in

Resepi Pizza Homemade Mudah dan Sedap Tanpa Oven

resepi pizza homemade tanpa oven

Pasti ramai yang sukakan pizza lebih-lebih lagi kanak-kanak yang semakin membesar dan didedahkan dengan bermacam jenis makanan segera. Kepada ibu yang mempunyai anak-anak yang gemar makan pizza dinasihatkan belajar cara membuat pizza sendiri di rumah kerana resepi pizza homemade sangat mudah dan simple tanpa oven.

Sebenarnya berbagai jenis resepi pizza homemade boleh dibuat mengikut citarasa masing-masing serta mengikut perasa dan sebagainya. Lebih menyeronokkan jika pizza yang dimasak sendiri anda boleh menambahkan kuantiti dan juga pasti berpuas hati jika pizza yang dibuat itu menjadi dan sedap dimakan.

cara buat pizza homemade
Pizza yang dah masak ditabur Oregano memang sedap kalah Pizza Hut dan Domino.

Perkongsian rezepi pizza homemade yang lembut dan dibuat tanpa menggunakan oven dikongsikan oleh Puan Murni Rahmat menerusi laman sosial. Beliau juga menunjukkan cara-cara membuat dan resepi doh pizza berserta dengan gambar supaya senang untuk diikuti oleh sesiapa sahaja.

Pizza yang dimasak pada kali ini tak menggunakan oven tetapi guna kuali dan secara 100% dimasak di atas api dapur gas sahaja. Ikuti perkongsian beliau cara buat pizza sendiri di rumah.

Resepi Pizza Homemade Sedap dan Simple

Ini antara bahan-bahan untuk membuat pizza untuk 5 orang. Cheese perlu gunakan Mozzarela untuk dapatkan effect tarik. Kalau tak kisah boleh guna cheese apa pun, sedap je tapi tak boleh nak main tarik-tarik.

Cara buat doh pizza
Saya guna cheese Mozzarela dan Cheddar.

Berikutnya adalah resepi doh pizza yang mudah, lembut dan gebu mengikut sukatan cawan menggunakan yis yang boleh menjadikan ia sedap dan rangup selain boleh juga dibuat roti dan donat mengikut cara buat yang sama.

Resepi Doh Pizza

  • Tepung gandum sekilogram
  • Air suam dua cawan
  • Mauripan 1 paket
  • Minyak masak dua sudu
  • Gula satu susu
  • Secubit garam

Cara membuat:

Pertama sekali anda perlu uli semua bahan-bahan di atas sekurang-kurang 5 minit.

bahan bahan buat doh pizza
Selepas uli doh pizza, rehatkan dan tutup dengan kain lembab, biarkan selama sejam.

Bahan Topping untuk Pizza

Sos pasta tradisional (jenama bebas). Boleh letak bermacam jenis topping mengikut kehendak sendiri seperti hot dog, ayam, cendawan butang, nenas, tomato, cheese, seafood dan sebagainya.

resepi topping pizza yang senang
Pilihan topping pizza juga akan menyedapkan lagi rasa pizza yang lazat.

Kemudian tumiskan bawang holland dan bawang putih. Apabila berbau wangi masukkan bahan basah yang lain seperti ayam, hot dog dan cendawan. Tumis sampai masak ya. Masukkan garam dan lada hitam mengikut selera masing-masing.

Tapi kalau nak masukkan black pepper sos kena pilih yang sedap sebab kadang-kadang rasa sos black pepper ini agak pelik, masam cuka dia kuat sangat nanti lari rasa pizza tu. Nak selamat tabur black pepper tumbuk, macam ni pun dah cukup sedap.

Resepi Sos Pizza Homemade Paling Sedap

Untuk sos pizza kalau nak mudah, anda boleh beli apa-apa jenis sos pasta perisa original atau pun tradisional. Tetapi kalau nak buat sendiri sos pizza ini boleh buat seperti berikut.

cara buat sos pizza homemade yang sedap
Resepi sos pizza ini memang sedap jika kena dengan caranya.

