in , ,

Tips Elak Anak Tertinggal Dalam Kereta – (Doktor Kongsi Cara Elak Letak Anak Di Kedudukan Blindspot Dalam Kereta)

Tips elak tertinggal anak dalam kereta

Ekoran kejadian yang membabitkan seorang bayi kecil perempuan yang berusia 2 tahun maut kerana sesak nafas selepas tertinggal di dalam kereta selama 4 jam iaitu dari jam 9 pagi hingga ke 1 tengah hari, begitu ramai netizen yang mengecam serta melemparkan komen negatif kepada ibu mangsa kerana tertinggal anak dalam kereta tanpa memikirkan perasaan keluarga mangsa berkenaan yang ketika itu sedang bersedih di atas kehilangan serta kejadian yang tidak disangka-sangka itu.

Walau bagaimanapun, perkara itu telah pun berlaku dan siapa saja yang inginkan perkara buruk sebegini berlaku? Janganlah kita memandang kesilapan ibu mangsa itu sebagai sengaja kerana pastinya dia langsung tidak tahu menahu kejadian ini akan berlaku. Setiap manusia pasti akan melakukan kesilapan dan perkara ini berlaku adalah di atas kehendak-Nya yang mengetahui segalanya. Jadikanlah perkara tertinggal anak dalam kereta ini sebagai teladan dan pengajaran untuk kita semua.

tertinggal anak
Jangan pernah sekali pun tertinggal anak dalam kereta.

Susulan kejadian yang amat sedih itu berlaku, seorang doktor yang dikenali sebagai Doktor Kamarul Ariffin Nor Sadan, tampil dengan perkongsian beliau iaitu tips untuk ibu bapa serta penjaga supaya perkara yang sama iaitu tertinggal anak dalam kereta tidak akan berlaku lagi dan masih boleh dielakkan jika mengamalkan tips dan panduan seperti berikutnya. Semoga bermanfaat untuk semua.

CARA ELAKKAN TERLUPA ANAK DI DALAM KERETA

Hari ini kita digemparkan lagi dengan berita kes kematian seorang kanak-kanak kerana ditinggalkan di dalam kereta diparkir untuk masa yang lama. (Sumber berita: https://goo.gl/DxtWTM). Kes seperti ini kerap berlaku dan biasanya disebabkan kelalaian ibu bapa. Insiden seperti ini boleh berlaku kepada sesiapa termasuk diri kita sendiri. Jadi, kita perlu tangani kelalaian ini.

Di sini saya ingin kongsi beberapa tips untuk mengurangkan kebarangkalian perkara ini terjadi kepada anak anda.

tips elak tertinggal anak dalam kereta
Ibu bapa harus memastikan keselamatan anak dan tidak lupa untuk pastikan anak tidak tertinggal dalam kereta.

1. Jangan letak kerusi kanak-kanak di belakang kerusi pemandu. Di situ adalah titik buta (blindspot). LetLlak di bahagian belakang tempat duduk penumpang agar ia berada dalam ruang pandangan.

2. Sentiasa jadikan amalan untuk memeriksa dalam kabin (termasuk tempat duduk penumpang hadapan dan tempat duduk belakang) sebelum mengunci kenderaan anda. Mulakan amalan ini mulai sekarang.

3. Letak patung permainan di kerusi kanak-kanak. Apabila letak anak di dalam kerusi itu, pindahkan patung tersebut di tempat duduk penumpang hadapan. Pilih patung yang besar dan berwarna terang. Patung itu peringatan bahawa anak anda dibelakang.

BACA JUGA : Bila Ditegur Sikap Anak, Mak Ayah Pula Yang Menjeling! Kisah Ini Patut Dijadikan Pengajaran & Iktibar Semua Ibu Bapa

4. Jika anda ada membawa beg susu anak anda bersama, sentiasa letak beg itu di bahagian hadapan. Konsepnya sama seperti tip ke-3. Ia peringatan bahawa anak anda ada di kerusi kanak-kanak di tempat duduk belakang.

5. Letakkan barang yang penting di belakang, bersama anak anda. Contoh: beg kerja, kunci pejabat, tag kerja, atau sebelah kasut anda di ruangan kaki di belakang.

Nota: tidak digalakkan memandu tidak berkasut.

6. Letakkan tag/label pada pemegang pintu sebelah pemandu di bahagian luar, yang menandakan anak anda di dalam kereta. Label ini boleh dibeli atau dibuat sendiri menggunakan barangan di rumah. Contoh seperti dalam gambar di bawah.

baby on board
Label ini boleh dibeli di kebanyakan kedai aksesori kereta.

7. Pesan kepada pihak sekolah atau pengasuh agar menelefon anda jika anak anda tidak tiba ke sekolah atau di rumah asuhan pada masanya. Boleh juga pesan pasangan anda untuk mengingatkan anda, terutamanya jika ada bertukar rutin menghantar anak.

8. Guna peranti (device) atau aplikasi telefon untuk mengingatkan anda bahawa anak anda di dalam kereta. Contohnya: ChildMinder SoftClip atau aplikasi Kars 4 Kids Safety.

Tertinggal anak dalam kereta
Peranti Childminder Soft Clip yang mampu mengingatkan anda tentang anak anda dalam kereta.

Nota: harganya tidak murah dan aplikasi memerlukan kereta mempunyai fungsi Bluetooth.

9. Bagi yang selalu guna aplikasi navigasi Waze, boleh pilih untuk hidupkan aturan Child Reminder ( Settings>Advanced Settings>General>Child Reminder). Waze akan mengingatkan anda sejurus sampai destinasi.

Jika anda ada tips lain, boleh kongsikan di ruangan komen.

Doktor Kamarul Ariffin Nor Sadan
www.facebook.com/chaku

Nota : Tak usah membawang. Kita fokus pada penyelesaian. Ikuti saya untuk tips kesihatan dan parenting terkini.

Semoga bermanfaat kepada semua ibu bapa dan penjaga.

Written by Sazarimma

Seorang penjawat awam yang ada life insurance, suka travel dengan Air Asia, ada sikit simpanan dalam bank dan suka tengok wayang.

3 Comments

Leave a Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0