Ini kerana yuran pengajian telah diberikan subsidi dan ibu bapa hanya perlu membayar sekitar RM350 bagi yuran pengajian dan RM360 bagi yuran penginapan setiap semester.

Pelajar yang mendaftar di asasi Universiti Awam juga akan diberikan elaun sebanyak RM1,250 setiap semester bagi mereka yang layak. Antara Universiti Awam yang menawarkan program asasi ini adalah seperti yang berikut :

  • Universiti Malaya (UM)
  • Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
  • Universiti Teknologi MARA (UiTM)
  • Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
  • Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)
  • Universiti Malaysia Sabah (UMS)
  • Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
  • Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
  • Universiti Utara Malaysia (UUM)
  • Universiti Putra Malaysia (UPM)

Jika anda memilih Institusi Pengajian Tinggi Swasta atau IPTS sebagai destinasi pengajian tinggi pertama untuk anak anda, kos tahunan yang diperlukan adalah sebanyak tiga kali ganda daripada kos pengajian di Pusat Asasi Universiti Awam atau Kolej Matrikulasi KPM.

Bagi pengajian di peringkat ijazah sarjana muda, kos yang diperlukan bagi pengajian di Universiti Awam adalah sekitar RM20,400 bagi tempoh setahun. Ini bergantung kepada yuran pengajian setiap semester sama ada kurang atau lebih daripada jumlah RM1,000 bagi setiap semester.

Manakala bagi IPTS, ia bergantung kepada jenis IPTS itu sendiri. Bagi IPTS yang berstatus tinggi dan lebih berprestij seperti Taylor’s University atau INTI University, kosnya adalah lebih tinggi berbanding universiti atau kolej universiti swasta biasa. Jika anak anda mendaftarkan diri ke universiti-universiti luar negara yang mempunyai kampus cawangan di Malaysia, kosnya akan menjadi lebih tinggi.

Bagi mereka yang mungkin masih tidak tahu, Malaysia merupakan rumah kepada beberapa kampus cawangan universiti luar negara yang ternama. Antaranya adalah University of Reading dan Newcastle University (UK) di Johor Bahru, Heriot Watt University (UK) di Putrajaya, Monash University (Australia) di Subang, University of Nottingham (UK) di Semenyih dan Xiamen University (China) di Sepang.

Cadangan Untuk Mereka Yang Ingin Kurangkan Kos

Terdapat beberapa perkara yang mungkin anda boleh ikuti bagi mengurangkan beban kos yang perlu ditanggung dalam membesarkan anak anda. Antaranya adalah:

  • Bagi kelengkapan bayi seperti baby walker dan buaian, anda mungkin boleh mendapatkannya melalui pembelian secara second-hand atau meminjamnya daripada saudara mara anda sendiri
  • Bagi mereka yang tinggal di kawasan Perumahan Awam (PA) atau Projek Perumahan Rakyat (PPR) milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), anda boleh menggunakan perkhidmatan bas sekolah percuma yang disediakan oleh DBKL
  • Bagi anak-anak yang kerap menggunakan perkhidmatan LRT, MRT atau mana-mana kemudahan pengangkutan awam yang diselia oleh RapidKL, anda boleh memohon Pas Pelajar untuk kegunaan anak anda
  • Bagi anak anda yang melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, pilihlah pusat pengajian yang menyediakan kemudahan biasiswa dan pinjaman pelajaran seperti pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN)

Bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar dan pinggir bandar, kos yang diperlukan sememangnya lebih tinggi berbanding di kawasan luar bandar. Namun, kerajaan juga menyediakan beberapa inisiatif tertentu terutamanya kepada golongan bersasar seperti B40 dan M40 bagi mengurangkan beban tanggungan menyara keluarga.

Oleh itu, kepada semua ibu bapa disarankan untuk mengambil kesempatan yang ada yang telah diberikan oleh kerajaan Malaysia secara maksimum dengan tujuan untuk mengurangkan kos sara hidup. Anda wajib bertanya di jabatan-jabatan atau pusat perkhidmatan terbabit untuk mendapatkan maklumat berkaitan inisiatif yang disediakan oleh kerajaan dengan kadar segera dari masa ke semasa. Pastinya bantuan seumpamanya akan dapat mengurangkan sedikit bebanan atau perbelanjaan.

Written by Sazarimma

Seorang penjawat awam yang ada life insurance, suka travel dengan Air Asia, ada sikit simpanan dalam bank dan suka tengok wayang.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Loading…

0

Comments