in

Ramai Tak Sedar Ada Kencing Manis Kerana Sikap Ambil Mudah (Diabetes)

penyakit kencing manis

Akibat sering ambil mudah dalam berbagai perkara atau kurangnya kesedaran diri tentang kesihatan adalah antara faktor utama ramai di antara kita yang tidak langsung menyedari bahawa mereka menghidap diabetes atau pun dipanggil sebagai penyakit kencing manis.

Malaysia adalah merupakan negara yang paling banyak mempunyai penghidap penyakit diabetes dan jumlahnya adalah yang tertinggi di Asia manakala Arab Saudi adalah negara yang mempunyai pesakit kencing manis yang tertinggi di dunia.

Menurut laporan Hello Doktor, kebanyakkan individu di Malaysia mengamalkan gaya hidup yang kurang sihat seperti tidak membuat senaman atau mengambil makanan tertentu secara berlebihan. Inilah antara punca utama mengapa penyakit kencing manis yang tidak berjangkit ini semakin meningkat.

pesakit diabetes di Malaysia
Kadar penyakit diabetes di Malaysia adalah paling tertinggi di Asia.

Melalui satu laporan akhbar menyatakan bahawa Pengerusi Eksekutif Institut Diabetes Kebangsaan (NADI), Dr Mustaffa Embong, kira-kira 2.5 juta individu dewasa di negara ini yang berusia 18 tahun dan ke atas menghidap diabetes.

Walau bagaimanapun, berdasarkan statistik dalam rekod NADI, menunjukkan hampir separuh daripada individu yang mengalami penyakit kencing manis ini tidak menyedari bahawa mereka menghidapinya dan ini membuktikan sikap sambil lewa individu ternyata benar.

Sambil Lewa Bila Tiada Tanda Sakit Kencing Manis

Biasanya apabila tiada tanda-tanda atau tiada simptom yang menunjukkan seseorang itu tidak mempunyai masalah kesihatan membabitkan kencing manis, mereka pasti tidak akan mengambil tahu tentang kesihatan diri dan menganggap semuanya dalam keadaan baik saja.

Keadaan ini terus berlarutan sehinggalah individu berkenaan didapati mengalami masalah kesihatan lain seperti serangan sakit jantung, strok atau angin ahmar, masalah buah pinggang serta menjadi buta sehingga terpaksa berdepan dengan prosedur amputasi iaitu pemotongan anggota badan. kebiasaannya ia melibatkan indidvidu dengan diabetes jenis 2.

pemeriksaan doktor untuk tahun bacaan kadar gula
Pemeriksaan doktor adalah diwajibkan supaya dapat mengesan apa saja penyakit.

Diabetes adalah merupakan sejenis penyakit kronik yang boleh dianggapkan sebagai pembunuh senyap. Masalah ini akan dialami apabila pankreas tidak lagi menghasilkan insulin yang mengawal paras gula dalam darah dengan secukupnya atau pun bila badan tidak lagi mampu menggunakan insulin yang dihasilkan.

Penyakit kencing manis juga adalah satu masalah kesihatan yang sering membabitkan ketidakupayaan badan untuk terus menukar glukosa iaitu gula kepada tenaga. Keadaan seperti ini adalah sangat penting memandangkan glukosa adalah sumber tenaga yang diperlukan oleh badan manusia.

Ringkasannya, antara simptom bagi penyakit diabetes jenis 2 adalah peningkatan paras gula dalam darah, hilangnya berat badan dengan mendadak, sering merasa lapar, kekerapan dahaga dan kencing, sering merasa letih serta emosi terganggu, luka yang lambat sembuh dan juga mata menjadi kabur.

Pemeriksaan dan Penjagaan Kesihatan

Oleh kerana tidak mempunyai tanda, tidak mengalami sebarang simptom atau gejala, kebanyakkan kita merasakan diri kita sihat walafiat namun sebaliknya kita tidak ketahui. Dek kerana perkara inilah ramai yang sering lupa untuk melakukan pemeriksaan kesihatan yang sepatutnya dilakukan.

senaman untuk menghilangkan penyakit diabetes
Senaman adalah aktiviti fizikal yang wajib dilakukan oleh pesakit diabetes.

Walau bagaimanapun, sebenarnya, bagi semua pesakit yang menghidap kencing manis, mereka masih lagi boleh mengawal keadaan penyakit ini dengan mengamalkan gaya hidup sihat dalam kehidupan seharian dengan penuh berdisplin.

Yang paling penting adalah dengan melakukan perubahan gaya hidup yang lebih baik dengan mementingkan pemakanan seimbang, mengekalkan berat badan yang sesuai, turunkan berat badan sekurang sehingga 5 atau 10 peratus, meningkatkan aktiviti fizikal dengan sekurang-kurangnya 150 minit seminggu.

Amalan gaya hidup sihat yang lebih baik dilakukan dalam kehidupan seharian pesakit diabetes dipercayai mampu mencegah selain turut akan melambatkan kesan penyakit kencing manis itu sendiri. Oleh itu, lakukanlah dengan segera untuk mengelakkan penyakit ini menjadi dengan lebih teruk lagi.

kencing manis
Amalkan makanan seimbang untuk mengawal kadar gula dalam badan.

Namun, harus diingat, semua pesakit diabetes ini wajib untuk sering bertemu doktor kerana setiap pesakit memilik tahap yang berbeza serta membuat pemeriksaan yang berkala, saringan dan juga rawatan untuk risiko kardiovaskular seperti tekanan darah, tahap kolestrol dan juga obesiti.

Baca : Pesakit Kencing Manis Perlu Makan Sayur Dulu Sebelum Makan Nasi

Mulai sekarang sama ada anda adalah pesakit kencing manis atau pun tidak mempunyai diabetes, anda harus memastikan keadaan kesihatan anda di tahap yang baik dan tidak salah jika ingin bertemu doktor untuk membuat pemeriksaan. Namun, amalkanlah gaya hidup yang sihat untuk kesihatan diri yang lebih baik. Semoga bermanfaat.

Written by Sazarimma

Seorang penjawat awam yang ada life insurance, suka travel dengan Air Asia, ada sikit simpanan dalam bank dan suka tengok wayang.