Kecoh di media sosial apabila satu rakaman video yang memaparkan gelagat seorang wanita yang dipercayai sedang khayal dan turut berpakaian seksi memuat naik rakaman secara langsung jadi kecaman netizen.
Rakaman video yang berdurasi 11 minit dua saat tersebut jadi tular di laman Facebook selepas tersebar dengan ratusan ribu tontonan dari netizen sejak ianya dimuat naik pada 14 Disember lalu.
Wanita tersebut seperti yang diberitahu netizen dikenali sebagai Nana yang dipercayai berusia 20-an dikatakan adalah salah seorang admin dalam satu group Facebook yang terkenal dan mempunyai ratusan ribu ahli.
Melalui percakapan beliau dalam dialek Kelantan itu dia mendakwa yang dirinya dalam keadaan tertekan serta turut membuat pengakuan dia mengambil ‘lima’ yang mempunyai maksud tersirat disebaliknya.
Memetik laporan Harian Metro, Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan Rahayu Ahmad berkata, bagi pemahamannya, ‘lima’ itu bermaksud dadah jenis Erimin 5.
Pihaknya juga sudah membuat penelitian dengan rakaman video tersebut, walau bagaimanapun hingga setakat ini pihaknya tidak mendapat laporan berkaitan dengan rakaman video tersebut yang telah tersebar itu.
“Kami tidak tahu sama ada dia bersiaran langsung di FB dalam keadaan khayal dadah atau tidak.
“Tetapi kita membuat pemantauan kerana video yang dimuat naik itu boleh membawa kesan negatif kepada orang lain,” katanya kepada Harian Metro selepas dihubungi.
Beliau turut menambah bahawa individu yang didapati mengambil dadah akan diambil tindakan tegas termasuk menahan dan menjalani ujian saringan air kencing.
Melalui kenyataan itu juga beliau telah menasihatkan kepada orang ramai agar tidak mengambil sebarang bahan terlarang yang salah di sisi undang-undang terutamanya dadah.
Rata-rata netizen dilihat mengecam hebat di atas tindakan wanita tersebut yang disifatkan telah memalukan kaum wanita dan juga memburukkan nama keluarganya sendiri.

One Comment
Leave a Reply