Pilihan Raya Umum yang ke14 (PRU14) akan berlangsung tidak lama lagi iaitu pada 9 Mei nanti. Berbagai tawaran dan janji telah ditaburkan dan yang dapat kita dengari dari kedua-dua parti sama ada pihak kerajaan atau pun pembangkang. Peruntukan duit, projek, pembangunan, cabutan bertuah, diberikan jawatan dan bermacam lagi janji sekiranya anda mengundi dan memangkah parti masing-masing.
Tapi, adakah benar pemberian wang serta segala jenis bantuan yang diberikan kepada rakyat dianggap rasuah? Menerusi sebuah booklet yang telah diterbitkan pada tahu 2012 dengan tajuk, Soal Jawab Mengenai Pasukan Penguatkuasa kempen Pilihan Raya (PP-KPR), situasi tersebut juga telah dinamakan sebagai ‘Politik Wang’.
Politik Wang
Apakah itu Politik Wang? Ianya adalah satu situasi atau keadaan dimana calon atau wakil-wakilnya memberi atau berjanji dengan bayaran suapan atau rasuah sebagai satu balasan mengundi atau tidak mengundi untuk seseorang calon parti terbabit.

Tindakan berkenaan telah diklasifikasikan sebagai salah satu kesalahan dan calon yang didapati melakukan aktiviti sebegini boleh dilaporkan kepada pihak berkuasa iaitu Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM). Perkara ini juga tidak boleh dipandang ringan serta menganggap ianya bukan satu kesalahan.
Baca : Semakan Daftar Pemilih Pilihan Raya PRU14 (SPR Online 2018)
Situasi Dalam PRU Yang Boleh Dianggap RASUAH
Antara situasi dalam Pilihan Raya Umum yang boleh dianggap sebagai satu rasuah adalah seperti yang berikut.
1. Calon atau wakil sebarang parti telah menjanjikan penawaran, mendapatkan atau memberikan jawatan, sebarang kedudukan atau pun pekerjaan kepada individu yang mengundi iaitu pengundi.
2. Calon atau pun wakil yang pinjam, janji, menawarkan atau mengusahakan untuk mendapatkan sebarang balasan seperti wang kepada mana-mana pengundi sebagai dorongan untuk mengundi atau tidak dibenarkan mengundi mana-mana wakil calon yang terlibat.
3. Calon yang mengadakan apa-apa jamuan sebagai meraikan apa sahaja perkara yang membabitkan PRU termasuklah meraikan kemenangan selepas bertanding di PRU.
4. Mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung telah menerima apa-apa sogokan dalam bermacam cara untuk mendapatkan undi daripada mana-mana pengundi atau pemilih dalam Pilihan Raya Umum.
5. Calon atau mana-mana wakil yang mendahulukan sebarang bayaran dalam bentuk tunai wang ringgit atau sebarang kegunaan kepada mana-mana pengundi dengan tujuan perkara tersebut sebagai saguhati atau sogokan dalam PRU.

6. Bakal pengundi yang telah pun bersetuju dengan kontrak atau perjanjian untuk mendapatkan duit, sebarang pemberian atau pinjaman dengan niat untuk mengundi ata tidak mengundi di dalam PRU.
7. Seseorang itu yang secara langsung atau pun tidak langsung telah pun menerima apa saja jenis bayaran kerana mengundi atau tidak mengundi mana-mana calon berkenaan dalam PRU.
8. Mereka yang telah memberi dorongan atau mendorong mana individu supaya menjadi calon, tidak menjadi calon atau pun menarik diri dengan memberi sebarang suapan seperti jawatan, duit, jawatan atau pun apa saja jenis kedudukan serta pekerjaan.
Sekiranya seseorang itu ditangkap ketika memberikan rasuah waktu berkempen pastinya ada hukuman yang harus dikenakan kepada semua pesalah yang terlibat dengan rasuah seperti ini. Berikutnya adalah senarai atau jenis hukuman yang perlu dilalui oleh individu terbabit.
- Akan dikenakan penjara tidak lebih daripada 2 tahun
- Denda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih dari RM5,000
- Juga akan dikenakan kedua-duanya sekali iaitu penjara tidak lebih daripada setahun serta denda tidak lebih daripada RM2,000.
- Tidak boleh didaftarkan sebagai pengundi atau mengundi dalam mana-mana pilihan raya atau dipilih dalam mana-mana pilihan raya.
- Walaupun mereka sudah terpilih dalam mana-mana pilihan raya, kerusi mereka hendaklah dikosongkan bermula daripda tarikh disabitkan dengan kesalahan tersebut.
Bagi mana-mana calon atau parti yang dilaporkan telah mengamalkan perbuatan atau sebarang kegiatan yang membabitkan rasuah seperti ini, mereka seterusnya akan disiasat serta diambil tindakan ke atas kesilapan mereka itu.

Walau bagaimanapun, menurut laporan Sinar Harian, parti PAS adalah antara parti yang belum pernah terlibat dan tidak pernah disiasat sama sekali oleh pihak SPRM dalam kegiatan rasuah, biarpun mereka sering menerima tuduhan dari berbagai pihak yang menuding jari.
Sekiranya anda mendapati gejala rasuah berlaku dan anda adalah saksi, adalah disarankan anda melaporkan perkara ini kepada pihak SPRM untuk disiasat dengan lebih lanjut. SPRM juga turut menyediakan satu talian bebas tol yang bernombor 1800-88-6000 untuk memudahkan orang ramai membuat laporan yang berkaitan dengan rasuah dan seumpamanya.

Anda juga boleh membuat aduan atau sebarang pertanyaan secara terus ke pihak SPRM menerusi email info at sprm.gov.my atau dengan lebih mudah anda melayari laman web SPRM di www.sprm.gov.my.
Masa depan negara adalah di tangan kita. Jadi, buatlah pilihan yang bijak untuk kebaikan bangsa, agama dan negara.
Loading…