in

Resepi Nasi Dagang Terengganu Asli (Gulai Ikan Tongkol)

Nasi Dagang Terengganu

Nasi dagang sememangnya terkenal di Pantai Timur iaitu di Terengganu, Pahang, Kelantan dan juga di beberapa daerah di Thailand seperti Pattani, Yala dan juga Narathiwat. Nasi yang menjadi hidangan tradisi di Terengganu ini dikatakan agak sukar untuk dimasak jika tidak mempelajari cara buat dan cara masak nasi ini dengan betul.

Bagi sesetengah orang, nasi dagang Kelantan dan Terengganu mempunyai sedikit perbezaan dan ada yang mengatakan kedua-duanya tiada sebarang perbezaan kerana rasanya hampir sama dan gulai ikan tongkol juga hampir serupa. Walau bagaimanapun, nasi dagang Terengganu atau Kelantan mempunyai penggemarnya yang tersendiri.

Beras nasi dagang Terengganu dan Kelantan
Nasi dagang beras merah dihidang bersama ayam goreng dan kari ikan tongkol.

Di musim perayaan seperti Hari Raya Aidil Fitri atau Hari Raya Haji, nasi dagang adalah antara menu utama yang dimasak pada waktu pagi yang dijadikan sarapan atau santapan ahli keluarga dan juga tetamu yang datang. Malahan sehingga kini ramai peniaga yang menjual nasi ini di gerai, kedai makan atau pun restoran.

Nasi ini akan menjadi lebih sedap sekiranya gandingannya iaitu kuah kari ikan tongkol atau gulai ayam dan acar yang akan lebih menyedapkan nasi ini jika dimakan bersama lauk tersebut. Jika anda masak sendiri anda boleh membuat berbagai jenis lauk seperti kuah gulai udang, ikan kayu dan sebagainya mengikut resepi anda sendiri.

Anda juga boleh buat sendiri dan masak di rumah sekiranya anda tahu resepi dan cara memasak nasi dagang yang betul seperti yang dikongsikan oleh Muhamad Muktamin Abdul Karim. Ada juga sesetengah orang memasak nasi dagang kukus dengan menggunakan beras-beras yang berbeza seperti beras Faiza dan ada juga dengan pressure cooker seperti periuk Noxxa, Sharp dan sebagainya.

Resepi Nasi Dagang Gulai Ikan Tongkol

Resepi Nasi Dagang Kelantan dan Terengganu
Nasi dagang yang telah siap dimasak dengan mudah dan ringkas.

Bahan-bahan

  • 3 cawan beras Basmathi atau beras biasa direndam
  • 1 cawan pulut direndam
  • 3 cawan santan cair
  • 1 cawan santan pekat
  • Sedikit halba
  • 3 ulas bawang merah dihiris halus
  • 1 atau 2 inci halia dihiris halus
  • 3 helai daun pandan
  • Garam dan gula sedikit

Cara Masak Nasi Dagang

Beras Basmathi dan pulut direndam (2 jam) lebih lama lagi bagus.

Cara memasak nasi dagang Kuala Terengganu
Beras yang direndam selama lebih dua jam.

Kukus beras dan pulut selama 20 minit.

Nasi dagang Terengganu yang sedap
Beras yang dikukus sebelum diangkat semula.

Keluarkan dan masukkan ke dalam mangkuk besar. Keluarkan, lapik daun pandan.

Nasi dagang Kelantan ikan tongkol
Daun pandan diletakkan dalam periuk sebelum dimasukkan nasi.

Kemudian tuangkan santan cair dan gaul rata beras, pulut dan santan sehingga sebati. Biarkan sekejap sehingga meresap.

Kukus sekali lagi dalam 20-30 minit.

Setelah lebih kurang 10 minit, masukkan hirisan bawang, halia dan taburkan halba dalam periuk kukusan.

Cara buat nasi dagang Kelantan mudah
Nasi dagang yang telah siap dimasak bersama bahan-bahannya.

Keluarkan kali kedua dan gaulkan dengan santan pekat sehingga rata. Nampak macam berminyak berkilat. Tak perlu habiskan santan jika nasi dah lembut. Siap untuk dihidang.

