in

Panduan Solat Sunat Taubat Nasuha Yang Ringkas & Lengkap (JAKIM)

Solat sunat taubat nasuha

Walau siapa pun diri kita yang pernah membuat dosa besar seperti terlanjur berzina, minum arak serta berasa amat berdosa pasti ada yang ingin bertaubat dan kembali ke pangkal jalan Allah selepas mempunyai kesedaran yang selama ini sangat bersalah seterusnya berjanji untuk melakukan solat sunat taubat nasuha.

Sesungguhnya jika anda tersedar dari kesilapan itu, sebenarnya anda telah dipilih oleh Allah untuk bertaubat kepada-Nya serta supaya anda tidak lagi melakukan segala dosa yang selama ini anda lakukan. Oleh itu, taubat nasuha adalah perlu dan ikuti perkongsian ini bagaimana cara solat sunat taubat dilakukan mengikut cara yang betul berserta doa-doa yang berkaitan.

Solat Sunat Taubat Nasuha

Cara menunaikan solat taubat
Kalau tak pandai buat solat ini, jom kita belajar cara dan bagaimana untuk melakukannya.

Taubat nasuha adalah sejenis taubat yang sebenar-benarnya taubat serta turut berjanji sepenuh hati untuk tidak lagi mengulangi segala perbuatan dan kesilapan yang menyebabkan dosa seperti maksiat, mabuk, berzina dan semua perkara yang mengaitkan dengan dosa.

Setiap individu yang ingin bertaubat haruslah membuat solat taubat iaitu solat sunat taubat yang bermaksud atau bertujuan untuk mendapatkan keampunan daripada Allah SWT di atas segala dosa-dosa yang pernah dilakukannya. Ia wajib dibuat dengan kesungguhan dan seikhlas hati untuk memohon ampun kepada Allah SWT serta berazam tidak mengulangi lagi semua kesilapan lalu.

Setiap daripada kita masih mempunyai peluang untuk kembali kepada Allah dan pintu taubat sentiasa terbuka kepada mereka yang benar-benar ingin taubat nasuha. Nekadkan diri serta berjanjilah sepenuh hati untuk berbuat baik serta beribadah kepada Allah SWT.

Berikutnya dikongsikan panduan lengkap dan cara menunaikan solat sunat taubat daripada perkongsian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) iaitu Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tentang cara-cara solat taubat yang betul dan mudah.

Bagaimana Cara Solat Taubat Yang Betul

Di antara rahmat Allah S.W.T kepada para hamba-Nya adalah dengan memberikan peluang dan ruang untuk mereka kembali kepada-Nya setelah melakukan maksiat dan dosa. Pintu taubat itu sentiasa terbuka bagi sesiapa sahaja yang mencarinya.

Taubat berasal dari perkataan تاب إلى الله توبا iaitu kembali kepada Allah dengan sebenar-benar kembali. Ia juga membawa maksud meninggalkan maksiat. Manakala istitabah membawa erti meminta seorang untuk bertaubat. Rujuk Basooir Zawi Al-Tamyiiz (2/304).

Manakala dari sudut istilah, taubat adalah sebagaimana yang didefinisikan oleh Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi Rahimahullah: Sesungguhnya taubat itu adalah suatu ibarat terhadap penyesalan yang mewariskan keazaman dan kehendak (untuk meninggalkan dosa), serta penyesalan tersebut mewariskan ilmu bahawa maksiat-maksiat itu merupakan penghalang di antara seseorang itu dengan kekasihnya. Rujuk Al-Mughni, Ibn Qudamah (14/192).

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Abu Bakr Al-Siddiq R.anh beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:

مَا مِنْ عَبْدٍ يُذْنِبُ ذَنْبًا فَيُحْسِنُ الطُّهُورَ ثُمَّ يَقُومُ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ يَسْتَغْفِرُ اللَّهَ إِلاَّ غَفَرَ اللَّهُ لَهُ ‏ثُمَّ قَرَأَ هَذِهِ الآيَةَ ‏‏ وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ ‏ إِلَى آخِرِ الآيَةِ

Maksudnya: Tidak ada seorang hamba yang melakukan satu dosa, lalu dia memperelokkan dalam bersuci dan dia kemudiannya bangun lalu mengerjakan solat dua rakaat dan memohon keampunan kepada Allah melainkan Allah akan mengampunkan dosanya. Kemudian dia membaca ayat ini:

‏ وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ

Maksudnya: Dan mereka yang apabila melakukan satu dosa atau menzalimi diri mereka kemudian mereka mengingati Allah. [Surah Aali Imran: 135]

Riwayat Abu Dawud (1521)

Berdasarkan hadis di atas, baginda Nabi S.A.W memberikan suatu cara untuk seseorang yang telah melakukan dosa itu membersihkan diri mereka dari perbuatan tersebut. Iaitu dengan cara mengambil wuduk dengan sempurna, kemudian menunaikan solat dua rakaat dan dituruti dengan istighfar kepada Allah S.W.T.

