Pasti masih ada kaum wanita yang masih tidak tahu tentang hukum memakai gelang kaki berloceng dan juga kasut tumit tinggi yang kini semakin ramai dipakai oleh mereka sama ada yang berkerjaya atau yang ingin bergaya sambil hentakkan kaki. Sebagai seorang muslimah adalah sangat penting untuk perempuan itu agar lebih prihatin terhadap hukum hakam sebegini.
Apabila ditanya kepada seorang perempuan, mengapa dia masih memakai kasut tumit tinggi dan gelang kaki berloceng sedangkan dia sudah tahu tentang hukum ini dalam Islam? Jawapannya mudah saja, dia terpaksa kerana perlu memenuhi tuntutan kerjaya dan setiap perempuan diwajibkan memakai high heels agar tampak lebih profesional.
Sebenarnya, haram bagi seorang wanita menghentakkan kakinya yang memakai kasut tumit tinggi diselangi dengan bunyi loceng yang terdapat pada gelang kaki. Mengapa haram? Kami tak kacau orang. Wajib untuk semua perempuan ambil tahu tentang perkara ini.
Hukum Pakai Gelang Kaki Berloceng dan Kasut Tumit Tinggi
Berikutnya dikongsikan perkongsian dari Ustaz Farid Rashidi yang menjelaskan tentang mengapa haram wanita berjalan kaki sambil menghentakkan kaki dan gelang kaki berloceng berserta kasut tumit tinggi yang ramai wanita bangga-banggakan kerana dengan memakai high heels mereka nampak lebih bergaya dan cantik.
Haram Wanita Pakai Gelang Kaki Berloceng Berjalan Hentakkan Kaki dan Kasut Tumit Tinggi
Selalu perasan juga ada sesetengah perempuan, dia punya berjalan style bunyi tapak kuda.
Ketukk! Ketukk! ketuuk! Bunyinya. Ishh, bukan bunyi ketuk pintu, bunyi tapak kudalah.
Sudahlah berjalan kaki menghentak begitu, pakai pula gelang kaki loceng.
Ketukk! Kecing!! Ketukk! Kecingg! Berirama macam Bollywood dah jadinya.
Haa, ini semua pun ada hukumnya tau. Sebab perbuatan ini menyerupai kaum wanita zaman Jahiliyyah dahulukala.
Mereka pakai gelang berloceng, kemudian berjalan sambil menghentakkan kaki bagi menarik perhatian kaum lelaki. Apa lagi, terlopong menitik air liur habis lelaki memandangnya.
Baik, nak tahu hukum berkaitannya? Mari kita baca ya.
Apa Hukum Memakai Gelang Kaki Berloceng?
Menurut para ulama’, hukum memakai gelang kaki bagi wanita menurut Islam adalah diperbolehkan, yakni HARUS tetapi hendaklah menjaga batasannya.
Manakala memakai hukum gelang kaki berloceng pula adalah HARAM jika dipakai untuk dipersembahkan ke khalayak (lelaki).
Adapun pakai gelang loceng untuk suami, tak ada masalah. Pakailah. Nak pakej sekali tarian Hindustan pun tak ada masalah kalau depan suami berdua. Dapat pahala ye memperhiaskan diri untuk suami.
Dalilnya, firman Allah SWT menyebutkan:
وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ
“Dan janganlah mereka (kaum wanita) memukulkan kaki mereka agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.”
[Surah an-Nur: 31]
Dalam tafsir at-Tobari تفسير الطبري membawakan riwayat dari al-Mu’tamir, dari ayahnya bahawa Hadzrami mengatakan:
Ada seorang wanita yang membuat gelang kaki dari perak dan diberi gemercing. Ketika melewati sekelompok lelaki, dia menggerakkan kakinya dan terbitlah suara gemercing. Kemudian Allah menurunkan ayat di atas.
[Tafsir at-Tobari, 19 : 164]
Hukum Memakai Kasut Tumit Tinggi Dan Menghentakkan Kaki?
Memakai kasut tumit tinggi tidaklah haram. Yang HARAM memakai kasut yang berbunyi atau sengaja menghentakkan kaki hingga menarik perhatian lelaki, menimbulkan fitnah dan akhirnya membuka pintu perzinaan.
Namun begitu kebiasaannya yang bertumit tinggi inilah selalu menghasilkan bunyi. Jadi kalau nak pakai, kenalah hati-hati. Adjust sikit ekzos kasut bagi tak bunyi ya.
Ini kesan memakai kasut bertumit tinggi menurut pakar:
1. Menurut Prof. Madya Dr. John Marymont, Pakar Pembedahan Ortopedik, Kolej Perubatan Baylor, Houston:
“Seseorang yang memakai kasut bertumit 2.5 inci memberi 50%, manakala kasut bertumit 3 inci memberi 76% tekanan pada kaki. Masalah lebih menyakitkan ialah neuroma iaitu kaki dipaksa masuk ke dalam kasut tumit tinggi yang ketat dan runcing di depan, kemudian akan menekan saraf dan tisu mula terbentuk di sekitar saraf yang menyebabkan kesakitan sehingga pembedahan perlu dilakukan.”
2. Menurut Mr. Edmund Lee, Pengarah Urusan MyOrtho & Pakar Orthotik dan Prostetik:
“Kulit pada bahagian kaki menerima tekanan akan mengeras termasuklah bahagian tapak kaki, di bawah jari dan bahagian tepi hujung kaki.”
3. Menurut Dr. Asmah Yun Mat Sidek, Pakar Perbidanan & Ginekologi, Pusat Rawatan Islam (PUSRAWI):
“Wanita yang mengandung perlu elak dari memakai kasut tumit tinggi lebih daripada 1.5 inci kerana pusat graviti akan beralih ketika mengandung, manakala pelvis berubah bentuk dan menanggung bebanan tambahan disebabkan oleh berat bayi yang dikandung.”
Kalau nak pakai juga yang bertumit tinggi, kena cari yang tebal, bukan runcing tajam. Mungkin bentuk tumit seperti wedges. Tumit tingginya kurang dari 4cm. Tapaknya yang lembut. Dan pakai sekali-sekala saja.
Hah, nanti ada pula yang cakap “Alah lelaki ni… tutuplah mata. Tak payah tengok. Gila S*** betul!”?
Bukan begitu Sis, Cik Kak. Islam melarang sesuatu ada sebab musababnya. Mudah fahamnya, sebagai pencegahan awal sebelum melarat. Kan lebih senang mencegah daripada mengubati bila dah sakitkan?
Ingat ya, Allah itu Tuhan kita. Allah SWT Maha Tahu isi hati dan perangai kaum lelaki dan wanita, sebab itu DIA suruh cegah. Adanya larangan. Kita ini jangan buat-buat bijak sangat nak melawan hukum Tuhan, tak ke mana perginya.
Wallahu a’lam. Alhamdulillah selesai.
Tolong ya sama-sama sebarkan, khususnya buat bacaan dan pesanan kepada kaum wanita from venus.
Baca : Hukum Memakai Kanta Lekap (Contact Lens Berwarna Untuk Kecantikan)
Semoga penjelasan dari Ustaz Farid Rashidi tentang hukum wanita memakai gelang kaki berloceng sambil hentakkan kaki dan pakai kasut tumit tinggi ini akan menambahkan ilmu kepada semua wanita di luar sana yang masih lagi tidak tahu. Semoga bermanfaat.
Loading…