Jika nasi nampak macam tak berapa masak jangan risau, tambahkan lagi santan cair dan gaul. In shaa Allah jadi.

Resepi Gulai Ikan Tongkol

Cara cara masak nasi dagang Terengganu
Gulai ikan tongkol yang telah dimasak dengan jayanya.

Bahan-bahan

  • 1 ekor ikan tongkol dipotong empat
  • Santan kelapa (2 biji) campur dengan santan cair, anggaran dalam 1 liter
  • 1 paket rempah Cap Bunga Ros (15gram)
  • 3 atau 4 sudu rempah gulai Cap Bunga Ros
  • 1 biji bawang besar dikisar
  • 2 biji bawang putih dikisar
  • 1 inci halia (lebih pun boleh) dikisar
  • 1 inci lengkuas dihiris
  • 5 sudu cili kisar, nak lebih pun boleh
  • 1 sudu teh serbuk jintan manis
  • 1 sudu teh serbuk jintan putih
  • 1 sudu teh serbuk ketumbar
  • 1 asam keping
  • 1 batang kayu manis
  • 1 inci belacan
  • 5 biji cili padi untuk ditabur dalam gulai
  • 3/4 biji belimbing buluh dipotong dua/tomato dipotong 4
  • Sedikit kerisik
  • Garam dan gula melaka secukup rasa
  • 2 atau 3 biji telur yang sudah direbus

Cara Masak Gulai Ikan Tongkol

Gulai ikan tongkol nasi dagang terengganu
Pastikan ikan tongkol yang ingin buat gulai itu segar dan tidak busuk.

Rebus ikan tongkol dengan asam keping dan sedikit garam sehingga mendidih. Air rebusan jangan dibuang.

Kuah kari ikan tongkol nasi dagang resepi
Ikan tongkol atau ikan aya ini perlu direbus terlebih dahulu.

Saya tak ikut resepi asal yang mana sepatutnya masakkan santan sampai berminyak. Saya tumis cili, kemudian masukkan semua bahan kisar bersama kayu manis dan asam keping.

Masukkan jintan manis, jintan putih, ketumbar dan rempah Cap Mawar dan rempah gulai Cap Bunga Mawar. Gaul rata dan masukkan santan.

Bila dah mendidih masukkan ikan yang direbus sekali dengan air rebusan. Jumlah air rebusan tu bergantung kepada kepekatan kuah yang kita nak. Kalau nak pekat tak perlu banyak. Kalau nak banyak kuah, lebihkan air rebusan.

Masukkan beberapa biji cili padi dan tomato, belimbing buluh dan telur rebus.

Teruskan memasak sehingga pekat dan timbul minyak.

Seperti dalam gambar. Anggaran dalam 20-30 minit dengan api perlahan.
Sambil masak gulai ni boleh la uruskan nasi dagang tu.

Cara Buat Acar Nasi Dagang

Nasi dagang Terengganu resepi sedap
Nasi dagang yang siap dihidang bersama acar dan gulai ikan tongkol.
  • Timun dan lobak merah dipotong memanjang
  • 2 ulas bawang merah dan 1 biji bawang besar dihiris
  • Nenas dipotong-potong
  • 1 sudu cuka
  • Gula dan garam secukup rasa

Semua bahan digaul mesra dan biarkan sementara menunggu nasi dan lauk masak.

Baca juga : Resepi Nasi Mandy Yang Mudah dan Ringkas (Nasi Arab Kabsah)

Sebenarnya cara untuk membuat nasi dagang Kelantan atau Terengganu akan menjadi lebih mudah jika ikut cara memasak dan resepi yang dikongsikan langkah demi langkah pasti nasi itu akan menjadi dan sedap dimakan. Silap hari bulan anda boleh menjualnya, siapa tahu?

Selamat mencuba.

Written by Sazarimma

Seorang yang suka mempelajari sesuatu yang baru dan gemar melakukan aktiviti lasak. Seorang penjawat awam yang amat optimis, kemahiran berkomunikasi dengan sesiapa sahaja dan suka membaca.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

Comments