Kata al-Syeikh Mulla ‘Ali Al-Qari Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini: Yang dimaksudkan dengan beristighfar di dalam hadis ini adalah taubat yang berterusan dan berhenti dari melakukan maksiat tersebut seerta berazam untuk tidak kembali melakukannya buat selamanya. Rujuk Al-Mirqaat Al-Mafatiih, Mulla ‘Ali Al-Qari (3/988).

Tatacara Solat Taubat

Berikut kami kongsikan beberapa cara dalam melakukan solat taubat berdasarkan riwayat-riwayat yang sahih daripada Nabi S.A.W. Seseorang yang ingin mengerjakan solat taubat perlulah:

doa solat taubat dalam rumi
Antara kelebihan solat taubat adalah dosa diampunkan oleh Allah SWT dan hidup lebih gembira.

Mengambil wuduk dengan sempurna

Dalam erti kata lain dengan meraikan perkara-perkara wajib dan sunat ketika wuduk. Sebahagian ulama lain menterjemahkan perkataan bersuci di dalam hadis tersebut sebagai mandi, dan mandi dengan air yang sejuk itu adalah lebih sempurna. Ini berkemungkinan diambil daripada sabda Nabi S.A.W:

اللهم اغسل خطاياي بالماء والثلج والبرد

Maksudnya: Ya Allah, basuhkanlah dosa-dosaku dengan air, salji, dan kesejukan.

Kata Syeikh ‘Ali Al-Qari: Pada hadis tersebut isyarat kepada menyejukkan jantung hati daripada kepanasan hawa nafsu. Rujuk Al-Mirqaat Al-Mafatih (3/988).

Kami lebih cenderung bahawa bersuci di dalam hadis tersebut adalah merujuk kepada berwuduk. Ini berdasarkan siyaq al-hadis (konteks hadis) yang menunjukkan bersuci itu datang sebelum menunaikan solat.

Menunaikan solat dua rakaat

Inilah yang masyarakat kita namakan sebagai solat sunat taubat, walaupun tidak dinyatakan penamaan ini di dalam hadis. Manakala berkenaan apakah yang perlu dibaca di dalam solat, terdapat sebuah riwayat daripada Ibn Al-Sunni yang mengatakan supaya dibaca surah Al-Kafirun dan juga surah Al-Ikhlas. Demikian juga boleh untuk dibaca ayat yang terdapat di dalam hadis tersebut iaitu ayat ke-135 dari surah Aali Imraan, ataupun ayat yang berikut:

وَمَن يَعْمَلْ سُوءًا أَوْ يَظْلِمْ نَفْسَهُ ثُمَّ يَسْتَغْفِرِ اللَّهَ يَجِدِ اللَّهَ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: Dan sesiapa yang melakukan suatu keburukan atau dia menzalimi dirinya, kemudian dia memohon ampun kepada Allah nescaya dia akan mendapati bahawa Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. [Surah Al-Nisaa: 110]

Inilah surah-surah atau ayat yang boleh dibaca semasa solat sunat taubat, dan kami berpandangan bahawa boleh juga untuk dibaca surah-surah atau ayat-ayat lain yang mudah untuk dibaca oleh seseorang yang mengerjakan solat sunat ini. Berdasarkan keumuman firman Allah S.W.T:

فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنَ الْقُرْآنِ

Maksudnya: Dan bacalah kalian apa yang mudah daripada al-Quran. [Surah Al-Muzzammil: 20]

Beristighfar kepada Allah S.W.T

Sesudah seseorang itu selesai menunaikan solat sunat taubat, hendaklah dia melazimi dan memperbanyakkan istighfar kepada Allah S.W.T. Kami berpandangan bahawa hal ini adalah berdalilkan firman Allah S.W.T:

وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ

Maksudnya: Dan mereka itu apabila melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri mereka, maka mereka mengingati Allah lalu beristighfar ke atas dosa-dosa mereka. Dan siapakah yang mengampunkan dosa selain Allah. Serta mereka tidak berterusan terhadap apa yang telah mereka lakukan dalam keadaan mereka mengetahui. [Surah Aali Imraan: 135]

Istighfar boleh sahaja dilakukan dengan mengucapkan lafaz ‘’Astaghfirullah’’, ataupun istighfar dalam ertikata lain adalah bertaubat kepada Allah S.W.T. Iaitu seseorang itu menyesal terhadap maksiat yang dilakukan, berhenti dari melakukannya, serta berazam untuk tidak mengulanginya kembali buat selamanya.

Solat taubat untuk memohon keampunan daripada Allah SWT boleh dilakukan senyak dua rakaat sahaja dan ia boleh dibuat pada bila-bila masa yang anda inginkan. Walau bagaimana pun, waktu solat taubat yang paling afdal adalah ketika bangun tidur pada tengah malam dan ia pasti lebih selesa kerana suasana yang sunyi tiada gangguan.

Kebaikan dan Kelebihan Solat Taubat

Solat sunat taubat bukan hanya boleh dilakukan oleh mereka yang telah membuat dosa besar sahaja tetapi sesiapa sahaja boleh melakukannya biarpun tidak membuat sebarang dosa-dosa besar malahan anda juga digalakkan menunaikan solat ini pada setiap hari selagi mampu.

