in

Penduduk Dakwa Pernah Terserempak Dengan Pocong di Seberang Takir

Lembaga pocong di Seberang Takir

Viral di laman sosial beberapa gambar yang didakwa lembaga yang menyerupai pocong yang dilihat berkeliaran di Kampung Baru Seberang Takir, Kuala Nerus, Kuala Terengganu semenjak seminggu lalu.

Gambar yang dikatakan pocong itu disebarkan di laman Facebook menunjukkan satu lembaga yang berpakaian serba putih yang didakwa telah dirakamkan oleh salah seorang penduduk kampung tersebut.

Menurut laporan Harian Metro, seorang penduduk berkata, dakwaan kelibat hantu pocong yang dapat dilihat di kampung berkenaan dan heboh diperkatakan penduduk itu telah menganggu ketenteraman mereka.

“Memang menakutkan apabila mendengar cerita daripada penduduk yang mendakwa melihat makhluk itu meloncat dan ada yang sempat merakam gambar dakwaan itu.

“Semua penduduk sedia maklum dengan gangguan berkenaan dan masing-masing bimbang untuk keluar lewat malam kerana takut diganggu atau terserempak,” ujar Lina penduduk Kampung Baru.

Hantu pocong
Gambar yang didakwa pocong yang telah dirakamkan kini viral di laman sosial. – Facebook

Menurut beliau lagi, sebelum ini dia pernah mendengar tentang pocong yang diceritakan oleh penduduk yang menyatakan belia telah diganggu lembaga berkenaan ketika sedang memancing di tepi sungai.

Kebenaran tentang lembaga pocong ini belum jelas terbukti dan ianya hanya disebarkan dari mulut ke mulut dan viral di laman sosial sehingga telah menakutkan orang ramai terutamanya kaum wanita.

Menurut penduduk lain pula, beliau mengetahui tentang gangguan hantu pocong di Kampung Baru selepas melihat gambar pocong yang disebarkan oleh pengguna laman sosial Facebook.

hantu
Lembaga yang dikatakan pocong berada di bumbung kedai. – Facebook

Di mana-mana sahaja sama ada di gerai makan, penduduk kampung sehingga kini masih lagi bercakap mengenai gangguan lembaga ini malahan ada yang tidak mahu mempercayainya walaupun menyedari ramai yang mendakwa telah terserempak dengan lembaga pocong itu.

Walau bagaimanapun, menurut lelaki terbabit, gambar yang telah tersebar di internet itu kita masih lagi belum tahu kesahihannya, namun beliau berharap orang ramai perlu berjaga-jaga kerana bimbang akan menjadi mangsa lembaga tersebut.

Sehubungan dengan itu, Pengasas Menyingkap Tirai Ghaib MTG), Ustaz Zek Ayry Khan, menegaskan bahawa berdasarkan gambar yang tular itu beliau amat yakin itu adalah gambar palsu yang disengajakan disebarkan untuk menakutkan orang ramai.

Lembaga pocong
Lembaga yang dibaluti kain putih dikatakan berkeliaran di sekitar kampung. – Facebook

Walau bagaimanapun, kewujudan makhluk seperti itu tidak dapat dinafikan tetapi ianya agak sukar untuk dirakamkan dalam bentuk nyata sebagaimana yang terdapat dalam gambar yang telah tersebar itu.

Beliau turut menasihatkan semua penduduk agar tidak takut dengan berita itu dan cuba berhadapan dengan lembaga pocong tersebut sekiranya ia muncul di hadapan mata kerana beliau yakin ianya adalah perbuatan budak nakal.

Orang ramai terutamanya penduduk kampung berkenaan disarankan agar terus memperbanyakkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran sebagai cara untuk menghilangkan perasaan takut selain sebagai pendinding diri daripada gangguan jin, iblis dan syaitan, katanya.

Written by Sazarimma

Seorang yang suka mempelajari sesuatu yang baru dan gemar melakukan aktiviti lasak. Seorang penjawat awam yang amat optimis, kemahiran berkomunikasi dengan sesiapa sahaja dan suka membaca.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

Comments