Bahan-bahan sos pizza:

  • 3 ulas bawang putih
  • 1 biji bawang besar atau bawang Holland
  • 1 sudu kecil Mix Herbs
  • 1 kiub ayam
  • 2 sudu besar tomato Puree
  • 3 biji buah tomato

Cara membuat sos pizza:

  1. Potong halus bawang putih dan tumiskan sehingga naik bau.
  2. Masukkan bawang dan tomato kisar.
  3. Masak sampa pecah minyak.
  4. Masukkan tomato puree atau sos tomato.
  5. Tambah Mix Herbs dan kiub ayam.
  6. Perasakan dengan garam dan serbuk lada hitam.

Langkah demi langkah cara buat resepi pizza homemade.

1. Gaul tepung dengan minyak.

2. Tambah air, uli tepung sekurangnya 5 minit. Apabila sudah tak melekat di tangan, tutupkan dengan tuala dan rehatkan selama satu jam.

resepi membuat roti pizza
Doh pizza selepas siap diuli dibiarkan selama satu jam, gemuk dan gebu.

*Sukatan air perlukan dua cawan tapi satu cawan air itu tuangkan mauripan ke dalamnya dan masukkan secubit gula. Selepas dua hingga tiga minit, dah muncul seperti buih-buih, barulah campurkan dan uli adunan tepung jadi doh pizza.

3. Selepas satu jam, doh tadi akan naik dan menjadi semakin besar secara mendadak. Tumbukkan doh itu supaya angin di dalamnya keluar.

4. Bahagikan doh tersebut kepada 5 bahagian atau lebih.

pizza cheese
Anda boleh buat bentuk besar atau kecik, nama pun pizza home made.

5. Bentukkan doh, apabila dah sesuai dan elok menjadi bulat serta leper seperti ditunjukkan dalam gambar, letakkan ke atas kuali.

resepi pizza mudah
Masak dengan api yang kecil dan perlu ditutup.

6. Masak dengan menggunakan api yang kecil dalam jangka masa 10 hingga 15 minit mengikut ketebalan pizza yang dibuat. Tutupkan dengan tudung periuk. Tak perlu letak minyak atau letak pelapik. Masakkah doh itu ke atas kuali sahaja.

7. Jika anda suka kerak pizza itu menjadi lebih rangup, anda perlu masakkan doh itu terlebih dulu sebelum mengisi topping pizza.

cara buat roti pizza
Susun topping dan letak apa yang kita suka. Mozzarela cheese boleh diparut lebih cantik.

8. Jika anda sukakan pizza yang lembut dan gebu seperti roti, letakkan topping pizza di atas doh mentah dan kemudian baru masak. Susunkan siap-siap di atas kuali dan nanti akan senang sebab tak perlu nak angkat lagi doh tersebut sebab topping itu berat. Bila berat akan susah nak letak atas kuali atau pan pulak.

cara buat pizza sendiri
Untuk cairkan cheese masa masak perlu letak penutup dalam masa 3 atau 4 minit.

9. Cheese akan mengambil masa selama 3 hingga 4 minit untuk cair sepenuhnya.

membuat pizza mudah dan cepat
Pizza yang berlainan bahan dimasak dalam masa lebih kuramg 10 minit mengikut ketebalan pizza.

*Jika anda nak cepat, anda boleh buat menggunakan roti nan atau roti Arab.
*Resepi doh pizza ini juga boleh digunakan untuk membuat donut, roti dan juga kuih pau.

resepi pizza sukatan cawan
Sama ada pizza mini atau pizza apa saja kalau buat sendiri pasti berbaloi-baloi.

Semoga perkongsian resepi pizza homemade dan cara buat pizza sendiri di rumah ini akan membantu anda untuk memasak pizza selain bermanfaat untuk mengelakkan anak-anak anda yang suka makan makanan segera yang dikatakan membahayakan kesihatan itu. Selamat mencuba.

Written by Sazarimma

Seorang yang suka mempelajari sesuatu yang baru dan gemar melakukan aktiviti lasak. Seorang penjawat awam yang amat optimis, kemahiran berkomunikasi dengan sesiapa sahaja dan suka membaca.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

Comments