Jiwa Kental! Inilah Wanita Luar Biasa Di Puncak Bangunan KLCC ~ Apabila melihat bangunan-bangunan tinggi yang tersergam indah, ia akan membuatkan kita terpegun seketika dan sudah pasti muncul beberapa persoalan di minda, antaranya ialah, siapakah yang sanggup memanjatnya apabila berlaku kerosakan ataupun untuk proses pembersihan dan sebagainya. Betul tak?
Tidak semua individu boleh melakukan kerja yang melibatkan ketinggian walaupun mempunyai keberanian. Individu yang bertugas perlu mempunyai kemahiran tertentu dan juga sijil profesional bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
Wanita Dirakam Bekerja Di Puncak KLCC
“The Real Iron Lady”, itulah gelaran yang diberikan kepada seorang wanita hebat yang bernama Maya Sidek atau nama penuhnya Normalia Sidek. Beliau berasal dari Nilai, Negeri Sembilan. Beliau adalah merupakan seorang wanita yang bertugas sebagai ‘Rope Access Technician’ (juruteknik akses tali) dan juga ‘Non-Destructive Testing (NDT) technician’.
Dalam sebuah rakaman yang tular, beliau dilihat sedang bertugas di puncak bangunan Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC). Video tersebut tular dan mendapat perhatian ramai kerana tidak ramai wanita yang mampu bekerja sedemikian. Video tersebut telah dikongsikan oleh seorang jurugambar, Siva Kumar menerusi akaun Tik Toknya @siva_wwc6.
Video yang merakam aksinya bertugas dengan kepsyen “Iron Lady spotted” mencetuskan rasa kagum penonton mengenai keberanian serta komitmen beliau yang dilihat langsung tidak gentar berada di bangunan berketinggian 452 meter itu.
Dalam video tersebut, Maya lengkap memakai alat keselamatan dilihat sedang mengganti sistem lampu klasik yang berada di bahagian puncak bangunan tersebut kepada sistem pintar LED.
Mula-mula Sorokkan Kerjaya Daripada Keluarga, Namun Terkantoi..
Pada mulanya, Maya Sidek berusaha menyembunyikan kerjaya yang diceburinya daripada pengetahuan keluarga terutama ibu bapanya. Walaubagaimanapun, semuanya terbongkar apabila dia mendapat perhatian masyarakat umum dan mula di tampilkan dalam majalah dan juga media sosial.
Menurut Maya, beliau mula meminati bidang ini bertitik tolak daripada hobinya yang menggemari sukan lasak ‘rock climbing’.
“Ia memang sukan kegemaran saya. Jadi bila dapat tahu ada bidang kerja yang memanjat dan guna tali, saya terfikir untuk mencuba. Saya berusaha ke arah itu dan menjalani training selama 6 bulan”, ujar beliau.
Ramai yang tidak mengetahui atau terfikir pun untuk menceburi bidang ini kerana pendedahan yang kurang. Bahkan, ada yang menganggap kerjaya dalam bidang ini hanyalah sebagai pencuci tingkap bangunan semata-mata.
“Selalu orang ingat kerja tergantung pakai tali ni cuci tingkap je. Tapi sebenarnya tugas juruteknik akses tali ni luas dan banyak cabangnya. Saya sendiri meneroka cabang-cabang baru dan ambil certificate pelbagai bidang dalam lapangan ini sebab terfikir, sampai bila nak cuci bangunan”,
Bertugas di puncak KLCC adalah salah satu impian beliau yang sudah tercapai. Maya berharap untuk ‘menawan’ bangunan Burj Khalifa pula selepas ini.
Bertemu Jodoh Dalam Bidang Sama
Selain itu, Maya juga tidak menyangka akan bertemu jodoh dalam bidang yang sama. Ini memudahkan lagi beliau untuk terus maju dalam kerjaya ini kerana tidak semua boleh memahami cabaran dalam bidang ini.
“Saya bersyukur saya dipertemukan jodoh dengan jejaka yang dalam bidang yang sama, jadi pastinya dia lebih memahami”
Akhir kata, semoga perkongsian ini terus menjadi inspirasi buat semua wanita di luar sana bahawa anda juga boleh melakukan sesuatu yang luar biasa.
Sumber: www.viralmalaysiaku.com
Loading…