Pulut kuning dan rendang daging adalah gandingan yang sangat sedap dan sesuai disajikan untuk majlis apa saja atau dimakan sendiri di rumah. Keenakan pulut dan rendang terbukti menyelerakan apabila sering menjadi pilihan ramai untuk hidangan atau dibuat gubahan hantaran iaitu pulut berhias dan jamuan di hari raya.
Jika anda suka makan pulut kuning dan rendang daging, anda perlu buat sendiri dan cara buat pulut kuning sangat mudah manakala rendang daging pula boleh dimasak mengikut resepi yang dikongsikan oleh Puan Noor Hamidah ini.
Resepi Pulut Kuning dan Rendang Daging

Resepi Pulut Kuning
Beras pulut biasanya dimasak secara tanak atau kukus yang akan dimasukkan santan atau kunyit yang menjadi resepi pulut tanak itu semakin sedap dan menyelerakan. Pulut kuning sangat digemari ramai malahan makanan ini dianggap sebagai makanan tradisi di beberapa buah negeri di Malaysia.
Bahan-bahan:
- 1 1/2 Kg pulut (pulut susu)
- Satu kotak kecil santan
- 10 helai daun panda
- Serbuk kunyit
- Garam secukup rasa
Cara masak pulut kuning
1. Rendam pulut dahulu bersama dengan sedikit serbuk kunyit. Saya letakkan dua sudu sahaja dan warna sangat cantik, direndam selama 3 hingga 4 jam.
2. Panaskan pengukus, dalam masa yang sama susunkan daun pandan di atas pengukus. Bau pulut kuning menjadi lagi sedap selepas diletakkan daun pandan.

Kemudian masukkan pulut ke atas daun pandan. Kukus pulut sehingga ia menjadi sedikit lembut dalam jangka masa selama satu jam.
3. Apabila pulut menjadi lembut, sila keluarkan pulut yang siap dikukus itu ke dalam bekas yang lain.

4. Seterusnya ambilkan satu kotak kecil santan tadi dan tambahkan air. Kuantiti perlu penuh dalam satu mangkuk yang besar yang selalu diletakkan maggie tu dan kemudian tambahkan garam sedikit.
5. Kemudian gaulkan dengan pulut itu tadi dan susunkan semula serta kukus semula macam tadi selama 15 hingga 30 minit lagi.

Akhirnya menjadilah pulut kuning yang sedap dan siap untuk dimakan bersama rendang daging atau rendang ayam mengikut selera anda sendiri.

Resepi Rendang Daging
Cara buat rendang daging simple tidaklah sesusah mana, jika anda tahu bahan-bahannya serta mengikut resepi yang dikongsikan. Ikut arahan dan cara masak dengan betul pasti rendang anda itu menjadi dan sedap untuk dimakan bersama pulut.

Bahan-bahan:
- 1 1/2 kg daging
- 2 biji bunga lawang
- 2 batang kayu manis
- 3 helai daun kunyit muda
- 2 sudu serbuk kari (kari daging)
- 2 bungkus kerisik
- 2 kota santan kecil
- Garam secukup rasa
Bahan yang perlu dikisar
- 15 ulas bawang merah saiz sederhana besar
- 10 ulas bawang putih
- 2 inci lengkuas
- 1 inci halia
- 1 inci kunyit hidup
- 5 batang serai saiz besar
- 20 tangkai cili kering (ikut pedas yang anda suka)

Cara-cara memasak
1. Panaskan minyak dalam kuali, minyak kalau boleh dalam kuantiti yang banyak kerana semasa menumis bahan kisar itu akan berair. Masukkan bunga lawang dan kayu manis. Kemudian masukkan semua sekali bahan kisar dan tumiskan semua bahan sehingga pecah minyak.
2. Kemudian masukkan serbuk kari itu tadi. Pastikan semasa masak rendang ini ia perlu dikacau sentiasa kerana mungkin akan hangus di bawah nanti.
3. Apabila bahan semua sudah pecah minyak, masukkan daging dan gaul sebentar. Kemudian tambahkan dalam sukatan 3 cawan. Tunggu sehingga daging menjadi lembut, selagi daging tidak lembut jangan masukkan santan. Jika perlu masukkan air, sila tambah lagi sehingga daging betul-betul lembut.
4. Apabila daging sudah lembut, masukkan bahan seterusnya iaitu kerisik, santan dan daun kunyit yang dipotong mayang itu tadi.

5. Akhir sekali, masukkan garam mengikut kehendak anda dan tahap kemasinan yang anda inginkan.
Pesanan Puan Noor Hamidah, jika anda ingin kuah yang lebih pekat perlu dimasak di bawah api yang kecil. Jika nak kuah yang banyak, anda boleh matikan api dan siap untuk dimakan.
Ada yang mengatakan bahan-bahan rendang daging atau rendang ayam adalah berbeza mengikut negeri di Malaysia seperti Terengganu, Negeri Sembilan iaitu Minang, Kelantan, Johor dan sebagainya. Walau bagaimanapun, adalah menjadi kebiasaan masyarakat kita pulut kuning pastinya akan digandingkan dengan rendang. Selamat mencuba!
Comments