in

(VIDEO) Wanita Peniaga Tudung Rayu Kembalikan Beg Tangan Yang Dicuri Seorang Wanita Yang Mendukung Anak

KUANTAN – Seorang wanita yang juga peniaga tudung merayu agar dikembalikan semula beg tangannya yang telah dicuri oleh seorang wanita ketika dia sedang berniaga di sebuah pusat membeli belah di sini, semalam.

“Saya merayu jika pencuri itu ada membaca catatan saya di Facebook (FB) atau ada yang mengenalinya memberitahu dia, saya minta dia pulangkan barangan saya semula.

“Saya tahu peluang untuk dapat kembali wang tunai amat tipis tapi tolong kembalikan rantai emas yang diambil, kerana ia hadiah daripada ibu saya sejak saya kecil.”

Dalam kejadian jam 6 petang itu, mangsa Lya Norsidi, 35, dikatakan sedang melayan pelanggan sempena karnival jualan Vsco Fest yang berlangsung di ruang legar pusat beli belah berkenaan dan meletakkan beg tangan miliknya di bawah meja.

Bagaimanapun dia menyedari kehilangan beg tangannya yang mengandungi wang tunai sebanyak RM5,000 dan rantai leher bernilai RM2,000 sejam kemudian sebelum meminta pihak pengurusan membenarkannya melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di lokasi kejadian.

“Bila saya lihat rakaman CCTV saya amat terkejut kerana wanita yang sedang mendukung anak kecil telah melarikan beg tangan milik saya.

“Rakaman CCTV itu turut memaparkan wanita itu menggunakan anak kecil dengan memasukkan kanak-kanak itu ke bawah meja sebelum berpura-pura mengambil kanak-kanak itu semula bersama beg tangan milik saya” katanya ketika dihubungi, Harian Metro, di Kuantan, semalam.

Mangsa berkata, ekoran kejadian itu dia membuat laporan di Balai Polis Kuantan untuk tindakan lanjut.

Selain kehilangan wang tunai dan rantai leher dia turut kehilangan telefon bimbit jenama Samsung, barangan solek berjenama, kad pengenalan diri, lesen memandu, kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan beberapa dokumen penting.

Rakaman CCTV mengenai kejadian turut tular di laman sosial sejak semalam dan dia meminta orang ramai yang mengenali wanita berkenaan supaya memaklumkan wanita terbabit supaya memulangkan kembali barangan miliknya.

“Saya amat berbesar hati jika dia (pencuri) dapat memulangkan barangan saya walaupun jumlah wang sudah digunakan. Saya minta belas ihsan dia jika dipulangkan, saya amat berlapang dada untuk memaafkan perbuatannya. Tiada dendam dari saya,” katanya.

Sementara itu jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan ketika dihubungi mengesahkan laporan yang dibuat mangsa kelmarin dan siasatan kini sedang dilakukan untuk mengesan suspek.

Written by Sazarimma

Seorang yang suka mempelajari sesuatu yang baru dan gemar melakukan aktiviti lasak. Seorang penjawat awam yang amat optimis, kemahiran berkomunikasi dengan sesiapa sahaja dan suka membaca.

One Ping

  1. Pingback:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

Comments