Antara kebaikan dan fadhilat yang sangat baik apabila melakukan solat sunat ini adalah seperti berikut:

1. Dosa kita diampunkan oleh Allah SWT
2. Semua urusan pasti akan dipermudahkan oleh Allah SWT
3. Kita akan merasai nikmat ketenangan dan lebih gembira dalam hidup seharian
4. Tiada lagi sebarang tekanan hidup dengan bantuan Allah SWT
5. Anda dapat menghindari dari dosa serta menjauhi segala gangguan jin dan syaitan.

Cara Mengerjakan Solat Taubat

solat sunat taubat ringkas berapa rakaat
Waktu solat taubat yang sesuai dan lebih afdal adalah di tengah malam sunyi selepas terbangun dari tidur.

Solat ini sangat ringkas dan mudah dengan dilakukan dua rakat sahaja serta wajib dilakukan dengan cara yang dikongsikan di bawah:

1. NIAT

Maksud rumi : “Sahaja aku sembahyang sunat taubat dua rakaat kerana Allah Taala.”

2. BACAAN DALAM SOLAT

Rakaat Pertama:

Ketika rakaat pertama, membaca surah Al-Fatihah dan seterusnya baca surah Al-Kafirun.

Rakaat Kedua:

Ketika rakat kedua, membaca surah Al-Fatihah diikuti dengan bacaan surah Al-Ikhlas.

3. Ketika sujud terakhir setelah membaca tasbih sujud, eloklah anda membaca ayat yang berikutnya sebanyak 44 kali.

Maksud Rumi : “Tiada Tuhan melainkan Engkau, Ya Allah! Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku daripada golongan orang-orang yang zalim.”

4. Setelah anda selesai memberi salam, anda boleh amalkan dengan zikir seperti di bawah sebelum meneruskan bacaan-bacaan doa.

Istighfar 70 kali

Membaca wirid berikutnya sebanyak 100 kali.

Bacaan Doa Selepas Solat Taubat Nasuha

Maksudnya: “Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tidak ada Tuhan kecuali Engkau, Engkau telah menciptakan aku dan aku adalah hambaMu, dan hamba pasti menuruti ketentuan-ketentuanMu, janji-janjiMu sesuai kemampuanku. Aku meminta penjagaanMu dari buruknya segala perbuatanku, aku mengakui segala nikmat yang Engkau berikan dan mengakui adanya dosa-dosa yang aku lakukan. Tidak ada yang mengampuni dosa-dosa kecuali engkau. Aku mohon ampun kepadaMu Allah yang maha Hidup dan berdiri sendiri dan ku bertaubat kepadaNya.”

Contoh Zikir dan Doa Taubat Kepada Allah (Rumi)

Berikut dikongsikan juga doa taubat dan zikir penenang hati selepas kita berjanji untuk taubat nasuha yang pastinya akan membantu kita untuk bersungguh-sungguh meninggalkan dosa-dosa yang lalu.

Buat Maksiat Lagi Selepas Bertaubat

Persoalan yang menjadi pertanyaan ramai iaitu seseorang itu telah pun bertaubat tetapi ia kembali membuat dosa seperti maksiat dan sebagainya sehingga tidak mampu mengawal diri dan nafsu serta berulangkali melakukan kemaksiatan, dalam situasi begini bagaimana pula?

Jawapan ringkas daripada JAKIM menerusi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan iaitu taubat yang dilakukan dengan berulang-ulang serta istghfar yang dibuat berulang-ulang adalah diterima selagimana tidak terdapat pengulangan dosa selepas bertaubat dan memenuhi syarat taubat yang dinyatakan.

Ini bermakna kita boleh berulangkan bertaubat, namun tidak semestinya kita boleh mengulangi perbuatan yang dimurkai oleh Allah SWT itu. Sekiranya berulang lagi, ia seolah-olah kita mempermainkan hukum agama atau pun kita langsung tidak tahu mengawal diri dan nafsu.

Baca juga : Solat Istikharah Memohon Petunjuk Jodoh (Doa Ringkas Solat Sunat)

Semoga dengan penjelasan dan penerangan daripada Jakim ini dapat membantu kita untuk melakukan solat sunat taubat dengan betul dan sebaik mungkin mengikut hukum yang telah ditetapkan. Sesungguhnya terlalu banyak kebaikan dan kelebihan solat taubat jika sering diamalkan.

Semoga Allah SWT akan terus menerima taubat kita serta membersihkan jiwa-jiwa kita daripada kegelapan segala dosa-dosa dan maksiat. Amin. Jauhi zina, maksiat dan seumpamanya yang menjadikan berdosa. Jangan lupa menunaikan solat sunat taubat di waktu yang sesuai kerana ianya lebih afdal. Semoga bermanfaat kepada kita semua.

Written by Sazarimma

Seorang yang suka mempelajari sesuatu yang baru dan gemar melakukan aktiviti lasak. Seorang penjawat awam yang amat optimis, kemahiran berkomunikasi dengan sesiapa sahaja dan suka membaca.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

Comments